Hidup banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Hidup  banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Rabu, 28 Disember 2011

Satu kritikan, pandangan dan seram di hati... 2012

Bangsar, 29Dis2011, Walaupun pada hakikatnya kerja sangat menimbun, namun aku terpanggil memberikan pandanganku sendiri berkaitan apa yang sibuk dan gerun diperkatakan tentang KIAMAT 2012 dan ramalan ahli sihir Nostradamus.

PENYELIDIKKAN DALAM SURAH AR-RAHMAN MENEMUKAN TARIKH 1433H (2012M) DAN RAKAMAN SESUATU YANG BAKAL BERLAKU.

Satu penemuan terkini tentang kod nombor perdana (prime numbers) didalam al-Quran oleh seorang pakar komputer bernama Ali Adam. Beliau juga pernah dijemput oleh European Space Agency untuk kajian hub...ungan gravity dan perubahan masa pada tahun 1999.


Pada tahun 2001 beliau berjumpa dengan pengasas teori fizik terbaru berkenaan Helical Particle Waves dan beliau terus bergabung untuk mengembangkan kajian yang amat diperlukan ketika ini iaitu berkenaan jisim, kuasa elektrik dan kesan tindakbalas magnet.

Beliau menemui corak aturan nombor perdana didalam al-Quran setelah membaca buku bertajuk "Prime Obsession". Ali terus mendapat ilham untuk membuat analisa terhadap ayat yang diulang-ulang sebanyak 31 kali didalam surah ar-Rahmaan. Surah ini merupakan batu loncatan bagi Ali untuk mengkaji tentang peristiwa 2012 didalam al-Quran.

Nombor perdana adalah nombor asli yang lebih besar daripada 1, yang faktor pembahaginya cuma 1 dan bilangan itu sendiri. Sebagai contoh, 2 dan 3 adalah nombor perdana. 4 bukan nombor perdana kerana 4 boleh dibahagi 2. Sepuluh nombor perdana yang pertama ialah 2, 3, 5, 7, 11, 13, 17, 19, 23 dan 29.

Penemuan 2012 dalam al-Quran

Tahun 2012 didalam al-Quran yang dibentangkan oleh Ali adalah berdasarkan tahun hijrah iaitu tahun 1433 yang diolah dari surah Ar-Rahmaan. Dalam surah Ar-Rahmaan Allah menegaskan ayat (فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ) sebanyak 31 kali iaitu pada ayat bilangan berikut;


13, 16, 18, 21, 23, 25, 28, 30, 32, 34, 36, 38, 40, 42, 45, 47, 49, 51, 53, 55, 57, 59, 61, 63, 65, 67, 69, 71, 73, 75, 77

dan jumlahnya

13 + 16 + 18 + 21 + 23 + 25 + 28 + 30 + 32 + 34 + 36 + 38 + 40 + 42 + 45 + 47 + 49 + 51 + 53 + 55 + 57 + 59 + 61 + 63 + 65 + 67 + 69 + 71 + 73 + 75 + 77 = 1433

merupakan nombor perdana dan jumlahnya (1+4+3+3=11), juga merupakan nombor perdana!

tetapi paling penting ialah seperti kita maklum sekarang ini kita berada dalam tahun 1432H (2011M), dan kita dapat mengandaikan Allah mungkin menunjukkan suatu kejadian pada tahun 1433H (2012M).

Didapati juga dalam surah tersebut mengandungi 355 patah perkataan, iaitu bersamaan jumlah hari didalam tahun lompat Islam pada tahun 1433H (dikira termasuk huruf Bismillah);

30 + 29 + 30 + 30 + 29 + 30 + 30 + 29 + 30 + 29 + 30 + 29 = 355 days

sumber: http://www.islamicfinder.org/H cal/hdate_year.php?year=1433&b ase=h

Oleh itu kesimpulan dibuat tiap perkataan didalam surah ini menjuruskan kepada hari tahun Islam 1433H (2012M).

Memandangkan ulangan ayat 31 kali mengandungi 4 perkataan (فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ), adalah wajar disimpulkan terdapat hubungan penting antara 31 dan tempoh 4-hari dalam 1433H untuk Allah Ar-Rahman memberi peringatan kepada umat manusia bagi mengambil perhatian.

Adalah didapati ayat ulangan yang pertama jatuh pada perkataan bilangan 44 dalam surah tersebut, boleh disimpulkan bahawa satu peristiwa akan berlaku pada tahun 1433H ialah pada hari ke 44 tahun tersebut iaitu pada 7hb. Januari 2012 berlanjutan selama 4 hari, dan ayat ulangan terakhir jatuh pada perkataan bilangan 346 dan dapat disimpulkan peristiwa tersebut akan berlaku pada hari ke 346 tahun 1433H bersamaan 4hb. November 2012 dan berlanjutan selama 4 hari.

Apakah Peristiwa Itu?

Apakah peristiwa penting itu? Mari kita lihat pada bilangan ke -1433 dalam huruf, perkataan dan ayat yang masing-masing bertanda merah.

"Hujan batu meteorite?" pada huruf ke - 1433 dalam ayat Quran [2:24]:

بسم الله الرحمن الرحيم أعوذ بالله من الشيطن الرجيم

فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا۟ وَلَن تَفْعَلُوا۟

فَٱتَّقُوا۟ ٱلنَّارَ ٱلَّتِى وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَٰفِرِينَ

But if you don’t do it, and you shall never do it, then beware The Fire for which Men and stones are its fuel; it is prepared for the unbelievers.

"Balasan azab berpanjangan" pada perkataan ke - 1433 dalam ayat Quran [2:86]:


بسم الله الرحمن الرحيم أعوذ بالله من الشيطن الرجيم

أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشْتَرَوُا۟ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا بِٱلْءَاخِرَةِ ۖ

فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ ٱلْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

These are they who buy the life of this world for the hereafter, so their chastisement shall not be lightened nor shall they be helped.

" Balasan terhadap orang-orang mengadakan dusta" pada ayat ke - 1433 dalam ayat Quran [10:69]

بسم الله الرحمن الرحيم أعوذ بالله من الشيطن الرجيم

قُلْ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ

Say: Those who forge lies against Allah shall never succeed.

Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami dan Kami telah mengajarnya sejenis ILMU; dari sisi Kami.

( سورة الكهف , Al-Kahf, Chapter #18, Verse #65)

Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ILMU mengenainya.

( سورة النازعات , An-Naziat, Chapter #79, Verse #44)

Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal. ( Surah an-Anfal : Ayat 2 )

Ulasan Imam Razi

Tunggu...

Isnin, 26 Disember 2011

suku masa terakhir...

Bangsar, 27dis2011 - di saat-saat akhir penutup tahun masihiah ini masing-masing sibuk mengira-ngira dan memperkemaskan apa yang patut, kemaskan persiapan anak nak ke sekolah ke, anak nak gi mengaji ke, dan tidak semestinya anak, kerana diri kita sendiri adalah tunggak segala-galanya. mencoretkan sesuatu di atas skrin blog ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana idea yang telah tepu ditambah lagi dengan pelbagai persoalan yang bermain dan terlintas di minda, ada sahaja yang tidak kena. Masalah datang dan pergi sehingga ramai yang mengambil jalan mudah dengan 'malas lah'.

ah takde mood nak nulis keje banyak giler.. so apa2 pun selamat menyambut tahun baharu dan azam yang terbengkalai diteruskan sampai siap ya..

Selasa, 20 Disember 2011

Luka berparut, perut sembelit, muka berkerut, hati nan sakit...


FUU UKM, 20Dis2011 - masih lagi dalam bilik darjah mengadap pembentang tajuk asignment masing-masing walaupun jam telah menunjukkan hampir pukul 9, lebih malang lagi aku nak kena menghantar seorang mamat ni yang mana esok aku ada KES pagi di Seremban dan KL termasuklah kena siapkan perjalan program Klinik Hafazan untuk masjid KLCC esok. W**t the F**k!!!

coretan kali ini sengaja untuk aku meningatkan diri yang masih mengejar impian agar berjaya dunia dan akhirat sebagaimana yang dituntut, namun aku belum lagi berjaya memiliki kereta ini. Sekiranya anda pembaca setia blog ini dari awal, sudah pasti apabila aku bercakap tentang IMPIAN pada permulaan coretanku di alam siber ini, inilah kenderaan yang aku idamkan. Bukan tidak layak atau mampu untuk ku milikinya, tetapi aku dahulukan kenderaan yang sesuai dengan keluarga, hidup ni bukan ikut sedap tekak je. siapa sangka, aku juga pernah beraksi di atas jalan raya. maksud aku kemalangan.
yang ini aku yang bentang, takpe, takde hal... hehehe.. biar kerusi kosong jangan poket kosong, biar minum air kosong tapi otak jangan kosong.






Susuk Busuk

FUU, UKM 20Dis2011 - apa-apa pun aku perlu upload kan jawapan ini sebagai melengkapkan tulisan di akhbar Metro pada Jumaat lepas 16Dis2011 yang lalu kerana penulisanku sepanjang ini cuma 1/8 yang disiarkan.


Soalan 1

APAKAH kesan langsung bagi seseorang yang memakai sesuatu seperti susuk untuk mendapatkan 'kekuatan' untuk menunaikan sembahyang dan ibadah lain.

Susuk yang dipakai itu seperti serbuk campuran yang diletakkan di bahagian belakang badan dan tapak tangan dengan menggunakan bacaan seperti mantera.

Setiap kali ingin menunaikan solat, ada suara ghaib membisikkan ke telinganya supaya melakukan ibadah. Malah sepanjang tiga bulan pertama memakai, orang itu mendakwa dia tidak boleh menjejakkan kaki di tanah perkuburan. Sekiranya melanggar syarat itu dia akan mengidap penyakit misteri.

Minta pandangan Ustaz Razi berkaitan ada segelintir umat Islam menyalahgunakan cara melakukan ibadah penting seperti solat ini.


Definisi susuk dapatlah ditakrifkan sebagai amalan memasukkan sesuatu bahan asing ke dalam badan bagi mendapatkan sesuatu kelebihan samada secara nyata mahupun ghoib (yang tidak dapat dilihar mahupun dizahirkan). Di antara jenis-jenis susuk yang nyata adalah seperti susuk emas yang paling banyak digunakan untuk ilmu pengasih, susuk geliga buaya yang banyak digunakan untuk tujuan pelacuran, susu beruang digunakan untuk ilmu kebal, susuk buluh perindu bagi tujuan memerdukan suara dan menggoda serta banyak lagi. Manakala tujuan memakai susuk ini samada digunakan untuk menjadi pemanis dan seri wajah, hebat dalam hubungan seksual , kebal, pelaris perniagaan bahkan juga sebagai kekuatan tenaga termasuklah bagi mendirikan ibadah solat.

Di antara larangan bagi mereka yang memakai susuk termasuklah larangan memakan pisang emas, buah kundur, labu, makanan bercucuk seperti satay, bahkan tidak bolleh melihat cermin dalam tempoh tertentu (kebiasaan 40 hari), larangan mengoyak atau memotong daun palas dan juga dilarang menghadiri majlis pengebumian atau ke tanah kubur.

Adalah sedia maklum bahawa apabila permasalahan susuk dibincangkan ianya adalah permasalahan sihir yang membawa implikasi besar terutama dari sudut aqidah bahkan pemakai susuk sendiri sekiranya tidak dikeluarkan bahan-bahan susuk dari tubuh akan memudaratkan diri terutama ketika menghadapi nazak sakaratulmaut. Masalah ini masih lagi menjadi amalan segelintir masyarakat adalah disebabkan kedangkalan mereka tentang amalan ini yang bertentangan dengan ajaran Islam dan membawa kepada syirik kepada Allah. Ada banyak kes kepada pemakai muda adalah disebabkan ibu atau neneknya yang memaksa mereka memakai susuk semenjak dari kecil bagi tujuan kelihatan cantik bahkan lebih malang lagi bilamana si pemakai tadi tidak menyedari terdapat bendasing dalam tubuh mereka sehingga membawa kepada bertahun-tahun dan membesar dengan bersusuk malah juga melakukan ibadat seperti solat, puasa, bahkan sehingga menunaikan haji dalam keadaan bersusuk.

Bagi menjawab permasalahan ini ialah, pertama hukum mendatangi pengamal atau menggunakan susuk ialah haram sebagaimana hadith nabi s.a.w “man ata kahinun faqod kafaro” sesiapa yang mendatangi, menilik nasib dan bertemu pawang atau bomoh maka dihukumkan kafir”.

Kedua, bolehkah menggunakan susuk atau mana-mana cara amalan yang tidak dipastikan kesahihan ibadat tersebut sehingga terdengar suara ghoib yang menyuruh sesorang itu mendirikan solat dan berbuat amal kebajikan dan jawapan yang disepakati ialah haram dan tidak boleh. Ini berdasarkan tarjih para ulama amalan sesuatu ibadat ini tidak boleh diamalkan sehingga terdapat dalil pengharusan atau membolehkan ibadat tersebut dilakukan jika tidak maka hukumnya haram. Contohnya, solat subuh hanya 2 rakaat dan tidak boleh ditambah lagi rakaat kerana tiada dalil yang menyuruhnya. Apatah lagi amalan susuk yang menyalahi syarak dan dihukumkan haram mahupun amalan-amalan lain sehingga membawa kepada bisika ghoib tersebut. Persoalan ini selalu membelenggu masyarakat kita termasuklah suka mengamalkan ayat-ayat tertentu sehingga didatangi oleh 'khadam' atau penjaga yang lebih didefinisikan sebagai jin. Maka hukum menurut Islam ialah haram dan membawa kepada syirik sehingga merosakkan akidah. Patut ditanya kepada mereka yang 'membela' atau 'memiliki' suara-suara ghoib tersebut kenapakah kita menerima Islam atau mematuhi seruan beribadat bergantung kepada suara atau bergantung kepada orang yang berpakaian putih, berserban putih dan berkulit putih yang memberi arahan supaya melakukan ibadat atau beramal dengan ayat-ayat atau amalan tertentu baru kita hendak beramal dengannya. Inilah cara yang salah mempelajari atau mengamalkan Islam kerana para ustaz dan alim ulama mengajar di masjid-masjid, sekolah, universiti dan sebagainya telah ditolak dipandang sepi inikan pula beribadat kerana suara suruhan tersebut. Lihat sahaja kisah ketua para wali sheikh Qodir al-Jailani yang hampir ditipu oleh iblis yang datang dalam bentuk cahaya yang gilang-gemilang dan memaklumkan kepada beliau bahawa beliau telah sampai ke peringkat tertinggi sehingga tidak diwajibkan solat namun telah dihidu oleh sheikh Qadir dan melemparkan sepatunya dengan menyebut 'auzubillahi mina syaitonirrojim' agar berlindung dari hasutan iblis yang memperdaya manusia. Hujah bernas ketua wali ini ialah junjungan besar nabi s.a.w sendiri tidak pernah meninggalkan solat sehingga ke akhir hayat.

Kesimpulannya, pengamalan ibadat tanpa dalil adalah haram termasuklah beribadat dengan bersandarkan suara-suara ghoib tanpa merujuk kepada golongan ulama tentang kesahihan sesuatu amalan mahupun ayat-ayat untuk diamalkan. Justeru disarankan agar masyarakat mendekati para alim ulama merujuk sebarang permasalahan dan saluran yang betul kerana matlamat tidak menghalalkan cara, walaupun matlamatnya ialah ibadah tetapi kaedah penerimaan ibadat salah, maka dihukumkan salah.Malah banyak gajet terkini yang mampu membantu kita dalam melaksanakan ibadat kepada Allah seperti perisian waktu solat pada telefon bimbit dan sebagainya.


Soalan 2

APAKAH kesan terhadap akidah dan syahadah individu yang mengamalkan perkara itu? Bagaimana cara untuk menebus kesalahan dan dosa yang dilakukan sebelum itu?

Sebagaimana yang dinyatakan, mereka yang mengamalkan perkara tersebut adalah bertentangan dengan aturan agama Islam yang sebenar bahkan membawa kepada kerosakan akidah. Hendaklah difahami akidah boleh terlerai dari ikatan yang kukuh tersebut dengan amalan yang salah baik dengan ucapan, perbuatan mahupun dengan pengakuan yang menyimpang dari agama. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Maidah ayat 90 yang membawa maksud bahawa perbuatan menilik nasib adalah sebahagian daripada amalan syaitan dan hendaklah dijauhkan sebagai seorang yang beriman.

Bagi pesalah yang telah melakukan amalan khurafat ini perlulah bertaubat dengan sebenar-benarnya, ini termasuklah pemakai susuk perlu membuang bahan-bahan susuk yang dimasukkan ke dalam mana-mana anggota badan. Rawatan ini boleh didapati daripada mana-mana pengamal perubatan alternatif yang diiktiraf dan berpengalaman. Seterusnya akidah pesalah tadi juga perlulah dibimbing semula oleh pembimbing yang diiktiraf seperti dari Jabatan Mufti negeri-negeri yang mempunyai bahagian pemantapan akidah yang mampu menjalankan tugas tersebut. Bahkan di sinilah hikmah mengapakah kita seringkali mengulangi bacaan surah al-fatihah yang acapkali memohon agar kita sentiasa terbimbing ke arah jalan yang lurus.


Soalan 3

BAGAIMANA cara mendapatkan kekuatan dan khusyuk ketika bersolat? Sering kali kita lalai disebabkan kurang penghayatan dan tidak memahami apa yang mereka baca dan lakukan.

Bagi orang awam yang mungkin tidak menguasai bahasa Arab ada cara lain untuk meningkatkan rasa penghayatan ketika bersolat?

Mendapatkan khusyuk bukanlah perkara yang mudah dan diperolehi melalui formula kiraan seperti melaksanakan itu pasti dapat hasilnya kerana ia bersangkutan dengan keikhlasan dalam melaksanakannya. Bertepatan dengan firman Allah s.w.t ayat 5 yang menyatakan penerimaan Allah pada ibadah yang mengandungi eleman ikhlas. Bahkan para alim 'ulama mengibaratkan payahnya memperolehi khusyuk seperti menahan air yang penuh di dalam sebuah baldi yang diletakkan di atas kepala dan sentiasa berjaga-jaga daripada jatuh walaupun setitik. Kerana itulah tidak diletakkan khusyuk sebagai rukun mahupun syarat wajib solat tetapi Imam Shafie memberati khusyuk sehingga ditekannya. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-mukminun ayat 2 di mana Allah mengklasifikasikan orang mukmin yang berjaya sebagai seorang yang khusyuk semasa solatnya. Berikut adalah di antara cara memperoleh khusyuk dalam solat:

  • memahami bacaan solat dan menghayati bacaan tersebut. Bagi orang awam yang tidak memahami bahasa Arab bolehlah menghadirkan dalam hatinya bahawa sedang berkomunikasi dengan Tuhan pencipta alam yang maha Agong, dengan erti kata lain mendatangkan kebesaran Allah di dalam hati dan dalam masa yang sama perlahan-lahan cuba memahami bacaan dalam solat, jahil atau tidak mengetahui maksud bacaan tidaklah boleh dijadikan hujah bagi meninggalkan langsung memahami bacaan solat.

  • mendalami ilmu agama dan sentiasa menambahbaik ibadah agar mencapai kemanisan beribadat, sehingga merasakan Allah melihat kita mahupun kita merasai melihat Allah, ini berdasarkan kisah sahabat nabi s.a.w iaitu Abu Bakr r.a yang diiktiraf oleh nabi akan kekhusyukan Abu Bakr r.a apabila mendirikan solat, kerana setiap kali melintasi sahabat nabi ini bersolat sudah pasti terhidu bau hangit terbakar kerana khusyuknya Saidina Abu Bakr r.a berkomunikasi dengan Allah.

  • mengelakkan daripada sebarang gangguan luar yang mengganggu kekhusyukan solat seperti bunyi telefon, solat di akhir waktu, solat di hadapan televisyen dan sebagainya.

  • cari tempat yang selesa untuk solat semasa di rumah seperti ruang solat khusus mahupun ketika di masjid dengan memilih masjid yang selesa bagi kita beribadat termasuklah meletakkan imam-imam yang bersuara merdu di masjid-masjid besar bukan sekadar syiar tetapi juga sebagai dakwah menarik orang ramai solat berjemaah.

  • mengelak daripada meletakkan sebarang benda atau gambar di hadapan ruang solat kerana larangan nabi s.a.w kepada aishah r.a ketika hendak mendirikan solat.

  • Menyediakan prasarana tempat ibadah yang terbaik yang termampu disediakan seperti jika sesorang itu mampu memasang penghawa dingin bagi memberi keselesaannya bersolat maka dihukumkan wajib mencapai darjat khusyuk tersebut.

  • Bersolat di awal waktu dan berjemaah serta melaksanakan solat-solat sunat bagi menampung kekurangan dan ketidak khusyukan semasa bersolat.

Soalan 4

APAKAH yang dikatakan dengan solat sempurna dan berkualiti, bagaimana cara mendapatkannya? Sebenarnya bukan perkara mudah untuk mendapatkan rasa khusyuk ketika sembahyang kerana perasaan kita melayang merata-rata.

Malah dalam solat jemaah, kadang-kadang ada makmum yang terlena dan gagal menyempurnakan solat dengan penuh penghayatan. Apakah ciri yang perlu ada bagi seorang imam dalam memimpin solat jemaah supaya makmum di belakang merasa selesa dan memberi tumpuan ketika solat?

Bagi menjawab persoalan ini banyak faktor yang perlu diperhalusi. Pertama balik kepada soal keakuran kita sebagai hamba Allah yang dijadikan untuk beribadah kepada-Nya sebagaimana dalil di dalam surah az-zariyat ayat 56. Oleh itu, sebarang ibadat yang fardhu atas kita kenalah diperkemas dari masa ke semasa baik dari sudut pemahaman kita kepada amalan tersebut. Sebagai contoh seorang pekerja sudah pasti menyiapkan tugasan yang diberikan oleh majikannya sebaik mungkin sebagai bukti pekerja tersebut telah bekerja dengan sebaik mungkin. Demikian jugalah solat dan ibadah-ibadah yang lain.

Kedua sekiranya kita menunaikan solat jemaah seringkali kita mengambil ringan beberapa perkara seperti datang lambat ke masjid dan surau sehingga tidak dapat mengangkat takbir bersama imam, melantik imam yang tidak menepati aspek seperti bacaan yang kurang baik dan sebagainya.

Ketiga, bagi seorang imam pula ciri utama yang perlu bagi menjadi imam yang ideal ialah beliau perlulah meletakkan hal dirinya sebagai salah seorang jemaah juga kerana perkara yang dititik beratkan ialah keadaan para jemaah memandangkan imam hanya seorang manakala jemaah itu ramai. Justeru, kalau kita berada di tempat jemaah kita terasa sangat mengantuk atau boleh berkhayal kerana imam tersebut membawa solat terlalu panjang dan mewujudkan ruang fikiran untuk melayang-layang ketika solat dan tidak khusyuk. Para imam juga hendaklah menambahbaik mutu bacaan, ilmu pengetahuan dan meraikan para jemaah yang bersolat bersamanya dan menjadi kegemaran dengan tindakan yang disukai dan tidak bersalahan dengan syarak.


Soalan 5

SOLAT bukan saja perlu melakukan kerja dan perkara-perkara rukun dalam solat malah aspek berwuduk juga perlu diberi perhatian dan dilakukan dengan sempurna.

Apakah langkah-langkah lain yang perlu dipatuhi individu Muslim dalam 'mempersembahkan' solatnya kepada Allah supaya ia memberi kesan terbaik buat diri seperti perasaan tenang, lapang hati, diberi kekuatan dan merasa kagum dengan kebesaran Allah?

Sebagaimana kata pepatah, bagaimana benihnya begitulah pokoknya. Ini membawa maksud solat yang sempurna yang boleh memberi kesan kepada yang menunaikannya ialah bukan sahaja bergantung kepada wudu' yang sempuna malah segala serba segi perlu dinilai. Contohnya, pakaian sesorang, tepat solat, makan minum dan sebagainya supaya tidak membawa kepada haram kerana terdapat di dalam hadith riwayat Bukhari apabila nabi s.a.w menyatakan bahawa doa mahupun amalan seorang hamba itu tidak mendapat apa-apa walaupun keadaan dia yang kusut masai bersungguh-sungguh berdoa apabila makanannya terdiri daripada yang haram dan sebagainya.

Di antara langkah-langkah lain yang boleh dilaksanakan oleh individu Muslim dalam melakukan ibadah ialah disamping ia memenuhi segala tuntutan rukun dan wajib solat maka hendaklah ia juga memenuhi amalan sunat semasa solat di antaranya solat dalam keadaan yang tidak terburu-buru dan di awal waktu. Di samping itu, pakaian seorang yang menunaikan solat juga diambil kira dan boleh diukur tahap keikhlasan dan kepatuhan seorang hamba. Ada yang sanggup menukar kain untuk solat sekiranya dia berseluar semasa kerja dengan alasan risau seluar tadi tidak bersih untuk dibawa semasa solat. Inilah ciri-ciri seseorang itu bersungguh-sungguh melakukan kepatuhan terhadanp Tuhan, contohnya apabila diberitahu bahawa seorang pembesar akan datang di kawasan tersebut makin bersiaplah kita dengan pakaian yang serba indah dan segak tetapi ketika mengadap Tuhan yang menciptakan seluruh alam termasuklah menjadikan pembesar tadi, sifat kehambaan kita telah berdivasifi dan membezakan antara sesuatu darjat walaupun sepatutnya membesarkan Tuhan melebihi membesarkan manusia.

Selain itu, faktor solat itu sendiri seperti memahami bacaan dalam solat dan memahami hukum-hakam berkaitan dengan solat yang terlalu luas itu juga mampu membawa solat ke tahap yang lebih bemutu, kerapkali terjadi di masjid-masjid apabila banyak jemaah yang tidak mengendahkan apabila telefon mereka berbunyi semasa solat adalah satu kewajipan untuk menutupnya kerana bunyi tadi adalah satu gangguan sebagaimana hadith nabi s.a.w mewajibkan mengelakkan kemudharatan semasa solat termasuklah semasa berhadapan dengan kala atau ular berbisa. Ini bersangkut paut dengan tahap kefahaman fiqah seseorang dan sebab itulah tidak hairan jika kita dapati semasa sedang bersolat jemaah terdengar kagu deringan telefon yang membuai dan mengganggu bukan sekadar jemaah malah kosantrasi imam. Lagu MD Kilau, senyumlah..senyumlah.. sudah pasti sambungan dijawab oleh orang yang didengar, ahai cek mek molek sekaligus menghancurkan kekhusyukan.

Secara analoginya yang boleh diambil ialah, hanya mereka yang khusyuk, memahami solat, dan bersungguh-sungguh melakukan ibadah ini sahaja yang boleh merasai kemanisan, kelapangan dan keseronokan beribadah ini. Jika para sahabat, para tabi'in dan ulama yang bersolat dengan bertujuan tertentu maka kebanyakan riwayat mereka ditunaikan Allah segala hajat mereka, seorang tabi'in menunaikan solat agar perompak yang bakal membunuhnya sejurus selepas solat akhirnya mati dibunuh oleh tentera Allah yang didatangkan oleh Allah bantuan istimewa ini bagi yang bersungguh-sungguh. Seorang pekerja yang meletakkan hatinya dalam bekerja sudah pasti tidak mengendahkan waktu tamat bekerja dengan melakukan sehingga selesai tugasan tersebut hatta terpaksa pulang lewat malam. Begitu jugalah mereka yang menunaikan solat dengan betul sudah pasti merasai kenikmatan tersebut bukan sahaja di akhirat malah kejayaan cemerlang di dunia.

Sabtu, 17 Disember 2011

Aku sayang mereka...

UKM Bangi, 18dis2011 - Aku sayangkan mereka, aku sayangkan mereka, aku sayangkan mereka dengan caraku tersendiri, siapa mereka untuk mempertikaikan cara dan gaya sayangku untuk mereka... Allah tahu apa yang dalam hati ku...


Sabtu, 10 Disember 2011

Solat Sunat Gerhana Bulan

HUKUM SOLAT GERHANA
Sunat Muakkad (sunat yang dituntut)

CARA-CARA SOLAT

Dua (2) rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat ditunaikan secara berjemaah di Masjid/Surau dan boleh juga secara bersendirian.

CARA-CARA PELAKSANAANNYA
Solat gerhana matahari dan bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara :
Bagi gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara ; adapun bagi gerhana bulan bacaan hendaklah dibaca dengan diangkat suara seperti mana-mana solat malam

Cara Pertama : Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan duarakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.

Cara Kedua : hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu. Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua). Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua.

Cara Ketiga : Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua
akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah. Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.

Waktunya
Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.

Tempat Solat
Solat gerhana sunat dilakukan di masjid atau surau atau mana-mana tempat yang biasa dilakukan solat berjemaah.

ATURAN SOLAT GERHANA
1. Disunatkan mandi sebelum solat.
2. Bilal Menyeru :as-Solatu Jaami’ah!! ( Solat berjemaah )
3. Berdiri lurus mengadap kiblat.
4. Berniat mengerjakan solat gerhana.

(i) Lafaz niat untuk gerhana bulan:
“ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.

(ii) Lafaz niat untuk gerhana matahari:
“ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.

5. Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.
6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
7. Baca al-Fatihah dan Surah.
8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
10. Baca al-Fatihah dan Surah.
11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti khutbah Hari Raya).

RUJUKAN :
1. Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.
2. Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad bin Abdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).
3. Sembahyang sunat gerhana matahari, segala bacaannya dilakukan dengan suara perlahan, manakala bagi sembahyang sunat gerhana bulan, segala bacaannya dilakukan dengan suara yang nyaring

KHUTBAH

GERHANA BULAN BUKTI KEKUASAAN ALLAH SWT"

(10 DISEMBER 2011 / 14 MUHARRAM 1433H)


Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan dengan diri saya dan juga para jemaah sekalian agar kita benar-benar bertakwa kepada Allah SWT dengan menjunjung segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan itu kehidupan kita senantiasa di bawah lindungan Allah SWT.

Sidang Jemaah Yang di Rahmati Allah,

Sebagai umat Islam kita mestilah percaya dengan penuh yakin bahawa Allah SWT maha berkuasa, pentadbir seluruh alam. Segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan seumpamanya adalah dibawah kekuasaan Allah SWT yang maha berkuasa menggerakkannya. Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti-ganti, matahari beredar di waktu siang, manakala bulan beredar di waktu malam adalah atas kudrat dan iradat Allah SWT dan ianya mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri.

Pada hari ini kita diperlihatkan dengan kuasa Allah SWT yang maha agung iaitu kejadian gerhana bulan. Gerhana ini berlaku ketika bulan berada bertentangan dengan bumi dan terlindung daripada matahari, ini bermakna bulan boleh termasuk ke dalam bayang bumi dan menghilang. Begitulah kehebatan kekuasaan Allah SWT yang mampu mengubah segalanya di langit dan bumi pada bila-bila masa yang tidak ada satu kuasa lain yang dapat menyekat Qada’ dan Qadar Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Fussilat ayat 37:

Maksudnya:Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sembah matahari mahu pun bulan tetapi sembahlah Allah yang menciptakannya, jika kamu hendak sembah.


Oleh itu jika berlaku kejadian gerhana matahari atau bulan, ianya bukanlah merupakan suatu tanda akan timbul kejadian yang aneh dan mengkhuatirkan, tetapi gerhana itu berlaku atas sifat wajib bagi Allah SWT iaitu berkehendak dan berkuasa atas segala sesuatu yang tidak dapat dihalang oleh apa jua kekuatan pun di dunia ini.

Sidang Jemaah Yang di Rahmati Allah,

Setiap perubahan yang berlaku terhadap cakerawala mengandungi hikmah yang tersendiri. Begitu juga perubahan yang berlaku kepada matahari dan bulan, sudah pastinya mengandungi hikmat yang tertentu, antaranya memberi peringatan agar hamba-Nya tidak melampaui batas dan sentiasa bermuhasabah. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah SWT. Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang dari kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu”. (Riwayat al-Bukhari).

Gerhana bulan merupakan amaran Allah SWT untuk seluruh manusia agar patuh dan setia di atas perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya dan akan berlaku sepanjang zaman sebagai peringatan Allah SWT di atas segala ketelanjuran yang dilakukan oleh hamba-Nya. kejadian ini akan berterusan sehingga matahari dan bulan dihimpunkan dan ketika itu berlakunya kiamat. Firman Allah SWT dalam surah al-Qiyamah ayat 7-9:

Maksud: “ Maka apabila mata terbelalak(ketakutan), dan apabila bulan telah hilang cahayanya dan matahari dan bulan dikumpulkan.


Sidang Jemaah Yang di Rahmati Allah,

Kita dianjurkan oleh Rasulullah SAW ketika berlaku gerhana supaya bersegera untuk melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar dan menghindari daripada melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat serta perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama Islam. Ummul mukminin Saidatina Aishah R.HA berkata dalam riwayat al-Nasai yang mafhumnya: Dan sesungguhnya telah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah dihadapan orang ramai sambil memuji Allah SWT dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila kamu melihat terjadi gerhana matahari atau bulan, maka hendaklah kamu mendirikan solat sunat gerhana dan bersedekah serta memperbanyak mengingati Allah. Sabda Nabi SAW: "Wahai umat Muhammad, jikalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit ketawa dan banyak menangis.

Mimbar mengharapkan kejadian gerhana bulan ini akan menimbulkan keinsafan, kesedaran, menambah serta menguatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran ayat 190 – 191:

Maksudnya:“ Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-oang yang berakal Iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan semuanya ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.


Mengakhiri khutbah, marilah kita berdoa kepada Allah SWT semoga gerhana yang berlaku ketika ini tidak mengakibatkan berlakunya malapetaka alam seperti perubahan angin dan cuaca yang akan memungkinkan kesan kepada alam sekitar dan memberi kesan kepada perubahan tabii alam, tumbuh-tumbuhan serta kehidupan di dunia. Sebagai usaha untuk melahirkan keteguhan dan mengekalkan kekuatan iman yang ada dalam diri umat Islam, mimbar menggariskan beberapa nasihat untuk dijadikan pedoman antaranya: Pertama: Berfikir dan bertafakkur setiap kejadian fenomena alam; Kedua: Memperingati tentang nikmat syurga dan azab neraka; Ketiga: Menjauhkan diri daripada lalai dan lupa kepada Pencipta iaitu Allah SWT; Keempat: Menghitung,mempertingkatkan dan memperkemaskan amal kebajikan sepanjang masa; dan Kelima : Bersegera memohon taubat kepada Allah SWT di atas kealpaa dan keingkaran mentaati perintah.





(KHUTBAH KEDUA)


Maksud: Dan di antara tanda-tanda-Nya, bahawa Ia menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan; dan untuk merasakan kamu dari rahmat-Nya, dan supaya kapal belayar laju dengan perintah-Nya, dan juga supaya kamu dapat menuntut kurnia-Nya; dan supaya kamu bersyukur.


Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan dengan diri saya dan juga sekalian yang hadir supaya kita benar-benar bertakwa kepada Allah SWT dan menjunjung segala perintah-Nya dan menjauhi akan segala larangan-Nya semoga dengan itu hidup kita di bawah lindungan Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran ayat 46 surah ar-Rum bahawa disediakan kepada umat manusia di bumi Allah ini akan cuaca yang cukup selesa, aliran angin yang membawa berita dengan limpahan rezeki, kapal-kapal dengan muatan barang dagangan bergerak merentasi lautan menyuburkan lagi rezeki kurniaan Allah SWT untuk dinikmati bersama. Semoga dengan pelbagai habuan yang diperolehi itu, melahirkan rasa syukur kita kehadrat Allah SWT.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Pada hari ini kita berhimpun dan berkumpul dengan penuh harapan agar doa, rayuan dan taubat kita dimakbulkan oleh Allah SWT. Semoga Allah SWT memulihkan cuaca gerhana bulan yang kita saksikan sekarang ini, supaya kita terus sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Allah hendaknya. Berdoalah wahai jemaah sekalian, semoga selepas perhimpunan ini bermulanya aliran angin yang membawa hujan dan aliran air yang mencukupi keperluan, cuaca dan peralihan musim yang lebih baik untuk dinikmati bersama. Firman Allah SWT dalam surah Saad ayat 36:

Maksudnya: Maka Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya.

Mafhumnya: “Ya Allah ampunkanlah sekalian muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat samada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.


Jumaat, 9 Disember 2011

Aku makin gila 'study' dan bertambah 'busy' dengan izin yang arif

UKM Bangi, 10/12/11 - examination just around the corner, aku sampai dah terbaring-baring kona, ...kalau aku beli vespa nanti, jangan haraplah aku nak kona, bila ko nak suruh aku kona bang, kona bang, masa tu, aku bawak straighhhttt aje... siapa tahu dailog apa? ya betul, 10 markah. Man Laksa.

14/12/2011 - presentation master medical law
17/12/2011 - presentation master methodology
24/12/2011 - majlis akad nikah 2 pengantin
25/12/2011 - presentation master international economic law
27/12/2011 - presentation islamic crimanal law
3/1/2012 - exam master medical law

Tahun Baharu

13/1/2012 - exam master islamic criminal law
13/1/2012 - exam master international economic law
24 - 26/1/2012 - program dengan JAWI di Pahang
27 - 10/2/2012 - exam degree usuluddin dan falsafah

walaupun coretan ringkas ini bukan bertujuan takabbur mahupun menunjukkan kesibukan dan kegilaanku menuntut ilmu, namun aku mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada mereka yang terasa dengan tingkah laku ku dari pelbagai segi, maklum sahajalah tekananku amat dahsyat dan kuat. hanya Allah yang mengetahui.

Rabu, 7 Disember 2011

Sabotaj lagi

Nilai,7Dis2011 - jam 12.05am. aku merungkai segala tindakanku di saat ini. Asam garam lah dalam hidup, suka duka, susah senang. Satu panggilan yang aku dapat dari Pejabat Agama Islam Daerah Seremban yang meminta aku hadir ke sesi temuduga penyambungan kontrak imam di mana masjid yang aku sedang bertugas, tak pernah jadi macam ni, seolah satu sabotaj yang cuba dimainkan, mana tidaknya sepatutnya surat rasmi memanggilku untuk temuduga seminggu lebih awal dan atas maklumanku. Aku tahu angkara siapa, bukan bersifat skeptikal tetapi fakta dan bukti telah jelas.


lewat tengahari tadi bersama dengan salah seorang Pengarah di JAWI yang baik dengan aku dan telah beberapa kali program yang dikelolakan oleh konsultantku memuaskan hatinya, aku ceritakan masalahku ini. 'Enta jangan risau, kalau enta dah tak kerja sana mari bertugas di masjid KLCC'... Alhamdulillah, kekadang bukan kepastian itu jawapannya, tetapi cukuplah suara itu memujuk hati duka lara yang terkesan oleh politik gila mereka, dalam masjid pun begini. Kesimpulan masalah ini yang aku mula berkhidmat 8 tahun dahulu ialah, kalau di masjid pun huru haranya sebegini, di luar sana, di luar dari masjid pasti dan tentulah lebih haru biru.

Ada juga kenangan manis dalam bulan dan minggu ini, dan sedikit cuka simbol perasaan risau ialah peperiksaan MASTER akan kunjung tiba malah peperiksaan IJAZAH ke-3 ku dah tunggu kat simpang juga.
Seringkali di dalam storage pemikiranku ini menyatakan adalah lebih baik aku cabut je dari masjid tu, alih-alih aku juga yang pening kepala mengahadapi karenah mereka, Pengarah jabatan kawan baik mereka lah dan sebagainya, dan yang pasti aku tiada apa-apa kabel mahupun kereta kebal atau bluetooth kerana aku adalah AKU, I'm who I'm. Aku budak hafiz, aku perlukan platform untuk mengulang Quran dan inilah hujahku di hadapan Allah yang aku tidak akan lupakan ayat-ayatNya walaupun seketika dan inilah peganganku semenjak dahulu. Tapi aku juga manusia, kalau dihentam secara berterusan, aku bimbang benteng diri ini juga akan roboh dan diceroboh. Penat dan kecewa, kenapa dua orang yang berperang akan kalah dan seorang akan menang, secara teorinya mungkin kita akan kata kerana idea atau strategi peperangan, tapi jawapanku adalah kerana penat. Bila minda penat, tiada idea yang bernas, tiada tenaga yang tuntas, akhirnya tewas.

Ya Allah jauhkanlah aku, dan keluarga serta keturunanku dari api neraka. terfikir ku seketika salah seorang ustazah yang aku hormati mengeposkan di wall FB nya, ' I would stop this account', mudah. FB punca fitnah dan pertelingkah, dusta pada nabi, bohong atas nama Islam, dan negetifnya lebih dari positif. mungkin aku juga akan mengikut jejak langkahnya.

Koleksi peribadiku yang menjadi tunggangan, panduan, semangat dan penguat jiwaku ini, ILMU.. Ya Allah matikanlah aku ketika menuntut ilmu mahupun menyampaikan ilmu kerana itulah taman-taman syurga yang Dikau janjikan. Matikan aku dalam husnul khotimah. meziarahi seorang Pakcik di hospital Ampang yang mana usia tuanya didatangi penyakit yang menyedihkan, dia tidak pernah sakit mahupun ke hospital tetapi akhirnya.. kuasa Allah. Ya Allah daku bermohon kesembuhan kepada Pak Hassan, Noja Masjid KLCC. 7 tahun aku mengenalinya.

Siapalah kita berbanding Dia? Ampuni daku dalam sesi muhasabah ini









Khamis, 1 Disember 2011

Langkah seterusnya...

MasjidKLCC, 2Dis2011 - Jumaat, dan aku dimaklumkan kedatangan YDP Agong, Sultan Mizan ke masjid ini. Semalam menggamit memori setelah kian lama tidak mengimamkan jemaah di sini dan masjid yang disangkakan tenang jangan sangka tiada cerita, sama juga dengan masjidku, agaknya semua masjid menghadapi masalah yang sama dan di mana-mana, bezanya orang bijak atau bangang yang menguasainya. Bukan aku tidak mahu peduli namun misi lagi yang perlu ku isi.

dah..dah.. cerita lain pula, oh ya lokasi Putrajaya Konvensyen Centre (PICC) adalah lokasi hari graduasi pada 3 Disember 2011 yang lalu, cumanya aku tidak gemar sangat bercerita mengenai hari tersebut kerana telah kerap dengan nada tawaddhuk aku bergraduasi dan kali ini adalah kali ketiga dan mengikut perkiraanku insha allah ada tiga lagi konvokesyen yang aku akan hadiri pada tahun mendatang setiap tahun. Mudah-mudahan makbul.
inilah produk keluaran mindacerah dan uniknya, bunda mertua ku yang beli dan menghadiahkan kepadaku semula, so sweet. terima kasih tidak terhingga kerana sudi hadir dari melaka dan bersama-sama kak lang dan mak kocek. lepas konvo ke Saba kita melantak, hehehe..
hari ini saya tolong saudari, esok lusa saudari pula tolong saya, ini hari kovo daddy, esok lusa anas pula.. hehehe
bersama rakan-rakan seperjuangan, memori manis menuntut di universiti, kini masing-masing bawa haluan, sampai 2 3 pagi kita berdiskusi, akhirnya peroleh jua kejayaan berkat kesabaran.
kelakar tengok gelagat kawan-kawan yang sibuk bergraduasi mengambil gambar di sana sini namun bagi aku cukup ianya dikenang dan memercikkan semangat inspirasi dan motivasi
Terima kasih kepada semua, ibu ayah yang tercinta, jasamu berdua tidak kulupa, hanya jasad penggalung nyawa, sebagai ganti taat setia, juga buat isteri setia, membantu dan memahami kanda, semua yang berjasa tidak ku lupa, termasuk juga sahabat setia, mahupun musuh yang mara dan membuat ke tertekan jiwa, terima kasih kerana memberiku pengalaman, menghambat setan-setan yang berkeliaran dan kelaparan, alangkah indahnya dunia, jika sengsara ditukar deritam semua itu tidaklah mudah, yang paling utama mindanya kena cerah...