Hidup banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Hidup  banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Isnin, 31 Disember 2012

2013

Sg.Ramal Dalam, 1Jan2013 - beberapa hari sebelum ini aku dan atap telah ke pejabat baharu di setapak bagi memasang pendawaian elektrik lampu dan membuat sedikit kemasan, kesemuanya selesai sehingga jam 1-2pagi. tahun baharu ini dengan semangat yang baharu dan impian yang besar dengan jiwa yang besar semestinya memfokuskan kepada kerjaya, pendidikan, kekeluargaan yang legih baik. Sebagaimana sabda nabi SAW, orang mukmin yang berjaya itu ialah mereka yang hari ini lebih baik dari hari semalam.
Pejabat guaman yang dibuka di Diamond Square jalan Gombak ini adalah usaha bagi mengembangkan lagi perniagaan kerana aku melihat prospek sesebuah perniagaan adalah bermula di tempatnya. Pada kali ini konsultan mindacerah telah diberikan 2 projek utama di sekitar Kuala Lumpur tetapi malangnya sepanjang program tersebut aku tidak dapat memiliki mana-mana pejabat di kawasan ini, sampai ke Danau Kota mencari ofis dan pejabat murah tetapi akhir sekali, selepas sembang-sembang dengan abang Ayub dan Yaqub iaitu kawan sekelas ketika di UiTM, membuahkan keputusan yang sepakat.
 
Sempena tahun baharu ini juga, selain daripada pejabat baharu alhamdulillah aku juga dikurniakan motor skuter baharu, bukanlah dikurniakan macam YDP Agong beri free, maksudnya kenalah bayar membayar juga, aku pernah juga dengar imam di sebuah masjid di berikan kereta percuma oleh jemaahnya dan lain-lain, tapi setakat ini belum lagi pada aku dan mungkin di masa-masa akan datang. Mungkin penampilan aku yang mewah dengan berkenderaan mahal menyebabkan para penyumbang ini takut mendekati aku, hahaha... padan muka sendiri kan, sebenarnya apa yang aku cuba pamerkan ialah usaha dakwah kepada masyarakat umum bahawa tugas menjawat sebagai imam suatu ketika dulu atau mereka yang terlibat dalam usaha dakwah ini samada dia seorang ustaz ataupun tidak ialah jangan risaukan rezeki Allah dan pasti boleh hidup seperti orang lain juga. Dahulu semasa aku di pengajian pondok, ada cerita-cerita yang kurang enak yang diceritakan oleh umi bahawa ada anak kawan-kawannya yang hafaz quran tetapi jadi peminta sedekah di masjid-masjid kerana tidak boleh bekerja tiada kelulusan yang diiktiraf.
Ada benarnya juga, mungkin semasa itu banyak ibu bapa yang tidak mempedulikan anak-anak mereka menghafaz quran di tempat yang diiktiraf atau menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia(SPM) sebagai asas tuntutan dunia di alam pekerjaan mahupun dalam menyambung pengajian, maaf cakap ada yang hanya mementing Sijil Padang Mahsyar(SPM) katanya, tetapi lupa bahawa dunia yang dikelek juga membawa kepada akhirat yang dijunjung.

BLX7303, bagi mereka yang membaca sedari awal blog aku, pasti tertanya di manakah motor 135LC Special Edition yang ada telor tu? hahaha.. aku trade-in dengan moto SYM ni, atas sebab faktor usia aku yang memerlukan kenderaan banyak ruang dan sebab utamanya ialah LC tidaklah selaju dulu sebagaimana yang digembar-gemburkan.
          
Atas kesedaran itulah, pondok yang dibina oleh Abah bagi tujuan bersantai ini aku cuba lengkapi dengan sistem cahaya yang baik, bagi tujuan kelas mengaji dan tuisyen bahasa inggeris yang mahu dijadikan sebagai batu loncatan dan saham kami di akhirat, inilah usaha kecil yang aku cuba buat. 
dalam penulisan aku ini, seringkali aku luahkan bahawa aku cuba jadi yang terbaik kerana bermatlamatkan syurga firdaus, tetapi qada dan qadar Allah yang memperkenankan usaha aku itu, janganlah ditertawakan andai ada kesilapan percaturan selaku aku insan yang lemah dalam mengemudi bahtera kehidupan ku, anda bagaimana?

Sabtu, 22 Disember 2012

Alah bisa tegal biasa

Masjid Asy Syakirin KLCC, 20Disember2012 - program yang dikelolakan oleh aku hampir tamat dan selesai dengan pelbagai sketsa para pelajar dan pihak pengurusan, Alhamdulillah Allah memberikan aku peluang dalam menguruskannya dan ini bermakna dalam masa yang diberikan aku bukan dari aklangan penganggur dan yang paling baik ialah aku juga menyediakan peluang pekerjaan itu kepada orang lain juga, biasalah ada yang membantu kita dan ada juga yang memeningkan kita. Kalau tidak mahu dilambung ombak, kenapa menonton rancangan OngBak, hehehe.. namun pun bos, mestilah banyak halnya. Walau bagaimanapun, terima kasih tidak terhingga kepada ibu bapa dan adik beradik ku yang banyak membantu, seperti Faqih adikku yang bongsu membantu di Masjid Wangsa Maju, manakala Asyraf di Nilai. Aku boleh lah fokus kepada bidang guaman yang masih hijau ini.
bagi budak yang makin membesar ini, apa yang paling seronok baginya ialah mengalami usia mudanya dengan apa yang sepatutnya dirasai. Aku kaitkan dengan apa yang dilakukan oleh nabi SAW apabila baginda sendiri bermain dengan anak dan cucunya, malah diriwayatkan juga berkejar-kejar dengan isteri tercinta baginda Saidatina Aishah RA. Anak ini baharu cecah usia 2 tahun, maka sudah pasti banyak yang perlu dipelajari dengan cara yang bersesuaian dengan usianya, seronok. Ni masa di taman KLCC pun dah seronok sampai tak ingat daddy dia dah, Anas jom balik...
kalau dah senyum sakan macam tu memang susahlah nak ajak balik, ehehehe.. takpe lah anakanda, memang masamu bermain kan..
bersama kakak-kakak yang seronok dengan kehadiran anak ustaz, hehehe..
rambut dah macam pelakon Home Alone, hehehehe.. dulu Anas takut nak main kolam, pernah aku bawa dia ke pool di hotel Sri Malaysia Bagan Lalang, menangis-nangis taknak main, tetapi bila di KLCC ni lain pula semangatnya, sampai tak nak balik dan ditiup wisel oleh Mka Guard di situ, mana tidaknya, pampers penuh serap air pool bercampur dengan kencing dia, hehehe.. jangan marah ya, inilah yang dikatakan alah bisa tegal biasa. Aku memberikannya peluang kerana teringat hadith nabi SAW yang bersabda, didiklah anak-anak kamu dengan bermain kuda, memanah dan berenang. Inilah kemahiran yang perlu pada setiap anak muslim.
Meh jom balik... kalau daddy kaya nanti daddy buat satu kolam renang di rumah ek... hehehe

Jumaat, 21 Disember 2012

The coming new year, I'm still alive

Diamond Square Setapak, 19Dis2012 - Banyak kali aku terlepas masa untuk menulis catatan perjalanan hidup di blog, ironinya walaupun gambar-gambar yang aku masukkan dahulu sebelum isi kisahnya tetapi aku kenalpasti kemudahan otak ku mengingati ialah melalui visual atau lebih dikenali sebagai kategori manusia visualize. Maksudnya dengan gambar kita mudah ingat. Ingat ayat quran pun melalui muka surat dan kedudukan ayat pada halamannya dan bukan pada nombor ke berapa ayat tersebut.

Kisah kali ini bukanlah pasal gambar tetapi di kala ini aku rajin menonton rancangan kegemaranku iaitu History dan Discovery channel di astro. Bising dan gempar penduduk  dunia bila mereka mempopularkan teori penduduk kaum Maya yang meramalkan 21 Disember 2012 adalah hari tamat bagi dunia. Ilustrasi dan animasi yang dipertontonkan di dalam rancangan mereka sungguh meyakinkan bahawa akan berlaku pada dunia pada hari tersebut apatah lagi ianya jatuh pada hari Jumaat, sebagaimana yang disebut oleh nabi SAW bahawa dunia akan beakhir pada hari Jumaat.

Pokokny, kiamat atau tidak nabi SAW juga telah memberikan petunjuk bahawa andai berlakunya kiamat pun pada saat itu terdapat biji benih di tangan maka tanamkanlah seperti biasa pada bumi. Hadith ini perbah dibincangkan bersama-sama seorang doktor arab ketika menuntut dahulu, dan tafsiran muhaddithin ialah kiamat itu adalah suatu kepastian dan kiamat tidak boleh menjadi hujah agar orang Islam bermalas dan hanya beribadat, gementar dan tidak berbuat apa-apa, memohon ampun semata-mata sehingga lupa tanggungjawab dan amanah yang sepatutnya, dan andai kata 21 Disember ini iala apocalypse(kiamat) sekalipun, adakah dengan hanya duduk beramal semata-mata di masjid akan menjadikan kita ahli syurga?

Iman, iman, iman kita semua... adakah kita beribadah kerana takut pada kiamat? atau kita beribadah hanya kerana Allah SWT. Aku? sangat takut tentang perkhabaran mati dan kiamat kerana itu pada fikrahku, mereka yang mempercayai tarikh sesuatu contohnya 21.12.12 atau bernikah pada 12.12.12 dengan alasan mudah ingat atau sebagainya adalah mereka yang mengundang khurafat dan syirik kepada Allah SWT. Nombor ada kuasa kah? Jauhkanlah...
Disember yang sibuk sememangnya, dan alhamdulillah aku tidak mahu hatiku terikut-ikut dengan agenda orang kafir maka aku perlu teruskan kehidupan ini dengan cara mengemis rahmat Allah SWT. Kenapa aku mengemis? kerana aku hambaNya yang hina, selalu alpa dan lalai, tersilap dan longlai dengan nafsu yang berhantu, Allahu akbar... maka aku bersungguh-sungguh memaksimakan kehidupan dan kudrat yang Allah berikan kepadaku. Dalam bidang guaman, aku bersedia untuk keluar dari ofis lama dan memulakan suatu langkah yang pertama, membuka firma guaman sendiri secara tertib. Inilah gambaran ofis yang bakal aku duduki bersama-sama dengan rakan-rakan Ya'qub, Ayub & Co di Setapak.
Bukan itu sahaja, program-program cuti sekolah yang syarikat aku anjurkan juga semakin di penghujungnya, bilamana segala puji ku panjatkan kepada Allah yang mengizinkan kesemuanya berlaku.
Banyak jatuh bangun yang telah dirasai dan kini aku bersedia untuk berlari. Moga segala usaha dan amalanku sepanjang kehidupan lalu adalah aset bagiku untuk ke syurga, anak-anak yang dididik itu adalah aset ku ke syurga, dan moga Allah SWT yang maha mendengar, menerima rayuan dari pengemis hina ini. Aku yakin 21.12.12 BUKAN hari kiamat, tetapi berwaspada seolah saat kiamat disebelahnya.

Durian Creepe

Sabtu, 16Disember2012 UiTM - ini adalah sesi terakhir kelas sebelum aku menghadapi peperiksaan akhir semester dan akan bergraduasi lagi. kelas mengadakan majlis jamuan perpisahan dan sebenarnya di masa ini aku baru sahaja selesai menghadiri satu sesi temuduga kepeguaman syarie bagi negeri Pahang yang mana ada sedikit perbalahan antara aku dan panel penemuduga berkaitan tajuk PhD yang sedang aku usahakan. Aku akur kerana mereka lebih senior dan mahir dalam bercakap soal ini, takpelah yang penting aku dah usahakan yang terbaik.
Dengan memujuk hati yang luka, dalam majlis perpisahan itu telah dihidangkan dengan sejenis makanan yang selama ini aku hanya dengar dan disebut-sebut orang akan kelazatannya terutama bagi Hantu Durian semacam ku, tengok seorang kawan yang bernama Firdaus dari Sarawak mempamerkan aksi kelahapannya.. aku senang dengan kawan-kawan di sini kerana kesemuanya baik dan berbudi membantuku. Kalau lah mereka semua sebaliknya, mahu sahaja tidakkan selesai semua pengajianku di universiti, manakan tidak semuanya bersyarat untuk hadir ke kelas dengan peratusan markah yang ditetapkan atau akan berhadapan dengan dihalang masuk ke peperiksaan.
Gadis di atas namanya Naemah dan sebelahnya itu Mell, 2 gadis yang menjadi usikan di dalam kelas terutama bapa-bapa di bawah. Apa yang kelakarnya si Naemah telah awal-awal meletakkan syarat sesiapa yang mahu memperisterikannya sebagai isteri kedua, mesti memberikan nafkah bulanan sebanyak RM30ribu. Seloroh dia yang sering aku gelar sebagai pengacara NONA, kerana pakaiannya yang berfesyen di samping gaya cakap persis pengacara apabila membuat pembentangan tugasan. 
Waktu rehat dan makan adalah masa yang paling ditunggu, sepanjang belajar di UiTM banyak juga tempat-tempat makan yang menarik yang aku diperkenalkan oleh Molong(gelaran bagi Firdaus) iaitu nama sejenis ulat sagu yang dimakan. Nasi Beriyani Gam, kedai Ketam Nipah, dan lain-lain yang sememangnya membuka selera, kekadang tu terasa bukan ke kelas tapi ke kedai makan. Hasilnya, badanku bagai dipam-pam, jangan saksikan gambar di bawah ini ye, macam ada super impose membesarkan saiz tubuhku, ini tidak adil ahahaha... 
Ini contoh gambaran dalam kelas, semua ini lakonan semata-mata jangan tiru aksi ini di rumah, hehehe.. kelas ramai senior lawyer dan orang tua macam aku, nama pun post-grad kelas so semuanya dah habis belajar ijazah dan telah bekerja.

kan aku dah cakap teknik super impose menampakkan butang baju semakin tak muat, hehehe.. oh ya, sebelah aku tu Hazli, antara satu-satunya kawan dari universiti lama semasa Degree yang turut mengambil keputusan mencebur diri dalam bidang kepeguaman. aku tertarik dnegan kata-kata abang Yaqub yang kini adalah kawan sepejabat, kita jadi peguam sebab dah tak boleh nak jadi lain, so terpaksalah jadi peguam. Nak buat lagu mana, kalau boleh ajdi menteri atau penjawat awam lama dah buat.
yang berkaca mata besar tu boleh aku katakan antara peguam terhebat dalam jenayah. Fahmi Adillah yang sebenarnya adalah juniorku semasa di Maahad Hamidiah Kajang. Siapa sangka aku akan duduk sekelas dengan dia, dan aku ingat lagi antara budak yang aku rotan semasa aku Ketua Badar(Badan Dakwah dan Rohani) sekolah, inilah budak-budaknya, namun mereka menjadi kawanku semula. Bagi aku, dia antara peguam yang terbaik dalam penghujahan walaupun caranya dilihat seperti seorang senior lawyer walaupun usianya baharu mencecah 25 tahun. Tahniah bro..
Siapa budak ni? inilah kaki achkim.. hehehe malam itu bersama anakanda di Garden cafe menikmati makan malam bersama kerana isteri bekerja shift malam, well.. mujurlah ada anak penyejuk mata dan penggarang jantung yang belum kenal erti salah dan silap di muka bumi ini.

Manakala gambar-gambar di bawah pula ialah apabila aku sekali lagi dijemput oleh pihak MPP dan Badan keusahawan dalam sesi menyampaikan motivasi dalam perniagaan di Universiti Sains Islam Malaysia(USIM), aku bukanlah yang terbaik, namun sekadar berkongsi apa yang perlu dan kalau itu membantu dalam dakwah apalah salahnya.
Cuma ada kata-kata aku yang menyinggung perasaan panel seperti pensyarah ini, aku menyebut soal Allah menemplak mereka yang hanya bercakap tetapi tidak melaksanakannya, kalau jadi cikgu usahawan, bercakap pasal ekonomi dan perniagaan tetapi satu bentuk perniagaan pun tidak diusahakan apalah makna usahawan itu. Atau dalam bahasa kasarnya, samada jadi lembu atau pengembala lembu.
Hanya dengan menjalankan perniagaan barulah kita mampu lebih dari orang lain dan lebih rezeki dari orang dan lebih mudah bantu orang dari orang lain, aku telah buktikannya dan ada juga peringatan kepada peniaga sepertiku kerana ada sahaja ruang untuk terpesong ke jalan yang di murkai Allah. Hati-hati diri, jaga IMAN mu!

Khamis, 6 Disember 2012

Soalan Metro 30Nov2012: Nafkah buat isteri

Sungai Ramal, 7Disember2012 - 


FOKUS NAFKAH BUAT ISTERI

Soalan 1

PERKAHWINAN mempunyai beberapa kewajiban bersama yang perlu ditanggung pasangan suami isteri. Sebab itu, perhubungan antara suami isteri perlu dibina atas landasan keadilan, tolak ansur dan saling menyayangi. Namun suami berperanan paling utama dalam menyediakan nafkah buat seluruh keluarganya. Dalam situasi isteri bekerja, berdasarkan hukum walaupun isteri bekerja, suami tetap perlu beri nafkah kepada isteri. Namun isteri yang bekerja perlu mendapat keizinan suami. Bagaimana jila isteri redha, dengan rela tidak menuntut bahagian nafkah daripada suaminya disebabkan dia sudah selesa dan cukup hasil pendapatannya sendiri malah turut membantu suami dalam urusan perbelanjaan keluarga?

Perlulah difahami, nafkah menurut Islam dalam kitab Mughni Muhtaj mengikut ulama Al-Syarbini ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib atas seorang itu untuk membiyainya, iaitu membiayai semua hajat dan keperluan termasuklah pelajaran, makanan, ibadat, tempat tinggal dan sebagainya. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Talaq ayat 7 yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya”.

Sepakat Jumhur ulama' menyatakan bahawa kewajipan mengeluarkan nafkah itu atas tanggungjawab suami walaupun sekiranya isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri dan menurut pandangan majoriti ulama termasuklah mazhab Syafie, seorang isteri hanya terbatal menerima nafkah sekiranya telah melakukan nusyuz terhadap suami menurut sisi syarak ataupun isteri tadi bekerja tanpa keizinan si suami. Permasalahannya ialah, bolehkah isteri rela tidak menuntut bahagian nafkah daripada suaminya malah membantu perbelanjaan keluarga. Tindakan murni seorang isteri sebegini adalah sangat dipuji dalam Islam kerana sanggup berkorban mengenepikan kepentingan diri untuk suami dan keluarga tercinta. Namun begitu, tindakan terpuji ini akan mendidik para suami melepaskan tanggungjawabnya dan menyerahkan isu nafkah kepada pihak isteri semata-mata. Ini sebenarnya mencorakkan keluarga tadi ke arah porak peranda di masa hadapan. Nafkah yang wajib dikeluarkan dan perlu difahami ialah berdasarkan keperluan dan kemampuan. Sekiranya perkara asas dalam nafkah seperti menyediakan makanan termasuklah membeli barang dapur pun si suami tidak mampu menyediakannya, maka wajar diselidiki apakah status perkahwinannya kerana si suami tadi seorang yang belum mampu untuk berkahwin. Sepatutnya begini, si suami tidak boleh langsung tidak menyediakan nafkah, kerana nafkah itu luas konsepnya termasuklah menyediakan rumah kediaman, pelajaran anak-anak, selain daripada makanan, pakaian dan juga kos perubatan dan lain-lain berdasarkan mampu dan perlu, lantas jika terdapat kekurangan kemampuan suami tadi dalam menyediakan perbelanjaan keluarga barulah dibantu oleh si isteri.


Soalan 2

YANG banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah ketidakpuasan segelintir isteri yang mempertikaikan sikap suami mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai 'bread winner'. Barangkali pihak suami berdepan dengan masalah kewangan meruncing sehingga menyebabkan mereka tidak mampu menyara kehidupan seorang diri. Ada juga yang berhadapan dengan masalah ketidakadilan suami yang memilih untuk berpoligami tetapi melupakan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri pertama dan anak-anaknya. Lebih teruk, ada suami yang tidak bekerja atau pendapatannya lebih rendah daripada isteri yang hampir keseluruhan perbelanjaan keluarga ditanggung isteri. Pandangan Ustaz mengenai perkembangan tidak sihat itu dan jalan keluar untuk terus mengekalkan kerukunan rumah tangga terutamanya dalam pengurusan kewangan.
Kaedah fiqh ada menyatakan setiap perkara berdasarkan niatnya. Ini adalah mekanisme yang dipakai di dalam mahkamah bagi melihat sesuatu tindakan suami atau isteri adalah bergantung pada niat mereka. Isteri membantu suami dalam menyediakan nafkah adalah tanda isteri sayang dan sanggup berkorban demi keluarga tetapi jika suami mengambil kesempatan dengan cuai dan culas dalam pemberian nafkah walaupun seorang yang berkemampuan menunjukkan si suami tadi ada 'agenda' lain termasuklah berpoligami tanpa kebenaran di luar mahkamah. Perkembangan yang tidak sihat ini sebenarnya menafikan kuasa mahkamah dalam menilai kondisi seseorang suami untuk berpoligami samada 'mampu dan perlu' untuk berkahwin lain atau hanya 'mampu atau perlu' sahjaja. Firman Allah SWT di dalam surah al-Talaq ayat 6 yang bermaksud, “Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu, dan janganlah kamu menyusahkan mereka, dan menyempitkan hati mereka”. Dalil tersebut menyatakan bahawa kewajipan si suami mengeluarkan nafkah mengikut kemampuan dan bukannya mengikut sukatan si suami, kerana itu istilah 'bread winner' diberikan kepada suami yang hanya mengikis duit isteri dan ini adalah bertentangan dari hukum syarak kerana melanggar fitrah menyediakan nafkah. Malah sabda nabi SAW, 'tidak akan masuk syurga (para suami) yang dayus' termasuklah mereka yang menyedut kesusahan isteri untuk kepentingan sendir ibarat 'parasit'. Inilah yang ditekankan oleh para cendikiawan dan juga di pihak kerajaan tentang perlunya ilmu berumahtangga yang disuntik dalam modul pra-perkahwinan walaupun di tahap yang minima sekurang-kurangnya bakal-bakal isteri sedar bahawa pemberian nafkah adalah tanggungjawab mutlak suami dan janganlah alpa kerana dikaburi dengan cinta buta.

Kes-kes di mahkamah syariah kebanyakan berkisar kepada isu nafkah yang menjadi tunggak dalam perancangan kewangan sesebuah keluarga kerana kebanyakkan pasangan tidak memikirkannya dari awal kerana menganggap, kesucian cinta mereka berdua lebih utama daripada makan, kerana ulat dalam batu pun boleh hidup. Pemikiran ini perlu dihapuskan kerana kita ini manusia dan bukannya ulat, sebab itu manusia dijadikan Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi yang dipertanggungjawabkan dengan pelbagai amanah. Secara tidak langsungnya, corak perkahwinan hari ini adalah menjurus ke arah perkahwinan misyar, bila mana si suami dengan pendapatannya mengeluarkan belanja untuk perkara-perkara tertentu malah isteri juga mengeluarkan belanja hasil wang kerjanya untuk membayar perkara-perkara tertentu. Perancangan kewangan yang saling bantu-membantu ini adalah dipuji oleh syara' tetapi akan menjadi negatif bilamana ada sikap kemanusiaan seperti mengambil kesempatan atas pertolongan isteri dengan berkahwin lain contohnya dan menyebabkan isteri akan mengungkit semua pemberiannya kepada suami dan keluarga. Jika dinilai secara harmoni, indahnya perkahwinan orang-orang tua dahulu bilamana suami akan bekerja dan isteri adalah suri rumah sepenuh masa, sebenarnya kedua-dua mereka bekerja memastikan kerukunan berumah tangga.


Soalan 3

SEORANG isteri berhak mendapat nafkah sewajarnya daripada suaminya seperti mana yang ditetapkan syariah mengikut kemampuan suami. Dalam bentuk bagaimana kemampuan suami itu diertikan? Adakah perlu adanya 'amount' tetap untuk diberikan setiap bulan?
Firman Alah SWT di dalam surah al-Baqaroh ayat 223 yang bermaksud, “..dan kewajipan ayah(suami) memberi makan dan pakaian kepada para ibu(isteri) dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya”. Dalil ini jelas menunjukkan Islam hanya meletakkan syarat nilaian dalam mengeluarkan nafkah kepada isteri ialah dengan cara yang makruf dan mampu. Iaitu jumlah nafkah tersebut adalah munasabah dan tidak menyeksa para suami dalam menyediakannya kerana Imam Nawawi menggariskan penyediaan nafkah kepada 7 perkara asas seperti makanan, bahan-bahan memasak seperti minyak masak, garam, gula dan lain-lain, pembantu bagi isteri yang kebiasaanya mempunyai pembantu, pakaian, alalt-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya, serta perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, tidur dan sebagainya dan yang terakhir ialah tempat tinggal. Maka jelas di sini, bukanlah 'amount' tertentu dan khusus pada setiap bulan kerana ianya berbeza bagi setiap orang tetapi hendaklah secara makruf dan jujur kerana adalah tidak masuk akal jika suaminya gaji puluhan ribu tetapi pakaian isterinya lusuh dan tidak ditukar, kerana ini menunjukkan sifat sebenar si suami tadi.



Soalan 4

SETUJUKAH ustaz nafkah itu sebenarnya tidak bersifat mutlak kerana setiap suami tidak sama kemampuannya. Ada yang lebih berkemampuan menyediakan kesemua keperluan dan ada pula sebaliknya. Namun yang penting suami memberikan sepenuh tanggungjawab serta komitmen sebaik mungkin dengan kadar yang mampu memberi keselesaan buat isteri bukannya kemewahan atau pembaziran melampau.

Sabda nabi SAW yang ertinya: dari Muawiyah al-Qusyairi, berkata: “saya datang kepada Rasulullah s.a.w lalu saya bertanya, bagaimana pandanganmu Ya Rasulullah tentang isteri-isteri kami? Sabdanya: “berilah mereka makan dari makanan yang kamu makan, berilah mereka pakaian dari pakaian yang kamu pakai, janganlah kamu pukul mereka dan jangan pula kamu buruk-burukkan mereka”. (H.R Abu Dawud)

Jika sesuatu nafkah itu diterjemahkan dalam bentuk kewangan, tidak cukup pemberian nafkah dianggap kedekut walaupun mampu, namun bila terlebih dalam pemberian nafkah dianggap mewah dan ke arah pembaziran. Malah sabda nabi SAW, sebaik-baik perkara ialah sederhana. Memang benar nafkah tidak bersifat mutlak dan mengikat suami atas satu jumlah tertentu yang wajib dikeluarkan setiap bulan, kerana nafkah atas kemampuan dan keperluan. Sewajarnya pasangan menyenaraikan perkara-perkara yang perlu dan mampu untuk didahulukan terlebih dahulu. Ambil contoh pasangan yang sederhana yang baharu mendirikan rumahtangga, dengan wang yang limit dan baharu pula bekerja, adalah lebih terpuji bagi mereka membeli perkakas-perkakas rumah yang mengikut kemampuan berbanding sanggup berhutang demi kelihatan elegan dan terkini, almari kain yang dibeli akan dikenang sebelum menggunakan almari yang lebih bagus. Inilah kenangan manis berumahtangga kerana sanggup bermula dari bawah dan susah daripada bersenang dahulu tetapi kesenangan tadi hanya sementara dan memeritkan di kemudian hari.


Soalan 5

Dalam sebuah hadis yang maksudnya: “Rasulullah SAW bersabda seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya” (Riwayat Muslim). Sebagai ketua keluarga sebagai suami sama ada isteri meminta atau tidak, mereka perlu memberi nafkah kepada isterinya. Rasulullah tidak mahu umatnya bersifat bakhil terutama kepada pasangan yang melahirkan zuriatnya. Komen ustaz.

Suami tidak boleh memberi makanan dan pakaian kepada isterinya lebih buruk daripada apa yang dimakan dan dipakai suaminya. Begitu juga kadar makan dan pakai yang menjadi hak isteri diberikan mengikut kadar yang mampu diberikan oleh suaminya. Di dalam hal ini isteri tidak boleh meminta sesuatu yang diluar kemampuan suaminya. Akan tetapi sekiranya suami mampu memberikannya lebih tetapi tidak diberikan maka dalam situasi ini isteri dibenarkan mengambil harta suaminya seperti sabda Rasulullah SAW:
Ertinya: “dari aisyah r.a berkata: sesungguhnya Hindun datang kepada rasulullah lalu berkata: “wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah orang yang kikir dan tidak mahu memberikan kepadaku belanja yang cukup untukku dan anakku, sehingga terpaksa aku ambil dari hartanya tanpa pengetahuannya”. Lalu Baginda bersabda: “ambillah sekadar cukup untuk dirimu dan anakmu dengan wajar”. (H.R Bukhary dan Muslim)

Hadith ini menegaskan bahawa islam membenarkan bagi isteri mengambil harta suaminya sekadar untuk keperluan dirinya dan anak-anak, jika suaminya mempunyai harta yang cukup tetapi tidak memberikan haknya mengikut kemampuannya. Jika suami yang bakhil dicela oleh agama dan dibenarkan bagi isterinya mengambil tambahan dari harta suaminya tanpa pengetahuannya, maka lebih berdosalah lagi suami yang tidak memberi nafkah isterinya. Sudah tentu perbuatan itu telah melanggari hak isteri yang telah ditetapkan oleh syariat islam. Bahkan Isteri juga boleh memberi peringatan terhadap suami yang mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah samada mahu memberi belanja atau menceraikannya. Menurut Imam Syafie dalam kitab karangan Dr. Wahbah Zuhaily menyatakan, kadar nafkah makanan yang wajib itu adalah mengikut keadaan suami. Maka jika suami itu orang kaya, nafkah isteri yang diwajibkan ialah dua cupak makanan setiap hari, suami yang miskin satu cupak dan suami yang sederhana satu cupak setengah.

Kesimpulannya, hakikat perkahwinan adalah amanah yang dipertanggungjawabkan dan bukanlah keseronokan semata-mata, namun kesusahan dan kepahitan melaksanakan kesemua amanah tersebut adalah kemanisan dan keseronokan berumahtangga termasuklah dalam menyediakan nafkah dan disebut sebagai syahid dunia menurut ulama jika seorang itu keluar dari rumah mencari nafkah dan mati dalam perjalanannya. Pepatah melayu, berat sama dipukul dan ringan sama dijinjing adalah terpakai dalam penyediaan nafkah apatah lagi syarak meletakkan keutamaan kepada orang yang paling hampir dengan kita iaitu ahli keluarga kita sendiri.

Sabtu, 1 Disember 2012

peguam negeri johor

Danga Bay, 26November2012 -