HUKUM SOLAT GERHANA
Sunat Muakkad (sunat yang dituntut)
CARA-CARA SOLAT
Dua (2) rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat ditunaikan secara berjemaah di Masjid/Surau dan boleh juga secara bersendirian.
CARA-CARA PELAKSANAANNYA
Solat gerhana matahari dan bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara :
Bagi gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara ; adapun bagi gerhana bulan bacaan hendaklah dibaca dengan diangkat suara seperti mana-mana solat malam
Cara Pertama : Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan duarakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.
Cara Kedua : hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu. Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua). Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua.
Cara Ketiga : Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua
akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah. Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.
Waktunya
Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.
Tempat Solat
Solat gerhana sunat dilakukan di masjid atau surau atau mana-mana tempat yang biasa dilakukan solat berjemaah.
ATURAN SOLAT GERHANA
1. Disunatkan mandi sebelum solat.
2. Bilal Menyeru :as-Solatu Jaami’ah!! ( Solat berjemaah )
3. Berdiri lurus mengadap kiblat.
4. Berniat mengerjakan solat gerhana.
(i) Lafaz niat untuk gerhana bulan:
“ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.
(ii) Lafaz niat untuk gerhana matahari:
“ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.
5. Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.
6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
7. Baca al-Fatihah dan Surah.
8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
10. Baca al-Fatihah dan Surah.
11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti khutbah Hari Raya).
RUJUKAN :
1. Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.
2. Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad bin Abdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).
3. Sembahyang sunat gerhana matahari, segala bacaannya dilakukan dengan suara perlahan, manakala bagi sembahyang sunat gerhana bulan, segala bacaannya dilakukan dengan suara yang nyaring
KHUTBAH
GERHANA BULAN BUKTI KEKUASAAN ALLAH SWT"
(10 DISEMBER 2011 / 14 MUHARRAM 1433H)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan dengan diri saya dan juga para jemaah sekalian agar kita benar-benar bertakwa kepada Allah SWT dengan menjunjung segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan itu kehidupan kita senantiasa di bawah lindungan Allah SWT.
Sidang Jemaah Yang di Rahmati Allah,
Sebagai umat Islam kita mestilah percaya dengan penuh yakin bahawa Allah SWT maha berkuasa, pentadbir seluruh alam. Segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan seumpamanya adalah dibawah kekuasaan Allah SWT yang maha berkuasa menggerakkannya. Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti-ganti, matahari beredar di waktu siang, manakala bulan beredar di waktu malam adalah atas kudrat dan iradat Allah SWT dan ianya mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri.
Pada hari ini kita diperlihatkan dengan kuasa Allah SWT yang maha agung iaitu kejadian gerhana bulan. Gerhana ini berlaku ketika bulan berada bertentangan dengan bumi dan terlindung daripada matahari, ini bermakna bulan boleh termasuk ke dalam bayang bumi dan menghilang. Begitulah kehebatan kekuasaan Allah SWT yang mampu mengubah segalanya di langit dan bumi pada bila-bila masa yang tidak ada satu kuasa lain yang dapat menyekat Qada’ dan Qadar Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Fussilat ayat 37:
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sembah matahari mahu pun bulan tetapi sembahlah Allah yang menciptakannya, jika kamu hendak sembah”.
Oleh itu jika berlaku kejadian gerhana matahari atau bulan, ianya bukanlah merupakan suatu tanda akan timbul kejadian yang aneh dan mengkhuatirkan, tetapi gerhana itu berlaku atas sifat wajib bagi Allah SWT iaitu berkehendak dan berkuasa atas segala sesuatu yang tidak dapat dihalang oleh apa jua kekuatan pun di dunia ini.
Sidang Jemaah Yang di Rahmati Allah,
Setiap perubahan yang berlaku terhadap cakerawala mengandungi hikmah yang tersendiri. Begitu juga perubahan yang berlaku kepada matahari dan bulan, sudah pastinya mengandungi hikmat yang tertentu, antaranya memberi peringatan agar hamba-Nya tidak melampaui batas dan sentiasa bermuhasabah. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah SWT. Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang dari kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu”. (Riwayat al-Bukhari).
Gerhana bulan merupakan amaran Allah SWT untuk seluruh manusia agar patuh dan setia di atas perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya dan akan berlaku sepanjang zaman sebagai peringatan Allah SWT di atas segala ketelanjuran yang dilakukan oleh hamba-Nya. kejadian ini akan berterusan sehingga matahari dan bulan dihimpunkan dan ketika itu berlakunya kiamat. Firman Allah SWT dalam surah al-Qiyamah ayat 7-9:
Maksud: “ Maka apabila mata terbelalak(ketakutan), dan apabila bulan telah hilang cahayanya dan matahari dan bulan dikumpulkan”.
Sidang Jemaah Yang di Rahmati Allah,
Kita dianjurkan oleh Rasulullah SAW ketika berlaku gerhana supaya bersegera untuk melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar dan menghindari daripada melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat serta perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama Islam. Ummul mukminin Saidatina Aishah R.HA berkata dalam riwayat al-Nasai yang mafhumnya: “Dan sesungguhnya telah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah dihadapan orang ramai sambil memuji Allah SWT dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila kamu melihat terjadi gerhana matahari atau bulan, maka hendaklah kamu mendirikan solat sunat gerhana dan bersedekah serta memperbanyak mengingati Allah. Sabda Nabi SAW: "Wahai umat Muhammad, jikalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu sedikit ketawa dan banyak menangis”.
Mimbar mengharapkan kejadian gerhana bulan ini akan menimbulkan keinsafan, kesedaran, menambah serta menguatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran ayat 190 – 191:
Maksudnya:“ Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-oang yang berakal Iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan semuanya ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”.
Mengakhiri khutbah, marilah kita berdoa kepada Allah SWT semoga gerhana yang berlaku ketika ini tidak mengakibatkan berlakunya malapetaka alam seperti perubahan angin dan cuaca yang akan memungkinkan kesan kepada alam sekitar dan memberi kesan kepada perubahan tabii alam, tumbuh-tumbuhan serta kehidupan di dunia. Sebagai usaha untuk melahirkan keteguhan dan mengekalkan kekuatan iman yang ada dalam diri umat Islam, mimbar menggariskan beberapa nasihat untuk dijadikan pedoman antaranya: Pertama: Berfikir dan bertafakkur setiap kejadian fenomena alam; Kedua: Memperingati tentang nikmat syurga dan azab neraka; Ketiga: Menjauhkan diri daripada lalai dan lupa kepada Pencipta iaitu Allah SWT; Keempat: Menghitung,mempertingkatkan dan memperkemaskan amal kebajikan sepanjang masa; dan Kelima : Bersegera memohon taubat kepada Allah SWT di atas kealpaa dan keingkaran mentaati perintah.
(KHUTBAH KEDUA)
Maksud: “Dan di antara tanda-tanda-Nya, bahawa Ia menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan; dan untuk merasakan kamu dari rahmat-Nya, dan supaya kapal belayar laju dengan perintah-Nya, dan juga supaya kamu dapat menuntut kurnia-Nya; dan supaya kamu bersyukur”.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan dengan diri saya dan juga sekalian yang hadir supaya kita benar-benar bertakwa kepada Allah SWT dan menjunjung segala perintah-Nya dan menjauhi akan segala larangan-Nya semoga dengan itu hidup kita di bawah lindungan Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran ayat 46 surah ar-Rum bahawa disediakan kepada umat manusia di bumi Allah ini akan cuaca yang cukup selesa, aliran angin yang membawa berita dengan limpahan rezeki, kapal-kapal dengan muatan barang dagangan bergerak merentasi lautan menyuburkan lagi rezeki kurniaan Allah SWT untuk dinikmati bersama. Semoga dengan pelbagai habuan yang diperolehi itu, melahirkan rasa syukur kita kehadrat Allah SWT.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Pada hari ini kita berhimpun dan berkumpul dengan penuh harapan agar doa, rayuan dan taubat kita dimakbulkan oleh Allah SWT. Semoga Allah SWT memulihkan cuaca gerhana bulan yang kita saksikan sekarang ini, supaya kita terus sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Allah hendaknya. Berdoalah wahai jemaah sekalian, semoga selepas perhimpunan ini bermulanya aliran angin yang membawa hujan dan aliran air yang mencukupi keperluan, cuaca dan peralihan musim yang lebih baik untuk dinikmati bersama. Firman Allah SWT dalam surah Saad ayat 36:
Maksudnya: “Maka Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya”.
Mafhumnya: “Ya Allah ampunkanlah sekalian muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat samada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan