Hidup banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Hidup  banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Isnin, 31 Disember 2012

2013

Sg.Ramal Dalam, 1Jan2013 - beberapa hari sebelum ini aku dan atap telah ke pejabat baharu di setapak bagi memasang pendawaian elektrik lampu dan membuat sedikit kemasan, kesemuanya selesai sehingga jam 1-2pagi. tahun baharu ini dengan semangat yang baharu dan impian yang besar dengan jiwa yang besar semestinya memfokuskan kepada kerjaya, pendidikan, kekeluargaan yang legih baik. Sebagaimana sabda nabi SAW, orang mukmin yang berjaya itu ialah mereka yang hari ini lebih baik dari hari semalam.
Pejabat guaman yang dibuka di Diamond Square jalan Gombak ini adalah usaha bagi mengembangkan lagi perniagaan kerana aku melihat prospek sesebuah perniagaan adalah bermula di tempatnya. Pada kali ini konsultan mindacerah telah diberikan 2 projek utama di sekitar Kuala Lumpur tetapi malangnya sepanjang program tersebut aku tidak dapat memiliki mana-mana pejabat di kawasan ini, sampai ke Danau Kota mencari ofis dan pejabat murah tetapi akhir sekali, selepas sembang-sembang dengan abang Ayub dan Yaqub iaitu kawan sekelas ketika di UiTM, membuahkan keputusan yang sepakat.
 
Sempena tahun baharu ini juga, selain daripada pejabat baharu alhamdulillah aku juga dikurniakan motor skuter baharu, bukanlah dikurniakan macam YDP Agong beri free, maksudnya kenalah bayar membayar juga, aku pernah juga dengar imam di sebuah masjid di berikan kereta percuma oleh jemaahnya dan lain-lain, tapi setakat ini belum lagi pada aku dan mungkin di masa-masa akan datang. Mungkin penampilan aku yang mewah dengan berkenderaan mahal menyebabkan para penyumbang ini takut mendekati aku, hahaha... padan muka sendiri kan, sebenarnya apa yang aku cuba pamerkan ialah usaha dakwah kepada masyarakat umum bahawa tugas menjawat sebagai imam suatu ketika dulu atau mereka yang terlibat dalam usaha dakwah ini samada dia seorang ustaz ataupun tidak ialah jangan risaukan rezeki Allah dan pasti boleh hidup seperti orang lain juga. Dahulu semasa aku di pengajian pondok, ada cerita-cerita yang kurang enak yang diceritakan oleh umi bahawa ada anak kawan-kawannya yang hafaz quran tetapi jadi peminta sedekah di masjid-masjid kerana tidak boleh bekerja tiada kelulusan yang diiktiraf.
Ada benarnya juga, mungkin semasa itu banyak ibu bapa yang tidak mempedulikan anak-anak mereka menghafaz quran di tempat yang diiktiraf atau menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia(SPM) sebagai asas tuntutan dunia di alam pekerjaan mahupun dalam menyambung pengajian, maaf cakap ada yang hanya mementing Sijil Padang Mahsyar(SPM) katanya, tetapi lupa bahawa dunia yang dikelek juga membawa kepada akhirat yang dijunjung.

BLX7303, bagi mereka yang membaca sedari awal blog aku, pasti tertanya di manakah motor 135LC Special Edition yang ada telor tu? hahaha.. aku trade-in dengan moto SYM ni, atas sebab faktor usia aku yang memerlukan kenderaan banyak ruang dan sebab utamanya ialah LC tidaklah selaju dulu sebagaimana yang digembar-gemburkan.
          
Atas kesedaran itulah, pondok yang dibina oleh Abah bagi tujuan bersantai ini aku cuba lengkapi dengan sistem cahaya yang baik, bagi tujuan kelas mengaji dan tuisyen bahasa inggeris yang mahu dijadikan sebagai batu loncatan dan saham kami di akhirat, inilah usaha kecil yang aku cuba buat. 
dalam penulisan aku ini, seringkali aku luahkan bahawa aku cuba jadi yang terbaik kerana bermatlamatkan syurga firdaus, tetapi qada dan qadar Allah yang memperkenankan usaha aku itu, janganlah ditertawakan andai ada kesilapan percaturan selaku aku insan yang lemah dalam mengemudi bahtera kehidupan ku, anda bagaimana?

Sabtu, 22 Disember 2012

Alah bisa tegal biasa

Masjid Asy Syakirin KLCC, 20Disember2012 - program yang dikelolakan oleh aku hampir tamat dan selesai dengan pelbagai sketsa para pelajar dan pihak pengurusan, Alhamdulillah Allah memberikan aku peluang dalam menguruskannya dan ini bermakna dalam masa yang diberikan aku bukan dari aklangan penganggur dan yang paling baik ialah aku juga menyediakan peluang pekerjaan itu kepada orang lain juga, biasalah ada yang membantu kita dan ada juga yang memeningkan kita. Kalau tidak mahu dilambung ombak, kenapa menonton rancangan OngBak, hehehe.. namun pun bos, mestilah banyak halnya. Walau bagaimanapun, terima kasih tidak terhingga kepada ibu bapa dan adik beradik ku yang banyak membantu, seperti Faqih adikku yang bongsu membantu di Masjid Wangsa Maju, manakala Asyraf di Nilai. Aku boleh lah fokus kepada bidang guaman yang masih hijau ini.
bagi budak yang makin membesar ini, apa yang paling seronok baginya ialah mengalami usia mudanya dengan apa yang sepatutnya dirasai. Aku kaitkan dengan apa yang dilakukan oleh nabi SAW apabila baginda sendiri bermain dengan anak dan cucunya, malah diriwayatkan juga berkejar-kejar dengan isteri tercinta baginda Saidatina Aishah RA. Anak ini baharu cecah usia 2 tahun, maka sudah pasti banyak yang perlu dipelajari dengan cara yang bersesuaian dengan usianya, seronok. Ni masa di taman KLCC pun dah seronok sampai tak ingat daddy dia dah, Anas jom balik...
kalau dah senyum sakan macam tu memang susahlah nak ajak balik, ehehehe.. takpe lah anakanda, memang masamu bermain kan..
bersama kakak-kakak yang seronok dengan kehadiran anak ustaz, hehehe..
rambut dah macam pelakon Home Alone, hehehehe.. dulu Anas takut nak main kolam, pernah aku bawa dia ke pool di hotel Sri Malaysia Bagan Lalang, menangis-nangis taknak main, tetapi bila di KLCC ni lain pula semangatnya, sampai tak nak balik dan ditiup wisel oleh Mka Guard di situ, mana tidaknya, pampers penuh serap air pool bercampur dengan kencing dia, hehehe.. jangan marah ya, inilah yang dikatakan alah bisa tegal biasa. Aku memberikannya peluang kerana teringat hadith nabi SAW yang bersabda, didiklah anak-anak kamu dengan bermain kuda, memanah dan berenang. Inilah kemahiran yang perlu pada setiap anak muslim.
Meh jom balik... kalau daddy kaya nanti daddy buat satu kolam renang di rumah ek... hehehe

Jumaat, 21 Disember 2012

The coming new year, I'm still alive

Diamond Square Setapak, 19Dis2012 - Banyak kali aku terlepas masa untuk menulis catatan perjalanan hidup di blog, ironinya walaupun gambar-gambar yang aku masukkan dahulu sebelum isi kisahnya tetapi aku kenalpasti kemudahan otak ku mengingati ialah melalui visual atau lebih dikenali sebagai kategori manusia visualize. Maksudnya dengan gambar kita mudah ingat. Ingat ayat quran pun melalui muka surat dan kedudukan ayat pada halamannya dan bukan pada nombor ke berapa ayat tersebut.

Kisah kali ini bukanlah pasal gambar tetapi di kala ini aku rajin menonton rancangan kegemaranku iaitu History dan Discovery channel di astro. Bising dan gempar penduduk  dunia bila mereka mempopularkan teori penduduk kaum Maya yang meramalkan 21 Disember 2012 adalah hari tamat bagi dunia. Ilustrasi dan animasi yang dipertontonkan di dalam rancangan mereka sungguh meyakinkan bahawa akan berlaku pada dunia pada hari tersebut apatah lagi ianya jatuh pada hari Jumaat, sebagaimana yang disebut oleh nabi SAW bahawa dunia akan beakhir pada hari Jumaat.

Pokokny, kiamat atau tidak nabi SAW juga telah memberikan petunjuk bahawa andai berlakunya kiamat pun pada saat itu terdapat biji benih di tangan maka tanamkanlah seperti biasa pada bumi. Hadith ini perbah dibincangkan bersama-sama seorang doktor arab ketika menuntut dahulu, dan tafsiran muhaddithin ialah kiamat itu adalah suatu kepastian dan kiamat tidak boleh menjadi hujah agar orang Islam bermalas dan hanya beribadat, gementar dan tidak berbuat apa-apa, memohon ampun semata-mata sehingga lupa tanggungjawab dan amanah yang sepatutnya, dan andai kata 21 Disember ini iala apocalypse(kiamat) sekalipun, adakah dengan hanya duduk beramal semata-mata di masjid akan menjadikan kita ahli syurga?

Iman, iman, iman kita semua... adakah kita beribadah kerana takut pada kiamat? atau kita beribadah hanya kerana Allah SWT. Aku? sangat takut tentang perkhabaran mati dan kiamat kerana itu pada fikrahku, mereka yang mempercayai tarikh sesuatu contohnya 21.12.12 atau bernikah pada 12.12.12 dengan alasan mudah ingat atau sebagainya adalah mereka yang mengundang khurafat dan syirik kepada Allah SWT. Nombor ada kuasa kah? Jauhkanlah...
Disember yang sibuk sememangnya, dan alhamdulillah aku tidak mahu hatiku terikut-ikut dengan agenda orang kafir maka aku perlu teruskan kehidupan ini dengan cara mengemis rahmat Allah SWT. Kenapa aku mengemis? kerana aku hambaNya yang hina, selalu alpa dan lalai, tersilap dan longlai dengan nafsu yang berhantu, Allahu akbar... maka aku bersungguh-sungguh memaksimakan kehidupan dan kudrat yang Allah berikan kepadaku. Dalam bidang guaman, aku bersedia untuk keluar dari ofis lama dan memulakan suatu langkah yang pertama, membuka firma guaman sendiri secara tertib. Inilah gambaran ofis yang bakal aku duduki bersama-sama dengan rakan-rakan Ya'qub, Ayub & Co di Setapak.
Bukan itu sahaja, program-program cuti sekolah yang syarikat aku anjurkan juga semakin di penghujungnya, bilamana segala puji ku panjatkan kepada Allah yang mengizinkan kesemuanya berlaku.
Banyak jatuh bangun yang telah dirasai dan kini aku bersedia untuk berlari. Moga segala usaha dan amalanku sepanjang kehidupan lalu adalah aset bagiku untuk ke syurga, anak-anak yang dididik itu adalah aset ku ke syurga, dan moga Allah SWT yang maha mendengar, menerima rayuan dari pengemis hina ini. Aku yakin 21.12.12 BUKAN hari kiamat, tetapi berwaspada seolah saat kiamat disebelahnya.

Durian Creepe

Sabtu, 16Disember2012 UiTM - ini adalah sesi terakhir kelas sebelum aku menghadapi peperiksaan akhir semester dan akan bergraduasi lagi. kelas mengadakan majlis jamuan perpisahan dan sebenarnya di masa ini aku baru sahaja selesai menghadiri satu sesi temuduga kepeguaman syarie bagi negeri Pahang yang mana ada sedikit perbalahan antara aku dan panel penemuduga berkaitan tajuk PhD yang sedang aku usahakan. Aku akur kerana mereka lebih senior dan mahir dalam bercakap soal ini, takpelah yang penting aku dah usahakan yang terbaik.
Dengan memujuk hati yang luka, dalam majlis perpisahan itu telah dihidangkan dengan sejenis makanan yang selama ini aku hanya dengar dan disebut-sebut orang akan kelazatannya terutama bagi Hantu Durian semacam ku, tengok seorang kawan yang bernama Firdaus dari Sarawak mempamerkan aksi kelahapannya.. aku senang dengan kawan-kawan di sini kerana kesemuanya baik dan berbudi membantuku. Kalau lah mereka semua sebaliknya, mahu sahaja tidakkan selesai semua pengajianku di universiti, manakan tidak semuanya bersyarat untuk hadir ke kelas dengan peratusan markah yang ditetapkan atau akan berhadapan dengan dihalang masuk ke peperiksaan.
Gadis di atas namanya Naemah dan sebelahnya itu Mell, 2 gadis yang menjadi usikan di dalam kelas terutama bapa-bapa di bawah. Apa yang kelakarnya si Naemah telah awal-awal meletakkan syarat sesiapa yang mahu memperisterikannya sebagai isteri kedua, mesti memberikan nafkah bulanan sebanyak RM30ribu. Seloroh dia yang sering aku gelar sebagai pengacara NONA, kerana pakaiannya yang berfesyen di samping gaya cakap persis pengacara apabila membuat pembentangan tugasan. 
Waktu rehat dan makan adalah masa yang paling ditunggu, sepanjang belajar di UiTM banyak juga tempat-tempat makan yang menarik yang aku diperkenalkan oleh Molong(gelaran bagi Firdaus) iaitu nama sejenis ulat sagu yang dimakan. Nasi Beriyani Gam, kedai Ketam Nipah, dan lain-lain yang sememangnya membuka selera, kekadang tu terasa bukan ke kelas tapi ke kedai makan. Hasilnya, badanku bagai dipam-pam, jangan saksikan gambar di bawah ini ye, macam ada super impose membesarkan saiz tubuhku, ini tidak adil ahahaha... 
Ini contoh gambaran dalam kelas, semua ini lakonan semata-mata jangan tiru aksi ini di rumah, hehehe.. kelas ramai senior lawyer dan orang tua macam aku, nama pun post-grad kelas so semuanya dah habis belajar ijazah dan telah bekerja.

kan aku dah cakap teknik super impose menampakkan butang baju semakin tak muat, hehehe.. oh ya, sebelah aku tu Hazli, antara satu-satunya kawan dari universiti lama semasa Degree yang turut mengambil keputusan mencebur diri dalam bidang kepeguaman. aku tertarik dnegan kata-kata abang Yaqub yang kini adalah kawan sepejabat, kita jadi peguam sebab dah tak boleh nak jadi lain, so terpaksalah jadi peguam. Nak buat lagu mana, kalau boleh ajdi menteri atau penjawat awam lama dah buat.
yang berkaca mata besar tu boleh aku katakan antara peguam terhebat dalam jenayah. Fahmi Adillah yang sebenarnya adalah juniorku semasa di Maahad Hamidiah Kajang. Siapa sangka aku akan duduk sekelas dengan dia, dan aku ingat lagi antara budak yang aku rotan semasa aku Ketua Badar(Badan Dakwah dan Rohani) sekolah, inilah budak-budaknya, namun mereka menjadi kawanku semula. Bagi aku, dia antara peguam yang terbaik dalam penghujahan walaupun caranya dilihat seperti seorang senior lawyer walaupun usianya baharu mencecah 25 tahun. Tahniah bro..
Siapa budak ni? inilah kaki achkim.. hehehe malam itu bersama anakanda di Garden cafe menikmati makan malam bersama kerana isteri bekerja shift malam, well.. mujurlah ada anak penyejuk mata dan penggarang jantung yang belum kenal erti salah dan silap di muka bumi ini.

Manakala gambar-gambar di bawah pula ialah apabila aku sekali lagi dijemput oleh pihak MPP dan Badan keusahawan dalam sesi menyampaikan motivasi dalam perniagaan di Universiti Sains Islam Malaysia(USIM), aku bukanlah yang terbaik, namun sekadar berkongsi apa yang perlu dan kalau itu membantu dalam dakwah apalah salahnya.
Cuma ada kata-kata aku yang menyinggung perasaan panel seperti pensyarah ini, aku menyebut soal Allah menemplak mereka yang hanya bercakap tetapi tidak melaksanakannya, kalau jadi cikgu usahawan, bercakap pasal ekonomi dan perniagaan tetapi satu bentuk perniagaan pun tidak diusahakan apalah makna usahawan itu. Atau dalam bahasa kasarnya, samada jadi lembu atau pengembala lembu.
Hanya dengan menjalankan perniagaan barulah kita mampu lebih dari orang lain dan lebih rezeki dari orang dan lebih mudah bantu orang dari orang lain, aku telah buktikannya dan ada juga peringatan kepada peniaga sepertiku kerana ada sahaja ruang untuk terpesong ke jalan yang di murkai Allah. Hati-hati diri, jaga IMAN mu!

Khamis, 6 Disember 2012

Soalan Metro 30Nov2012: Nafkah buat isteri

Sungai Ramal, 7Disember2012 - 


FOKUS NAFKAH BUAT ISTERI

Soalan 1

PERKAHWINAN mempunyai beberapa kewajiban bersama yang perlu ditanggung pasangan suami isteri. Sebab itu, perhubungan antara suami isteri perlu dibina atas landasan keadilan, tolak ansur dan saling menyayangi. Namun suami berperanan paling utama dalam menyediakan nafkah buat seluruh keluarganya. Dalam situasi isteri bekerja, berdasarkan hukum walaupun isteri bekerja, suami tetap perlu beri nafkah kepada isteri. Namun isteri yang bekerja perlu mendapat keizinan suami. Bagaimana jila isteri redha, dengan rela tidak menuntut bahagian nafkah daripada suaminya disebabkan dia sudah selesa dan cukup hasil pendapatannya sendiri malah turut membantu suami dalam urusan perbelanjaan keluarga?

Perlulah difahami, nafkah menurut Islam dalam kitab Mughni Muhtaj mengikut ulama Al-Syarbini ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib atas seorang itu untuk membiyainya, iaitu membiayai semua hajat dan keperluan termasuklah pelajaran, makanan, ibadat, tempat tinggal dan sebagainya. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Talaq ayat 7 yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya”.

Sepakat Jumhur ulama' menyatakan bahawa kewajipan mengeluarkan nafkah itu atas tanggungjawab suami walaupun sekiranya isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri dan menurut pandangan majoriti ulama termasuklah mazhab Syafie, seorang isteri hanya terbatal menerima nafkah sekiranya telah melakukan nusyuz terhadap suami menurut sisi syarak ataupun isteri tadi bekerja tanpa keizinan si suami. Permasalahannya ialah, bolehkah isteri rela tidak menuntut bahagian nafkah daripada suaminya malah membantu perbelanjaan keluarga. Tindakan murni seorang isteri sebegini adalah sangat dipuji dalam Islam kerana sanggup berkorban mengenepikan kepentingan diri untuk suami dan keluarga tercinta. Namun begitu, tindakan terpuji ini akan mendidik para suami melepaskan tanggungjawabnya dan menyerahkan isu nafkah kepada pihak isteri semata-mata. Ini sebenarnya mencorakkan keluarga tadi ke arah porak peranda di masa hadapan. Nafkah yang wajib dikeluarkan dan perlu difahami ialah berdasarkan keperluan dan kemampuan. Sekiranya perkara asas dalam nafkah seperti menyediakan makanan termasuklah membeli barang dapur pun si suami tidak mampu menyediakannya, maka wajar diselidiki apakah status perkahwinannya kerana si suami tadi seorang yang belum mampu untuk berkahwin. Sepatutnya begini, si suami tidak boleh langsung tidak menyediakan nafkah, kerana nafkah itu luas konsepnya termasuklah menyediakan rumah kediaman, pelajaran anak-anak, selain daripada makanan, pakaian dan juga kos perubatan dan lain-lain berdasarkan mampu dan perlu, lantas jika terdapat kekurangan kemampuan suami tadi dalam menyediakan perbelanjaan keluarga barulah dibantu oleh si isteri.


Soalan 2

YANG banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah ketidakpuasan segelintir isteri yang mempertikaikan sikap suami mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai 'bread winner'. Barangkali pihak suami berdepan dengan masalah kewangan meruncing sehingga menyebabkan mereka tidak mampu menyara kehidupan seorang diri. Ada juga yang berhadapan dengan masalah ketidakadilan suami yang memilih untuk berpoligami tetapi melupakan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri pertama dan anak-anaknya. Lebih teruk, ada suami yang tidak bekerja atau pendapatannya lebih rendah daripada isteri yang hampir keseluruhan perbelanjaan keluarga ditanggung isteri. Pandangan Ustaz mengenai perkembangan tidak sihat itu dan jalan keluar untuk terus mengekalkan kerukunan rumah tangga terutamanya dalam pengurusan kewangan.
Kaedah fiqh ada menyatakan setiap perkara berdasarkan niatnya. Ini adalah mekanisme yang dipakai di dalam mahkamah bagi melihat sesuatu tindakan suami atau isteri adalah bergantung pada niat mereka. Isteri membantu suami dalam menyediakan nafkah adalah tanda isteri sayang dan sanggup berkorban demi keluarga tetapi jika suami mengambil kesempatan dengan cuai dan culas dalam pemberian nafkah walaupun seorang yang berkemampuan menunjukkan si suami tadi ada 'agenda' lain termasuklah berpoligami tanpa kebenaran di luar mahkamah. Perkembangan yang tidak sihat ini sebenarnya menafikan kuasa mahkamah dalam menilai kondisi seseorang suami untuk berpoligami samada 'mampu dan perlu' untuk berkahwin lain atau hanya 'mampu atau perlu' sahjaja. Firman Allah SWT di dalam surah al-Talaq ayat 6 yang bermaksud, “Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu, dan janganlah kamu menyusahkan mereka, dan menyempitkan hati mereka”. Dalil tersebut menyatakan bahawa kewajipan si suami mengeluarkan nafkah mengikut kemampuan dan bukannya mengikut sukatan si suami, kerana itu istilah 'bread winner' diberikan kepada suami yang hanya mengikis duit isteri dan ini adalah bertentangan dari hukum syarak kerana melanggar fitrah menyediakan nafkah. Malah sabda nabi SAW, 'tidak akan masuk syurga (para suami) yang dayus' termasuklah mereka yang menyedut kesusahan isteri untuk kepentingan sendir ibarat 'parasit'. Inilah yang ditekankan oleh para cendikiawan dan juga di pihak kerajaan tentang perlunya ilmu berumahtangga yang disuntik dalam modul pra-perkahwinan walaupun di tahap yang minima sekurang-kurangnya bakal-bakal isteri sedar bahawa pemberian nafkah adalah tanggungjawab mutlak suami dan janganlah alpa kerana dikaburi dengan cinta buta.

Kes-kes di mahkamah syariah kebanyakan berkisar kepada isu nafkah yang menjadi tunggak dalam perancangan kewangan sesebuah keluarga kerana kebanyakkan pasangan tidak memikirkannya dari awal kerana menganggap, kesucian cinta mereka berdua lebih utama daripada makan, kerana ulat dalam batu pun boleh hidup. Pemikiran ini perlu dihapuskan kerana kita ini manusia dan bukannya ulat, sebab itu manusia dijadikan Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi yang dipertanggungjawabkan dengan pelbagai amanah. Secara tidak langsungnya, corak perkahwinan hari ini adalah menjurus ke arah perkahwinan misyar, bila mana si suami dengan pendapatannya mengeluarkan belanja untuk perkara-perkara tertentu malah isteri juga mengeluarkan belanja hasil wang kerjanya untuk membayar perkara-perkara tertentu. Perancangan kewangan yang saling bantu-membantu ini adalah dipuji oleh syara' tetapi akan menjadi negatif bilamana ada sikap kemanusiaan seperti mengambil kesempatan atas pertolongan isteri dengan berkahwin lain contohnya dan menyebabkan isteri akan mengungkit semua pemberiannya kepada suami dan keluarga. Jika dinilai secara harmoni, indahnya perkahwinan orang-orang tua dahulu bilamana suami akan bekerja dan isteri adalah suri rumah sepenuh masa, sebenarnya kedua-dua mereka bekerja memastikan kerukunan berumah tangga.


Soalan 3

SEORANG isteri berhak mendapat nafkah sewajarnya daripada suaminya seperti mana yang ditetapkan syariah mengikut kemampuan suami. Dalam bentuk bagaimana kemampuan suami itu diertikan? Adakah perlu adanya 'amount' tetap untuk diberikan setiap bulan?
Firman Alah SWT di dalam surah al-Baqaroh ayat 223 yang bermaksud, “..dan kewajipan ayah(suami) memberi makan dan pakaian kepada para ibu(isteri) dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya”. Dalil ini jelas menunjukkan Islam hanya meletakkan syarat nilaian dalam mengeluarkan nafkah kepada isteri ialah dengan cara yang makruf dan mampu. Iaitu jumlah nafkah tersebut adalah munasabah dan tidak menyeksa para suami dalam menyediakannya kerana Imam Nawawi menggariskan penyediaan nafkah kepada 7 perkara asas seperti makanan, bahan-bahan memasak seperti minyak masak, garam, gula dan lain-lain, pembantu bagi isteri yang kebiasaanya mempunyai pembantu, pakaian, alalt-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya, serta perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, tidur dan sebagainya dan yang terakhir ialah tempat tinggal. Maka jelas di sini, bukanlah 'amount' tertentu dan khusus pada setiap bulan kerana ianya berbeza bagi setiap orang tetapi hendaklah secara makruf dan jujur kerana adalah tidak masuk akal jika suaminya gaji puluhan ribu tetapi pakaian isterinya lusuh dan tidak ditukar, kerana ini menunjukkan sifat sebenar si suami tadi.



Soalan 4

SETUJUKAH ustaz nafkah itu sebenarnya tidak bersifat mutlak kerana setiap suami tidak sama kemampuannya. Ada yang lebih berkemampuan menyediakan kesemua keperluan dan ada pula sebaliknya. Namun yang penting suami memberikan sepenuh tanggungjawab serta komitmen sebaik mungkin dengan kadar yang mampu memberi keselesaan buat isteri bukannya kemewahan atau pembaziran melampau.

Sabda nabi SAW yang ertinya: dari Muawiyah al-Qusyairi, berkata: “saya datang kepada Rasulullah s.a.w lalu saya bertanya, bagaimana pandanganmu Ya Rasulullah tentang isteri-isteri kami? Sabdanya: “berilah mereka makan dari makanan yang kamu makan, berilah mereka pakaian dari pakaian yang kamu pakai, janganlah kamu pukul mereka dan jangan pula kamu buruk-burukkan mereka”. (H.R Abu Dawud)

Jika sesuatu nafkah itu diterjemahkan dalam bentuk kewangan, tidak cukup pemberian nafkah dianggap kedekut walaupun mampu, namun bila terlebih dalam pemberian nafkah dianggap mewah dan ke arah pembaziran. Malah sabda nabi SAW, sebaik-baik perkara ialah sederhana. Memang benar nafkah tidak bersifat mutlak dan mengikat suami atas satu jumlah tertentu yang wajib dikeluarkan setiap bulan, kerana nafkah atas kemampuan dan keperluan. Sewajarnya pasangan menyenaraikan perkara-perkara yang perlu dan mampu untuk didahulukan terlebih dahulu. Ambil contoh pasangan yang sederhana yang baharu mendirikan rumahtangga, dengan wang yang limit dan baharu pula bekerja, adalah lebih terpuji bagi mereka membeli perkakas-perkakas rumah yang mengikut kemampuan berbanding sanggup berhutang demi kelihatan elegan dan terkini, almari kain yang dibeli akan dikenang sebelum menggunakan almari yang lebih bagus. Inilah kenangan manis berumahtangga kerana sanggup bermula dari bawah dan susah daripada bersenang dahulu tetapi kesenangan tadi hanya sementara dan memeritkan di kemudian hari.


Soalan 5

Dalam sebuah hadis yang maksudnya: “Rasulullah SAW bersabda seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya” (Riwayat Muslim). Sebagai ketua keluarga sebagai suami sama ada isteri meminta atau tidak, mereka perlu memberi nafkah kepada isterinya. Rasulullah tidak mahu umatnya bersifat bakhil terutama kepada pasangan yang melahirkan zuriatnya. Komen ustaz.

Suami tidak boleh memberi makanan dan pakaian kepada isterinya lebih buruk daripada apa yang dimakan dan dipakai suaminya. Begitu juga kadar makan dan pakai yang menjadi hak isteri diberikan mengikut kadar yang mampu diberikan oleh suaminya. Di dalam hal ini isteri tidak boleh meminta sesuatu yang diluar kemampuan suaminya. Akan tetapi sekiranya suami mampu memberikannya lebih tetapi tidak diberikan maka dalam situasi ini isteri dibenarkan mengambil harta suaminya seperti sabda Rasulullah SAW:
Ertinya: “dari aisyah r.a berkata: sesungguhnya Hindun datang kepada rasulullah lalu berkata: “wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah orang yang kikir dan tidak mahu memberikan kepadaku belanja yang cukup untukku dan anakku, sehingga terpaksa aku ambil dari hartanya tanpa pengetahuannya”. Lalu Baginda bersabda: “ambillah sekadar cukup untuk dirimu dan anakmu dengan wajar”. (H.R Bukhary dan Muslim)

Hadith ini menegaskan bahawa islam membenarkan bagi isteri mengambil harta suaminya sekadar untuk keperluan dirinya dan anak-anak, jika suaminya mempunyai harta yang cukup tetapi tidak memberikan haknya mengikut kemampuannya. Jika suami yang bakhil dicela oleh agama dan dibenarkan bagi isterinya mengambil tambahan dari harta suaminya tanpa pengetahuannya, maka lebih berdosalah lagi suami yang tidak memberi nafkah isterinya. Sudah tentu perbuatan itu telah melanggari hak isteri yang telah ditetapkan oleh syariat islam. Bahkan Isteri juga boleh memberi peringatan terhadap suami yang mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah samada mahu memberi belanja atau menceraikannya. Menurut Imam Syafie dalam kitab karangan Dr. Wahbah Zuhaily menyatakan, kadar nafkah makanan yang wajib itu adalah mengikut keadaan suami. Maka jika suami itu orang kaya, nafkah isteri yang diwajibkan ialah dua cupak makanan setiap hari, suami yang miskin satu cupak dan suami yang sederhana satu cupak setengah.

Kesimpulannya, hakikat perkahwinan adalah amanah yang dipertanggungjawabkan dan bukanlah keseronokan semata-mata, namun kesusahan dan kepahitan melaksanakan kesemua amanah tersebut adalah kemanisan dan keseronokan berumahtangga termasuklah dalam menyediakan nafkah dan disebut sebagai syahid dunia menurut ulama jika seorang itu keluar dari rumah mencari nafkah dan mati dalam perjalanannya. Pepatah melayu, berat sama dipukul dan ringan sama dijinjing adalah terpakai dalam penyediaan nafkah apatah lagi syarak meletakkan keutamaan kepada orang yang paling hampir dengan kita iaitu ahli keluarga kita sendiri.

Sabtu, 1 Disember 2012

peguam negeri johor

Danga Bay, 26November2012 - 






Selasa, 27 November 2012

Soalan Harian Metro 16 Nov 2012, Bapa Derhaka Suami Nusyuz

Sungai Ramal, 14nov2012 - menulis bagi meluaskan cabang dakwah.

Soalan 1
KITA merasa bimbang terhadap perkembangan generasi masa hadapan tatkala melihat fenomena percambahan masalah sosial di kalangan remaja. Bagaimana memungkinkan golongan muda ini dapat memegang 'jawatan' sebagai ibu bapa kelak kerana mereka jelas gagal pada usia awal remajanya.Tidak dinafikan, salah satu perkara yang menjadi punca terhadap masalah itu ialah gagalnya ibu bapa memainkan peranan mereka. Namun peranan bapa secara spesifiknya, mereka mempunyai tugas amat besar dan menjadi pemegang saham paling besar terhadap setiap ahli keluarganya. Ketegasan, disiplin dan tarbiah agama antara perkara yang perlu diterapkan dalam usaha mendidik anak. Setiap bapa mengharapkan ahli keluarga yang dibimbing mampu memberi kebanggaan bukannya menconteng arang ke mukanya sendiri. Minta ustaz respon berkaitan fenomena 'Bapa Derhaka' yg dilihat gagal dalam tugasnya. Apakah tindakan susulan yang perlu diusahakan seorang bapa yang mungkin baru sedar kesilapannya dan mahu membimbing ahli keluarganya mencipta suasana terbaik dalam kehidupan berkeluarga?

Bapa adalah tunggak sesebuah keluarga dan dianggap kapten yang mengemudikan sebuah kapal bagi membelah lautan kehidupan. Gagal atau berjayanya kapal tersebut menuju destinasi bergantung kepada nakhodanya yang dibantu oleh anak-anak kapal. Perumpamaan yang mudah dalam menggambarkan peri pentingnya tanggungjawab seorang suami atau bapa dari jantina lelaki. Firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim ayat 6, “Wahai orang yang beriman peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka” Allah SWT memberi peringatan terlebih dahulu kepada ketua keluarga yang bernama bapa dan suami agar menjaga dirinya daripada perkara-perkara yang diharamkan agama, memperbetulkan dirinya terlebih dahulu sebelum menjaga ahli keluarganya yang lain. Ini jelas sebelum mendirikan sebuah rumahtangga, amat pentinglah seorang lelaki memperlengkapkan dirinya dengan persiapan dunia dan akhirat ibarat seorang pemandu lori memerlukan lesen dan pengetahuan mengendalikan kenderaan tersebut. Pengalaman pula akan membijaksanakan pemandu dalam menghadapi situasi cemas dan kemalangan. 'Bapa derhaka, suami nusyuz' adalah istilah yang dilabelkan kepada golongan suami yang telah berpaling arah dari landasan yang sebenar, kesilapan demi kesilapan yang menongkah arus agama dilakukan dan sampai suatu ketika mereka tersedar dan mengakui kesilapan tersebut dan mahu mengambil peluang memusingkan semula agar perjalanan tadi kembali teratur. Namun, bapa tadi telah dapati acuan keluarganya yang tersilap amat sukar diperbetulkan semula, maklumlah dosa-dosa tersebut telah menjadi titik hitam yang sukar diputihkan semula kesan jangkamasa yang panjang. Di sinilah Islam memberikan jalan penyelesaian dengan melihat semula manual al-Quran yang diberi tunjuk ajar oleh Tuhan yang Maha Mengasihani kita, kisah-kisah para anbiya menjadi motivasi diri dalam memulakan suatu lembaran baharu, pertama tersedar dari kesilapan sebelum ajal menjemput adalah nikmat yang besar dan tanda Allah 'melihat' kita, mendengar tuntutan fitrah kita, sayang pada kita, kedua manusia yang bertaubat adalah sebaik umat yang diciptakan sebagaimana hadtih nabi SAW menerangkan sekiranya tiada orang-orang yang bertaubat, nescaya Allah SWT akan menghapuskan sesuatu kaum dan diwujudkan kaum berikutnya yang melakukan kesalahan dan bertaubat, pentingnya bertaubat dan bukannya membesarkan kesilapan tersebut, ketiga usaha ke arah memperbetulkan kesalahan itu adalah lebih penting daripada memperolehi natijahnya dan itulah justifikasi dalam Islam, bapa yang mahu membetulkan keadaan keluarganya secara 'tadarruj' iaitu berperingkat-peringkat adalah lebih baik daripada secara drastik kerana didikan tersebut adalah dari manusia kepada manusia. Banyak aspek yang perlu diperhalusi seperti hati manusia, keadaan sekeliling, prospek jangka panjang agar tujuan tadi tercapai dengan redho Allah. Akhirnya, andai segala daya usaha tersebut gagal, janganlah bersedih, lihat nabi Allah Nuh AS, menerima ujian yang sama terhadap anak isteri mereka.


Soalan 2
MINTA ustaz beri sedikit kupasan mengenai punca lahirnya anak atau isteri yang gagal membawa kebahagiaan dan ketenangan dalam rumah tangga? Barangkali, antara sebab kenapa anak terutamanya dilihat degil, tidak patuh perintah Allah, gagal melaksanakan tanggungjawab di rumah, terbabit dengan masalah sosial ialah kerana bapa gagal memenuhi fungsinya sebagai pencari nafkah. Ia termasuk memberi keluarga makan dari sumber haram. Jelas, jika kita memberikan anak makanan dari sumber haram, maka hasilnya pasti mempengaruhi tingkah laku mereka kelak.
Sebelum memulakan suatu langkah yang panjang, langkah pertama adalah sangat mustahak kerana akan menggambarkan keseluruhan perjalanannya. Seorang lelaki yang mahu mencari suri hidupnya terlebih dahulu wajib menyelidiki calon-calonnya selaras dengan tuntutan agama dan bukanlah hanya memenuhi kriteria 'cinta buta'. Sanggupkah kita membina sebuah masjid rumahtangga dari bahan binaan yang kotor seperti najis? Mahukan kebahagian berumahtangga memerlukan ramuan yang dituntut dalam agama, namun hal ini dipandang sepi oleh anak-anak muda yang hanyut bercinta sehingga meraba-raba, dari yang ringan-ringan hingga naik tangan, sehinggalah terlanjur dan perut berbujur. Kesannya lahirlah sebuah komposisi keluarga yang dibelenggu dengan kesilapan masa lalu, permasalahan masa kini, dan kesuraman di masa akan datang. Jika keluarga ini tidak berpecah belah, ianya akan wujud sentiasa bukan dalam rahmat Allah SWT. Banyak faktor yang dapat dilihat mengapa berlakunya kepincangan dalam berumahtangga, namun secara mudahnya masyarakat akan menyalahi ketua keluarga, iaitu 'bapa derhaka' dengan meletakkan beban ke atas bahu mereka dan kerana itulah bapa tadi perlu keluar dari kotak pemikiran konservatif dan ikut semuala jalan agama dan dibantu dengan bekalan motivasi sabar dan saling ingat mengingati. Inilah formula kebahagiaan yang diajar oleh nabi SAW. Memahami agama dengan tersusun dan benar adalah proses seumur hidup, namun kunci utamanya ialah belajar dan terus belajar. Koreksi diri dengan apa yang terjadi di hadapan mata seorang bapa adalah indikator yang menunjukkan tanda aras sesebuah keluarga dalam keadaan 'sihat' atau tidak, ramai bapa yang menganggap ketidakharmonian dalam keluarga adalah suasana normal dalam setiap keluarga sehinggalah anak dan isteri tadi melebihi batas yang sepatutnya. Kesan masalah daripada awal, fahami gerak-geri mereka kerana itulah isyarat yang boleh kita perbaiki dari awal, bilamana mengajak keluarga ke arah kebaikan ada sahaja bunyi-bunyi rungutan malas dan tidak mahu melakukannya adalah petanda awal keluarga dihinggapi penyakit mengikut hawa nafsu dan mengikut jalan syaitan, nah, ambil terus langkah rawatan dan memeriksa semula masa bersama keluarga, rezeki yang disuapkan ke dalam mulut-mulut mereka sehingga menjadi darah daging, dan keluarga yang tidak 'sihat' sedang ketandusan rahmat Allah SWT. Cegah sebelum parah.

Soalan 3
Bab jodoh pertemuan itu semuanya urusan Allah. Kita sering diingatkan, jodoh yang baik akan 'menarik' orang yang baik. Sebab itu, untuk mendapatkan jodoh yang baik, kita perlu menjadi baik. Begitulah sebaliknya, yang jahat adalah untuk si jahat. Namun, yang terbaik kepada mereka yang melakukan kesilapan dan dosa adalah kembali bertaubat kepada Allah. Bagaimana pula halnya kepada golongan yang akan membina rumah tangga tetapi pernah melakukan dari sekecil sehinga ke besar-besar maksiat. Adakah anak-anak yang bakal mereka lahirkan itu akhirnya tetap melakukan perkara sama seperti ibu bapa mereka. Adakah kitaran kehidupan mereka semua hanya menghasilkan rekod buruk saja?

Benarlah firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 26 yang menyatakan, “Lazimnya perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat adalah untuk perempuan yang jahat, sebaliknya perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, dan mereka yang baik itu adalah bersih dari tuduhan buruk yang dikatakan oleh orang-orang yang jahat. Mereka yang baik itu akan beroleh pengampunan dan pengurniaan yang mulia”. Pemikiran masyarakat yang streotaip dan terkurung dalam stigma bahawa, 'alah dah aku ni jahat dan buat macam mana...' sewajarnya dihilangkan dengan sangkaan baik terhadap Allah SWT, malah tidak wajar jika mereka menyangka bahawa mereka yang telah berdosa ini akan hanya menghasilkan kitaran rekod buruk semata-mata. Contohnya begini, anak yang lahir bukan dari pernikahan adalah suci dan tidak mewarisi dosa kedua ibu bapa mereka yang berzina, kerana dalam Islam tiada dosa perwarisan dan ini jelas bahawa bagi mereka yang telah bertaubat adalah diibaratkan sebagai seorang bayi yang tidak melakukan dosa dan lahir dalam keadaan fitrah sebagaimana nabi SAW menjelaskan kepada mereka yang memeluk Islam walaupun di zaman silamnya penuh dengan kejahatan yang dilakukan. Sebuah kisah tentang seorang pemuda di zaman Bani Israel yang seringkali diceritakan oleh baginda SAW yang mana pemuda ini melakukan kesemua jenis maksiat, kejahatan dan dosa namun Allah SWT mengampunkan kesemua dosa-dosanya hanya dengan berniat dan beriltizam tidak mahu melakukan kesalahan itu lagi. Telur penyu itu halal dimakan menurut ulama feqah walaupun penyu tersebut haram. Orang yang bertaubat dan sentiasa perbaiki diri adalah amat berbeza daripada mereka yang masih bergelumang dosa.


Soalan 4
Dalam memenuhi tanggungjawab sebagai pemimpin, pendidik bapa/ibu akan sentiasa diuji. Setiap ibu bapa perlu sedar, jangan sampai kita sendiri menjadi penderhaka dalam keluarga. Mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pembimbing, malah membiarkan anak membesar dengan kaedah tertentu atas alasan kesuntukan waktu, sibuk bekerja lalu hanya membiarkan anak bersama pembantu. Kemudian, kita menyalahkan pula orang lain termasuk sekolah hatta menyalahkan sistem pendidikan serta persekitaran sekolah. Komen ustaz.

Surah al-Fatihah merakamkan keadilan Allah SWT memberikan hak dan peluang yang sama kepada semua hamba-Nya dapat dilihat dengan peluang kita memilih dua jalan, samada jalan yang lurus dan diredhoi atau jalan yang menjahanamkan kita ke naraka. Alasan ibu bapa sebagai pendidik anak-anak dengan sibuk bekerja, kelemahan sistem pendidikan, itulah, inilah adalah jalan selamat bagi menyalahkan orang lain dan menyedapkan hati sendiri, sedangkan orang yang bijak itu ialah mereka yang menghitung diri sendiri setiap detik agar sentiasa dalam redho Allah AWT. Kesimpulannya, penderhaka kepada agama baik dari sudut seorang bapa mahupun suami ataupun individu adalah wajar dihisab sebelum pergi lebih jauh lagi, mulakan dengan diri sendiri, periksa diri samada simtom penyakit ini telah merebak dalam hati kita dan jika ada, sembuhkan dengan vaksin ramuan agama, baca quran, solat berjemaah, bergaul dengan orang soleh, menuntut ilmu dan berzikir. Semua orang memiliki peluang yang sama dan tidak perlu kita membanding-bandingkan antara satu sama lain kerana hanya yang bertaqwa adalah yang terbaik di sisiNya. Berlumba-lumbalah dalam mencari kebaikan dan melaksanakannya nescaya sagala kesilapan kita tidak akan menjadikan hujah bagi menentang kita, tetapi rahmat Allah mencurah-curah bagi mereka yang sabar dan berserah padaNya.  

Ahad, 25 November 2012

Sepening Biji Durian

Sg.Ramal, 25Nov2012 - Minggu ni memang mencabar bagiku insan kerdil dunia guaman dan selaku manusia biasa aku terasa berat dugaan yang ku tempuh bila mana kes aku dibuang disebabkan, ... disebabkan... aku mengaku kalau aku buat salah dan aku sangat mengaku kalau aku bodoh, tapi aku tak mengaku aku buat kesilapan dalam kes ini, aku juga tidak mahu memberi persepsi buruk kepada mahkamaha jadi biarlah aku menganggap ini sebagai pengalaman bagiku untuk melangkah lebih jauh.

Tambahan pula, firma guaman ditempatku satu persatu peguamnya mahu keluar. Dalam keluaran dulu aku pernah mempamerkan siapakah majikan ku seorang peguam yang terkenal dan telah lama berkhidmat lebih 15 tahun tetapi sepanjang hampir 2 tahun aku di sana, aku rasa ada yang tak kena sehinggalah kini. Moga Allah berikanku kekuatan dan aku kebijaksanaan dalam mencari hikmahNya. Setiap kegagalan sudah pasti ada kejayaan, dan jika diuji dengan musibah nescaya Allah akan bawakan kita 2 kali rahmah. 
Biasalah bila cakap pasal orang Melayu pasti kenal dengan 'Hantu Durian'. Hantu-hantu ni sangat famaous di kalangan hantu kategori yang tidak membahayakan. hehehe.. akulah hantu tu dan apabila opah telefon abah kata peraih tak ambil durian dah sehari dua sebab durian terlalu murah dan melambak di perak, terus aku ajak abah balik ke gopeng petang khamis dan angkut semua durian dengan triton dan balik pada malamnya juga. Inilah hantu yang dikatakan...
Ada juga kategori hantu-hantu yang lain, yang disenaraikan  sebagai hantu yang tidak membahayakan kerana tidak menelan atau menghisap darah manusia, yang ini pula kategori hantu tudung. Pada mulanya aku tidak percaya ada kawan yang bercerita tentang orang beli tudung kena beratur. Nah, kebetulan aku lalu di butik tudung berdekatan dengan rumah aku, yang menyebabkan aku snap gambar orang beratur membeli tudung kerana rekaannya akan hanya ada keluaran untuk sekali dan tidak akan ada lagi, tetapi harganya mencecah ratusan ringgit untuk sehelai tudung. Ya Allah alangkah bagusnya mereka sanggup menjaga aurat dengan nilaian yang mahal tetapi hakikatnya mereka membazir dalam berfesyen. (huisshhh.. mengeluh, mata dongak ke atas, tangan di bahu, lidah jelir... pelbagai ragam manusia ni).
Ada juga yang bukan hantu, hehehe.. alhamdulillah sepanjang belajar di UiTM Shah Alam, minggu lepas inilah yang pertama kalinya aku menjejakkan kaki ke Masjid dalam Universiti. Jangan salah sangka, biasanya kami akan berjemaah di surau di Fakulti Undang-undang dan bahagia dalam berjemaah. Ada peguam senior, ada pemilik firma gauaman, ada hakim dan juga majistrate yang turut solat di belakang aku, begitu Islam mengangkat imam di hadapan yang lain, tidak boleh dua imam, dan kena patuh dan ikut imam.
yang ini bukan hantu, tetapi pujaan hatiku dengan telefon antik awal 90an..

Rabu, 14 November 2012

Yatt Hamzah

KLCC, 1 Muharram 1434H = 14Nov2012 - Dengan semena-mena aku menerima undangan sebagai moderator program oleh Ustaz Zulkapili Al-hafiz, salah seorang imam masjid Asy-Syakirin KLCC, itupun selepas tiada lagi ustaz yang dihubungi sanggup melapangkan masa untuk program tersebut. Asal kehadiranku hanyalah bagi membincangkan berkaitan program cuti sekolah yang bakal diadakan di masjid untuk tahun ini. Aku menjadi moderator kepada forum yang dihadiri oleh panelis Ustaz Dr. Shouqi dan juga seorang artis hijrah Yatt Hamzah. Siapa dia?

Aku pernah melihat lakonannya seorang yang agak 'boyish', dengan rambut panjang dan gaya menggedik yg tidak mentup aurat. Personally itulah pertama kali aku bersama-sama dengan artis dalam bersama-sama melakukan usaha dakwah. Soalan-soalan yang aku tanyakan kepada pelakon ini pernah ditanya oleh orang lain, cuma soalan pedas aku tanyakan ialah, apakah penghijrahan mereka membantu usaha dakwah Islam? dan bilamana faktor 'turning-point' yang dikemukakan sebagaimana yang dilihat pada akhbar tempatan, bila beliau terlihat golongan-golongan wanita yang dipanggang oleh Allah SWT di dalam neraka. Bagi aku, dia bernasib baik kerana Allah SWT menyayanginya dengan memberikan peringatan kepadanya, tanda kasih sayang Allah SWT.
Peristiwa malam itu, aku kongsikan bersama isteri dan anak tersayang, dan tak sangka juga dia ada anak perempuan yang sebaya dengan Anas, bezanya, malam tu Anas agak sopan dan Mia 'anak dia' agak agresif... hahaha, maybe anak ku ada rasa malu, macam bapanya juga hehehe... beruntunglah bila mana Allah SWT mengasihi dan mengurniakan hidayah kepada kita semua, ingat, jangan disangka perompak pembunuh penjenayah yang ditangkap dalam penjara sebagai banduan itu jahat, sedangkan mereka dikurung dalam penjara dengan diberikan tempoh beribadat dan bertaubat sebelum hukuman terlaksana, kita? silap-silap belum sempat bertaubat, nyawa dijemput pergi dengan penuh dosa dan noda. Renung-renungkan... siapa yang lebih baik, aku, mereka, dan dia... 

Temuduga Peguam Syarie Negeri Perlis

Kangar, 2Nov2012 - melangsungkan kesinambungan semangat dan harapan dalam bidang guaman dengan menuju ke destinasi yang sememangnya aku tidak pernah sampai walaupun aku adalah seorang rakyat Malaysia yang tulen. Aku ke Perlis Indera Kayangan, aku tak tahu kenapa laqob gelarannya begitu, mungkin disebabkan kesan pengaruh daripada kesultanan Siam di sebelah negerinya. Aku ke sana tidak memandu, sebaliknya menggunakan bas Ekspress dan ini kali kedua aku menggunakan Sani Ekspress. Aku kecewa dengan perkhidmatannya apatah lagi orang seperti aku yang pertama hendak ke sana.
Aku tertidur sebenarnya kerana bas dari perhentian Kajang bertolak pada jam 10 malam, dan aku pula menggunakan kelengkapan AirAsia dengan penutup mata, selimut dan topi, sungguh enak lena di dalamnya, tapi yang menyebabkan aku bengang, dah lah stesen bas di sana tiada tulis lokasi di mana, dengan gelap gelita dan akhir sekali aku terlajak sampai Kuala Perlis, maknanya dah terlebih daripada stesen Kangar. Bila aku tanya pemandu bas itu, dia kata tak tau, saya sampai sini ja, hem terpaksalah aku menaiki teksi sapu dan menghala ke Kangar, mujurlah tak jauh.
Di sana, setibanya dalam waktu subuh dan dapat aku menunaikan di masjid-masjid area sana dan menyiapkan diri dan tak sangka pula bila berada di sana, ada di antara anak didik ku dari Kolej Universiti Islam Melaka(KUIM) yang sedang menjalani praktikal di sana  menyapaku dan membantuku sedaya mampu, Alhamdulillah urusan sangat mudah. Benarlah kata ibuku, menjadi pendidik ini manisnya bila ditegur oleh anak murid, ya abah seorang guru, umi seorang penysarah, dan aku? sapu semua kalau boleh lah, hehehe...

aku mengajarnya Undang-undang tanah...
bersama-sama junior di satu institusi pengajian tinggi awam yang lain, hehehe dan mereka juga masih berteka-teki tentang masa depan...
dan aku adalah calon pertama yang ditemuduga, sangat bersyukur kerana segala perjalanan ku dipermudahkan, aku menjawab soalan panel sehinggakan ada salah seorang penemuduga yang menyatakan muka aku familiar di kaca TV, dan sennag untuk aku tanpa mendakwa kenalan ini atau itu, kabel besar mana atau siapa sedara di dalam sana, aku berdiri atas kakiku sendiri.
bertolak dari kajang 10pm, sampai di setesen Kangar 6am, temuduga 9.30am naik bas balik ke kajang 10.30am, trip sehari dan aku teruja menaiki bas dua tingkat dan tiba di perhentian kajang dalam 7.30pm. satu tempat di Perlis yang menjadi bahan fikiranku di dalam bas ialah Wangkelian, atau aku gelarkan Wang Kalian, maksudnya duit anda. Yelah, situ kan tempat membeli belah, sebab tu dipanggil wang kalian, hem ada benarnya tak???
Masjid Raja Alwi Kangar, simpel dan praktikal. Moga hatiku masih melekat pada masjid-masjid Allah.