Hidup banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Hidup  banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Selasa, 20 Disember 2011

Susuk Busuk

FUU, UKM 20Dis2011 - apa-apa pun aku perlu upload kan jawapan ini sebagai melengkapkan tulisan di akhbar Metro pada Jumaat lepas 16Dis2011 yang lalu kerana penulisanku sepanjang ini cuma 1/8 yang disiarkan.


Soalan 1

APAKAH kesan langsung bagi seseorang yang memakai sesuatu seperti susuk untuk mendapatkan 'kekuatan' untuk menunaikan sembahyang dan ibadah lain.

Susuk yang dipakai itu seperti serbuk campuran yang diletakkan di bahagian belakang badan dan tapak tangan dengan menggunakan bacaan seperti mantera.

Setiap kali ingin menunaikan solat, ada suara ghaib membisikkan ke telinganya supaya melakukan ibadah. Malah sepanjang tiga bulan pertama memakai, orang itu mendakwa dia tidak boleh menjejakkan kaki di tanah perkuburan. Sekiranya melanggar syarat itu dia akan mengidap penyakit misteri.

Minta pandangan Ustaz Razi berkaitan ada segelintir umat Islam menyalahgunakan cara melakukan ibadah penting seperti solat ini.


Definisi susuk dapatlah ditakrifkan sebagai amalan memasukkan sesuatu bahan asing ke dalam badan bagi mendapatkan sesuatu kelebihan samada secara nyata mahupun ghoib (yang tidak dapat dilihar mahupun dizahirkan). Di antara jenis-jenis susuk yang nyata adalah seperti susuk emas yang paling banyak digunakan untuk ilmu pengasih, susuk geliga buaya yang banyak digunakan untuk tujuan pelacuran, susu beruang digunakan untuk ilmu kebal, susuk buluh perindu bagi tujuan memerdukan suara dan menggoda serta banyak lagi. Manakala tujuan memakai susuk ini samada digunakan untuk menjadi pemanis dan seri wajah, hebat dalam hubungan seksual , kebal, pelaris perniagaan bahkan juga sebagai kekuatan tenaga termasuklah bagi mendirikan ibadah solat.

Di antara larangan bagi mereka yang memakai susuk termasuklah larangan memakan pisang emas, buah kundur, labu, makanan bercucuk seperti satay, bahkan tidak bolleh melihat cermin dalam tempoh tertentu (kebiasaan 40 hari), larangan mengoyak atau memotong daun palas dan juga dilarang menghadiri majlis pengebumian atau ke tanah kubur.

Adalah sedia maklum bahawa apabila permasalahan susuk dibincangkan ianya adalah permasalahan sihir yang membawa implikasi besar terutama dari sudut aqidah bahkan pemakai susuk sendiri sekiranya tidak dikeluarkan bahan-bahan susuk dari tubuh akan memudaratkan diri terutama ketika menghadapi nazak sakaratulmaut. Masalah ini masih lagi menjadi amalan segelintir masyarakat adalah disebabkan kedangkalan mereka tentang amalan ini yang bertentangan dengan ajaran Islam dan membawa kepada syirik kepada Allah. Ada banyak kes kepada pemakai muda adalah disebabkan ibu atau neneknya yang memaksa mereka memakai susuk semenjak dari kecil bagi tujuan kelihatan cantik bahkan lebih malang lagi bilamana si pemakai tadi tidak menyedari terdapat bendasing dalam tubuh mereka sehingga membawa kepada bertahun-tahun dan membesar dengan bersusuk malah juga melakukan ibadat seperti solat, puasa, bahkan sehingga menunaikan haji dalam keadaan bersusuk.

Bagi menjawab permasalahan ini ialah, pertama hukum mendatangi pengamal atau menggunakan susuk ialah haram sebagaimana hadith nabi s.a.w “man ata kahinun faqod kafaro” sesiapa yang mendatangi, menilik nasib dan bertemu pawang atau bomoh maka dihukumkan kafir”.

Kedua, bolehkah menggunakan susuk atau mana-mana cara amalan yang tidak dipastikan kesahihan ibadat tersebut sehingga terdengar suara ghoib yang menyuruh sesorang itu mendirikan solat dan berbuat amal kebajikan dan jawapan yang disepakati ialah haram dan tidak boleh. Ini berdasarkan tarjih para ulama amalan sesuatu ibadat ini tidak boleh diamalkan sehingga terdapat dalil pengharusan atau membolehkan ibadat tersebut dilakukan jika tidak maka hukumnya haram. Contohnya, solat subuh hanya 2 rakaat dan tidak boleh ditambah lagi rakaat kerana tiada dalil yang menyuruhnya. Apatah lagi amalan susuk yang menyalahi syarak dan dihukumkan haram mahupun amalan-amalan lain sehingga membawa kepada bisika ghoib tersebut. Persoalan ini selalu membelenggu masyarakat kita termasuklah suka mengamalkan ayat-ayat tertentu sehingga didatangi oleh 'khadam' atau penjaga yang lebih didefinisikan sebagai jin. Maka hukum menurut Islam ialah haram dan membawa kepada syirik sehingga merosakkan akidah. Patut ditanya kepada mereka yang 'membela' atau 'memiliki' suara-suara ghoib tersebut kenapakah kita menerima Islam atau mematuhi seruan beribadat bergantung kepada suara atau bergantung kepada orang yang berpakaian putih, berserban putih dan berkulit putih yang memberi arahan supaya melakukan ibadat atau beramal dengan ayat-ayat atau amalan tertentu baru kita hendak beramal dengannya. Inilah cara yang salah mempelajari atau mengamalkan Islam kerana para ustaz dan alim ulama mengajar di masjid-masjid, sekolah, universiti dan sebagainya telah ditolak dipandang sepi inikan pula beribadat kerana suara suruhan tersebut. Lihat sahaja kisah ketua para wali sheikh Qodir al-Jailani yang hampir ditipu oleh iblis yang datang dalam bentuk cahaya yang gilang-gemilang dan memaklumkan kepada beliau bahawa beliau telah sampai ke peringkat tertinggi sehingga tidak diwajibkan solat namun telah dihidu oleh sheikh Qadir dan melemparkan sepatunya dengan menyebut 'auzubillahi mina syaitonirrojim' agar berlindung dari hasutan iblis yang memperdaya manusia. Hujah bernas ketua wali ini ialah junjungan besar nabi s.a.w sendiri tidak pernah meninggalkan solat sehingga ke akhir hayat.

Kesimpulannya, pengamalan ibadat tanpa dalil adalah haram termasuklah beribadat dengan bersandarkan suara-suara ghoib tanpa merujuk kepada golongan ulama tentang kesahihan sesuatu amalan mahupun ayat-ayat untuk diamalkan. Justeru disarankan agar masyarakat mendekati para alim ulama merujuk sebarang permasalahan dan saluran yang betul kerana matlamat tidak menghalalkan cara, walaupun matlamatnya ialah ibadah tetapi kaedah penerimaan ibadat salah, maka dihukumkan salah.Malah banyak gajet terkini yang mampu membantu kita dalam melaksanakan ibadat kepada Allah seperti perisian waktu solat pada telefon bimbit dan sebagainya.


Soalan 2

APAKAH kesan terhadap akidah dan syahadah individu yang mengamalkan perkara itu? Bagaimana cara untuk menebus kesalahan dan dosa yang dilakukan sebelum itu?

Sebagaimana yang dinyatakan, mereka yang mengamalkan perkara tersebut adalah bertentangan dengan aturan agama Islam yang sebenar bahkan membawa kepada kerosakan akidah. Hendaklah difahami akidah boleh terlerai dari ikatan yang kukuh tersebut dengan amalan yang salah baik dengan ucapan, perbuatan mahupun dengan pengakuan yang menyimpang dari agama. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Maidah ayat 90 yang membawa maksud bahawa perbuatan menilik nasib adalah sebahagian daripada amalan syaitan dan hendaklah dijauhkan sebagai seorang yang beriman.

Bagi pesalah yang telah melakukan amalan khurafat ini perlulah bertaubat dengan sebenar-benarnya, ini termasuklah pemakai susuk perlu membuang bahan-bahan susuk yang dimasukkan ke dalam mana-mana anggota badan. Rawatan ini boleh didapati daripada mana-mana pengamal perubatan alternatif yang diiktiraf dan berpengalaman. Seterusnya akidah pesalah tadi juga perlulah dibimbing semula oleh pembimbing yang diiktiraf seperti dari Jabatan Mufti negeri-negeri yang mempunyai bahagian pemantapan akidah yang mampu menjalankan tugas tersebut. Bahkan di sinilah hikmah mengapakah kita seringkali mengulangi bacaan surah al-fatihah yang acapkali memohon agar kita sentiasa terbimbing ke arah jalan yang lurus.


Soalan 3

BAGAIMANA cara mendapatkan kekuatan dan khusyuk ketika bersolat? Sering kali kita lalai disebabkan kurang penghayatan dan tidak memahami apa yang mereka baca dan lakukan.

Bagi orang awam yang mungkin tidak menguasai bahasa Arab ada cara lain untuk meningkatkan rasa penghayatan ketika bersolat?

Mendapatkan khusyuk bukanlah perkara yang mudah dan diperolehi melalui formula kiraan seperti melaksanakan itu pasti dapat hasilnya kerana ia bersangkutan dengan keikhlasan dalam melaksanakannya. Bertepatan dengan firman Allah s.w.t ayat 5 yang menyatakan penerimaan Allah pada ibadah yang mengandungi eleman ikhlas. Bahkan para alim 'ulama mengibaratkan payahnya memperolehi khusyuk seperti menahan air yang penuh di dalam sebuah baldi yang diletakkan di atas kepala dan sentiasa berjaga-jaga daripada jatuh walaupun setitik. Kerana itulah tidak diletakkan khusyuk sebagai rukun mahupun syarat wajib solat tetapi Imam Shafie memberati khusyuk sehingga ditekannya. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-mukminun ayat 2 di mana Allah mengklasifikasikan orang mukmin yang berjaya sebagai seorang yang khusyuk semasa solatnya. Berikut adalah di antara cara memperoleh khusyuk dalam solat:

  • memahami bacaan solat dan menghayati bacaan tersebut. Bagi orang awam yang tidak memahami bahasa Arab bolehlah menghadirkan dalam hatinya bahawa sedang berkomunikasi dengan Tuhan pencipta alam yang maha Agong, dengan erti kata lain mendatangkan kebesaran Allah di dalam hati dan dalam masa yang sama perlahan-lahan cuba memahami bacaan dalam solat, jahil atau tidak mengetahui maksud bacaan tidaklah boleh dijadikan hujah bagi meninggalkan langsung memahami bacaan solat.

  • mendalami ilmu agama dan sentiasa menambahbaik ibadah agar mencapai kemanisan beribadat, sehingga merasakan Allah melihat kita mahupun kita merasai melihat Allah, ini berdasarkan kisah sahabat nabi s.a.w iaitu Abu Bakr r.a yang diiktiraf oleh nabi akan kekhusyukan Abu Bakr r.a apabila mendirikan solat, kerana setiap kali melintasi sahabat nabi ini bersolat sudah pasti terhidu bau hangit terbakar kerana khusyuknya Saidina Abu Bakr r.a berkomunikasi dengan Allah.

  • mengelakkan daripada sebarang gangguan luar yang mengganggu kekhusyukan solat seperti bunyi telefon, solat di akhir waktu, solat di hadapan televisyen dan sebagainya.

  • cari tempat yang selesa untuk solat semasa di rumah seperti ruang solat khusus mahupun ketika di masjid dengan memilih masjid yang selesa bagi kita beribadat termasuklah meletakkan imam-imam yang bersuara merdu di masjid-masjid besar bukan sekadar syiar tetapi juga sebagai dakwah menarik orang ramai solat berjemaah.

  • mengelak daripada meletakkan sebarang benda atau gambar di hadapan ruang solat kerana larangan nabi s.a.w kepada aishah r.a ketika hendak mendirikan solat.

  • Menyediakan prasarana tempat ibadah yang terbaik yang termampu disediakan seperti jika sesorang itu mampu memasang penghawa dingin bagi memberi keselesaannya bersolat maka dihukumkan wajib mencapai darjat khusyuk tersebut.

  • Bersolat di awal waktu dan berjemaah serta melaksanakan solat-solat sunat bagi menampung kekurangan dan ketidak khusyukan semasa bersolat.

Soalan 4

APAKAH yang dikatakan dengan solat sempurna dan berkualiti, bagaimana cara mendapatkannya? Sebenarnya bukan perkara mudah untuk mendapatkan rasa khusyuk ketika sembahyang kerana perasaan kita melayang merata-rata.

Malah dalam solat jemaah, kadang-kadang ada makmum yang terlena dan gagal menyempurnakan solat dengan penuh penghayatan. Apakah ciri yang perlu ada bagi seorang imam dalam memimpin solat jemaah supaya makmum di belakang merasa selesa dan memberi tumpuan ketika solat?

Bagi menjawab persoalan ini banyak faktor yang perlu diperhalusi. Pertama balik kepada soal keakuran kita sebagai hamba Allah yang dijadikan untuk beribadah kepada-Nya sebagaimana dalil di dalam surah az-zariyat ayat 56. Oleh itu, sebarang ibadat yang fardhu atas kita kenalah diperkemas dari masa ke semasa baik dari sudut pemahaman kita kepada amalan tersebut. Sebagai contoh seorang pekerja sudah pasti menyiapkan tugasan yang diberikan oleh majikannya sebaik mungkin sebagai bukti pekerja tersebut telah bekerja dengan sebaik mungkin. Demikian jugalah solat dan ibadah-ibadah yang lain.

Kedua sekiranya kita menunaikan solat jemaah seringkali kita mengambil ringan beberapa perkara seperti datang lambat ke masjid dan surau sehingga tidak dapat mengangkat takbir bersama imam, melantik imam yang tidak menepati aspek seperti bacaan yang kurang baik dan sebagainya.

Ketiga, bagi seorang imam pula ciri utama yang perlu bagi menjadi imam yang ideal ialah beliau perlulah meletakkan hal dirinya sebagai salah seorang jemaah juga kerana perkara yang dititik beratkan ialah keadaan para jemaah memandangkan imam hanya seorang manakala jemaah itu ramai. Justeru, kalau kita berada di tempat jemaah kita terasa sangat mengantuk atau boleh berkhayal kerana imam tersebut membawa solat terlalu panjang dan mewujudkan ruang fikiran untuk melayang-layang ketika solat dan tidak khusyuk. Para imam juga hendaklah menambahbaik mutu bacaan, ilmu pengetahuan dan meraikan para jemaah yang bersolat bersamanya dan menjadi kegemaran dengan tindakan yang disukai dan tidak bersalahan dengan syarak.


Soalan 5

SOLAT bukan saja perlu melakukan kerja dan perkara-perkara rukun dalam solat malah aspek berwuduk juga perlu diberi perhatian dan dilakukan dengan sempurna.

Apakah langkah-langkah lain yang perlu dipatuhi individu Muslim dalam 'mempersembahkan' solatnya kepada Allah supaya ia memberi kesan terbaik buat diri seperti perasaan tenang, lapang hati, diberi kekuatan dan merasa kagum dengan kebesaran Allah?

Sebagaimana kata pepatah, bagaimana benihnya begitulah pokoknya. Ini membawa maksud solat yang sempurna yang boleh memberi kesan kepada yang menunaikannya ialah bukan sahaja bergantung kepada wudu' yang sempuna malah segala serba segi perlu dinilai. Contohnya, pakaian sesorang, tepat solat, makan minum dan sebagainya supaya tidak membawa kepada haram kerana terdapat di dalam hadith riwayat Bukhari apabila nabi s.a.w menyatakan bahawa doa mahupun amalan seorang hamba itu tidak mendapat apa-apa walaupun keadaan dia yang kusut masai bersungguh-sungguh berdoa apabila makanannya terdiri daripada yang haram dan sebagainya.

Di antara langkah-langkah lain yang boleh dilaksanakan oleh individu Muslim dalam melakukan ibadah ialah disamping ia memenuhi segala tuntutan rukun dan wajib solat maka hendaklah ia juga memenuhi amalan sunat semasa solat di antaranya solat dalam keadaan yang tidak terburu-buru dan di awal waktu. Di samping itu, pakaian seorang yang menunaikan solat juga diambil kira dan boleh diukur tahap keikhlasan dan kepatuhan seorang hamba. Ada yang sanggup menukar kain untuk solat sekiranya dia berseluar semasa kerja dengan alasan risau seluar tadi tidak bersih untuk dibawa semasa solat. Inilah ciri-ciri seseorang itu bersungguh-sungguh melakukan kepatuhan terhadanp Tuhan, contohnya apabila diberitahu bahawa seorang pembesar akan datang di kawasan tersebut makin bersiaplah kita dengan pakaian yang serba indah dan segak tetapi ketika mengadap Tuhan yang menciptakan seluruh alam termasuklah menjadikan pembesar tadi, sifat kehambaan kita telah berdivasifi dan membezakan antara sesuatu darjat walaupun sepatutnya membesarkan Tuhan melebihi membesarkan manusia.

Selain itu, faktor solat itu sendiri seperti memahami bacaan dalam solat dan memahami hukum-hakam berkaitan dengan solat yang terlalu luas itu juga mampu membawa solat ke tahap yang lebih bemutu, kerapkali terjadi di masjid-masjid apabila banyak jemaah yang tidak mengendahkan apabila telefon mereka berbunyi semasa solat adalah satu kewajipan untuk menutupnya kerana bunyi tadi adalah satu gangguan sebagaimana hadith nabi s.a.w mewajibkan mengelakkan kemudharatan semasa solat termasuklah semasa berhadapan dengan kala atau ular berbisa. Ini bersangkut paut dengan tahap kefahaman fiqah seseorang dan sebab itulah tidak hairan jika kita dapati semasa sedang bersolat jemaah terdengar kagu deringan telefon yang membuai dan mengganggu bukan sekadar jemaah malah kosantrasi imam. Lagu MD Kilau, senyumlah..senyumlah.. sudah pasti sambungan dijawab oleh orang yang didengar, ahai cek mek molek sekaligus menghancurkan kekhusyukan.

Secara analoginya yang boleh diambil ialah, hanya mereka yang khusyuk, memahami solat, dan bersungguh-sungguh melakukan ibadah ini sahaja yang boleh merasai kemanisan, kelapangan dan keseronokan beribadah ini. Jika para sahabat, para tabi'in dan ulama yang bersolat dengan bertujuan tertentu maka kebanyakan riwayat mereka ditunaikan Allah segala hajat mereka, seorang tabi'in menunaikan solat agar perompak yang bakal membunuhnya sejurus selepas solat akhirnya mati dibunuh oleh tentera Allah yang didatangkan oleh Allah bantuan istimewa ini bagi yang bersungguh-sungguh. Seorang pekerja yang meletakkan hatinya dalam bekerja sudah pasti tidak mengendahkan waktu tamat bekerja dengan melakukan sehingga selesai tugasan tersebut hatta terpaksa pulang lewat malam. Begitu jugalah mereka yang menunaikan solat dengan betul sudah pasti merasai kenikmatan tersebut bukan sahaja di akhirat malah kejayaan cemerlang di dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan