Hidup banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Hidup  banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Selasa, 29 Mei 2012

Tak tahu lah saya...

Sg.Ramal, 30mei2012 - sebenarnya aku banyak kerja tau. Menimbun. tapi tak mula-mula lagi. So, aku mengisi masa dan pembakar semangat dalam menulis. Nak tulis yang lebih besar mulakan dengan penulisan yang kecil dahulu, kui..kui..kui.. seribu satu alasan lah kan. Ok cerita pertama, inilah anakku yang makin nakal manja lah. Baru setahun setengah dah macam-macam perangainya, merajuk lah, pandai berlakon lah, joget lah, ngaji pun pandai yang paling best berceramah, mengadap cermin dan berceramah, tapi belum faham isinya samada ceramah agama atau pun politik. Pagi ini dia buat perkara yang mengejutkan ku, habis keropok dalam bekas ditumpahkan kemudian terus dia masuk ke stor ambil penyapu dan penyodok dan terus sapu. Tiba-tiba asalnya sahaja lah aku nak marah dia tetapi terus menyuntik ke dalam fikiranku, kalau kita telah melakukan kesilapan dan kesalahan, jangan berlengah dan teruskan memperbaiki kesilapan tersebut. Mana ada manusia yang tidak melakukan kesilapan tetapi sebaik manusia ialah mereka yang mengakuinya dan memperbaiki kesilapan tersebut.    
Cerita kedua, pada ahad yang lepas pada tarikh 27mei2012, aku telah dijemput oleh sebuah persatuan ibu-ibu tunggal dan juga anak-anak yatim di Bandar Baru Sentul untuk memberikan santapan rohani dan juga berkongsi pengalaman dalam memberi khidmat nasihat tentang guaman syarie. kesian juga bila melihat nasib kaum hawa yang telah disalahurus dan penyalahgunaan kuasa oleh si lelaki. hem, aku juga lelaki tetapi setakat ini perasaan dan tindak tandukku tidak lah melampau-lampau sehingga memukul isteri walaupun isteriku mengomel pasal sikapku yang tegas, sayang... tegas berprinsip. Hidup ni sukar, kekadang bila kita perjuangkan kebenaran dituduhnya kita berjalan di landasan kepalsuan. Suka au maklumkan persatuan tersebut sememangnya didokong oleh politik UMNO, namun oleh kerana wadahnya dalam hal ini adalah bagus dan baik satu kewajaran aku juga bertolong-tolong dalam perkara yang baik seperti di dalam surah al-Maidah apa salahnya walaupun ia adalah sebuah parti poltik yang mungkin berbeza fahaman saya dan anda.
Cerita ketiga, bukan main seronok kalau main air kan Anas??? kereta sedang dicuci, banyak kali dan banyak hari kereta, pakaian, diri kita dicuci, tetapi jarang sekali hati kita dibersihkan. Allah bantulah kami... 
Cerita keempat, masih ingat penulisanku sebelum-belum ini tentang kes artis ini? Alhamdulillah apabila hatinya telah menerima hidayah namun agak pelik kenapa keinsafan diselami dan sulami oleh politik. Jangan salah faham kenyataanku, betul ada parti poltik ini yang memperjuangkan Islam dengan landasan itu namun adalah wajar sekiranya artis sekian-sekian bertaubat dan memilih pergi belajar agama secara formal dan mendalami agama agar hidayah tersebut tidak lari atau menjauhkan kita. Moga Allah beri kefahaman agama kepada aku dan mereka.

Sabtu, 26 Mei 2012

Soalan METRO: Cabaran bergelar SUAMI...

Sg.Ramal, 26 mei 2012 - sekadar mengeposkan jawapan hasil percambahan idea ku di akhbar harian metro jumaat lepas. Bacalah dan moga ada manfaatnya.
Soalan 1

Melalui perkahwinan, kehidupan seseorang bertukar menjadi kehidupan penuh perjuangan, tanggungjawab dan perlu berani menghadapi saat sukar dan senang. Orang yang berkahwin sudah pasti mempunyai banyak peluang mengumpul amalan soleh berbanding mereka yang mengambil keputusan hidup membujang. Ada yang beralasan tidak mahu berkahwin lagi disebabkan belum bersedia serta bimbang hidup makin melarat kerana perlu menanggung banyak perkara seperti menyediakan kewangan kepada keluarga, mencari tempat perlindungan terbaik kepada isteri dan anak dan perlu bersedia menerima kehadiran cahaya mata yang mempunyai pelbagai karenah. Komen ustaz mengenai tanggungjawab yang perlu dilunaskan golongan suami terutamanya dalam mewujudkan rumah tangga idaman iaitu aman, bahagia dan senang dari pelbagai aspek.

Memasuki alam perkahwinan bukanlah semata-mata tertegak atas dasar cinta sahaja, bahkan perkahwinan adalah campuran tiga sudut utama iaitu fitrah manusia, kebaikan kepada masyarakat dan juga penilitian dan pemilihan. Malah ianya disimpul erat dengan sejauh mana hubungan pendidikan dengan sifat tanggungjawab di antara pasangan. Isu yang kian menghantui pasangan muslim yang berkahwin dengan masalah-masalah rumahtangga amatlah berbeza dengan pasangan yang bukan muslim di negara-negara lain disebabkan matlamat perkahwinan. Di barat, statistik pasangan yang mendaftarkan perkahwinan amatlah sedikit kerana mereka tidak mahu terbeban dengan tanggungjawab dan masalah-masalah lain bahkan mereka lebih selesa hidup serumah tanpa ada hubungann yang sah. Apa guna berkahwin jika tidak mendatangkan bahagia.

Islam tidak sekali-kali mengiktiraf budaya sebegitu, perkahwinan pada istilah syarak ialah akad yang mengharuskan hubungan suami isteri yang dibenarkan syarak. Akad inilah yang mengikatkan pasangan dengan tanggungjawab dan bukan semata-mata cinta. Kita beli sebuah kenderaan yang kita suka dan impikan, tanda suka tersebut diterjemahkan dengan membayar ansuran bulanan adalah lambang tanggungjawab kita. Justeru Islam bukanlah sekadar memaklumkan bahawa pasangan yang hendak berkahwin perlu didasari atas nama cinta tetapi dengan berkahwin itu mampu mendatangkan cinta, kasih sayang yang didasari oleh agama, sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah ar Rum ayat 21 yang bermaksud, dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih sayang, rahmat, sesungguhnya yang demikian itu bagi kaum yang berfikir. Apabila mendirikan rumahtangga, pasangan terutamanya si suami akan terkejut kerana berhadapan dengan pelbagai tanggungjawab dan tidak seperti yang disangkanya pada sebelum perkahwinan.

Sebelum berkahwin dirasakan bahagia jika perbelanjaan makan minum, bil telefon, pakaian dan lain-lain lagi perbelanjaan kekasihnya yang bakal menjadi pasangan hidupnya ditampung oleh si lelaki tadi namun yang hairannya perasaan ini berubah selepas berkahwin. Terutamanya pasangan muda yang diibaratkan 'belum penuh ilmu di dada' menjadi hilang arah apabila dibebani dengan isu tanggungjawab yang banyak dan membebankan. Permasalahan ini tadi berlarutan sehingga menerbitkan bait-bait pertengkaran berkaitan soal kerja, tugas pasangan dan macam-macam lagi dan akhirnya membawa kepada pergaduhan dalam rumahtangga yang makin besar dan membawa kepada penceraian. Atas senario rutin yang terjadi inilah, masyarakat perlu diingatkan kembali bahawa perkahwinan wajib didasari atas dasar iman dan taqwa kepada Allah. Sebagai contoh sebelum berkahwin, ramai di kalangan anak muda melambatkan perkahwinan mereka atas pelbagai alasan termasuk urusan ekonomi yang belum stabil dan sebagainya, maka Firman Allah s.w.t dalam surah an Nur ayat 32 yang bermaksud, ...jika mereka miskin (orang-orang muda yang mahu mendirikan rumahtangga) maka Allah akan memampukan mereka dengan kurniaanNya dan Allah Maha Luas (pemberiaanNya) lagi Maha Mengetahui. Bahkan ditambah dengan hadith nabi s.a.w jaminan bagi mereka yang berkahwin akan didatangkan bagi mereka rezeki kerana isteri-isteri itu mendatangkan punca rezeki bagi suami. Bila diselidiki, segala tanggungjawab yang dirasakan bebanan kepada suami untuk melunaskannya akan menjadi mudah dan dihadapi dengan rasa gembira walaupun secara zahirnya dilihat payah. Analoginya mudah, berkahwin ibarat kita memakan sambal belacan, pedas dan panas, namun kita masih terus makan kerana ianya sebahagian dari nikmat sambal tersebut dan sedap. Malah hadtih dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda “ada 3 golongan yang Allah pasti menolongnya iaitu orang yang berjuang di jalan Allah, hamba yang mencari wang tebusan untuk membebaskan dirinya, dan orang yang berkahwin dengan niat menjaga maruahnya” riwayat at tirmizi.

Soalan 2

APAKAH hak dan kewajipan yang perlu diketahui oleh pasangan suami isteri selepas mereka berumah tangga?

Bila mempersoalkan tentang hak dan tanggungjawab dalam perkahwinan, sewajarnya masyarakat menghilangkan terlebih dahulu pandangan skeptikal berkaitan isteri sewajarnya menguruskan rumahtangga dan suami pergi bekerja. Zaman hari ini tidak lagi seperti dahulu, kedua-dua pasangan bekerja dan bekerjaya dan keluar pagi balik lewat petang dan dalam kepenatan tersebut tiba-tiba si suami merungut tentang isterinya yang memberikan alasan penat apabila diminta melaksanakan tugasan rumah yang lain sedangkan si suami tadi menyandar di hadapan sofa sambil menonton tv, dan apabila dipersoalkan oleh isteri segera dijawab oleh si suami, ini hak saya dan itu tanggungjawab awak. Senario ini seringkali terjadi kerana salah faham tentang hak dan tanggungjawab. Sabda nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban, “Sesungguhnya Allah akan bertanyakan setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah dia telah memeliharanya ataupun mensia-siakannya”.

Justeru tanggungjawab suami dan isteri berdasarkan syariat Islam ialah suami wajib menyediakan mas kahwin, nafaqah, dan bergaul dengan cara yang baik terhadap isteri-isterinya manakala isteri wajib mentaati suami dalam perkara bukan maksiat, menjaga kemuliaan, maruah dan harta suami. Nabi s.a.w seorang suami yang melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh cemerlang kerana nabi menjahit pakaiannya sendiri, nabi menampal kasutnya sendiri, nabi ke pasar, nabi membantu tugas di dapur bahkan setengah ulama mewajibkan penyediaan pembantu rumah bagi yang mampu sekiranya suami tidak boleh menolong isterinya melaksanakan tugasan harian. Inilah yang membezakan hak dan tanggungjawab yang kita fahami dengan yang nabi s.a.w tunjuki. Perkara asas dalam perkahwinan juga ialah bertolak ansur dalam soal tanggungjawab, tiada salahnya jika suami tadi membantu isterinya dalam penyediaan makanan kerana masing-masing baharu sahaja pulang bekerja dan kepenatan ini dijinjing bersama-sama atas dasar iman dan tqawa, malah lebih indah dan manis jika dikongsi daripada mencari kesalahan pasangan masing-masing.

Soalan 3

SETIAP pasangan mendambakan zuriat selepas mereka bersatu. Namun suami isteri perlu lebih memahami, setiap anak yang dilahirkan perlu dididik dengan sempurna bukannya diabaikan pelajaran, keluhuran sikap dan sahsiahnya. Pendidikan terhadap anak cukup penting malah sejak dari dalam rahim ibunya lagi kerana sebelum melahirkan ibu lebih banyak berhubung dengan anaknya kerana dia adalah sebahagian daripada tubuhnya, terpengaruh dengan keadaan fizikal dan jiwa ibunya. Minta pandangan Ustaz mengenai kepentingan mendidik anak sesempurna mungkin supaya membolehkan setiap ibu bapa meninggalkan warisan yang mampu membahagiakan mereka walaupun mereka sudah tiada nanti.

Selain daripada hak anak yang menjadi tanggungjawab ibubapanya mendapatkan nafaqah, anak tadi juga berhak mendapatkan pendidikan dan pengajaran yang terbaik dalam hal ibadat dan akhlak, sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al Dailami dan al Suyuti, “didiklah anak-anakmu 3 perkara, cintakan nabimu, cintakan keluarga nabimu dan membaca al Quran”. Bagaimana ibubapa hari ini terlepas pandang akan hak anak tadi dalam pendidikan, selain daripada pendidikan arus perdana di sekolah, pendidikan agama dan pembinaan akhlak adalah juga pendidikan utama yang wajar dititik beratkan. Ibubapa risau jika anak mereka di tahun satu persekolahan masih tidak mengenal abjad tetapi tidak risau jika mereka tidak boleh mengenal huruf apatah lagi membaca al Quran.

Jika anak-anak tadi tidak dididik dengan asas agama ini, janganlah menyesal sekiranya waris yang ditinggalkan hanya bercakap berkaitan harta pusaka dan wang ringgit tinggalan kedua ibubapanya dan amat malang lagi apabila anak-anak yang tersalah didik ini bertengkar sesama ahli keluarga semasa di hujung hayat kedua ibu bapanya tadi. Mana anak yang bergelar jurutera, peguam, doktor, dan lain-lain semasa kematian kedua orang tuanya? Islam tidak menyuruh kita meninggalkan waris yang mengejar dunia semata, bahkan kejarlah kedua-duanya dengan saksama. Anak yang putih semenjak awal perlukan corakan didikan agama yang secukupnya daripada kita selaku ibubapa dan itulah warisan yang membanggakan jika anak tadi mampu menguruskan jenazah orang tuanya yang menjadi kayu ukur anak-anak yang soleh adalah syurga rumahtangga.

Soalan 4

KITA melihat kepada situasi semasa pelbagai punca berlakunya keretakan rumah tangga. Antaranya sikap suami isteri yang sama-sama tidak mahu mengalah, faktor kesempitan kewangan, campur tangan keluarga dan sebagainya sehingga memberi kesan berlakunya perceraian. Anak-anak pula menjadi mangsa. Bagaimana ego itu boleh diurus dan 'dileburkan' tidak kira pihak suami atau isteri supaya ikatan perkahwinan terus kekal serta mereka dapat menghormati keputusan dan hak masing-masing.

Apabila melihat kepada statistik penceraian pada masa ini, angka yang kian naik dari masa ke semasa mencerminkan satu tanda aras yang tidak sihat terutamanya kepada umat Islam walaupun ada yang menyebut ianya berkaitan dengan faktor jodoh di tangan Tuhan, namun punca penceraian itu sendiri adalah akibat tindakan pasangan tersebut. Sebagai contoh, di antara alasan yang popular di mahkamah apabila mahu bercerai ialah tiada kesefahaman dan keserasian lagi, sedangkan pada peringkat sebelum perkahwinan jawapan yang diberikan bila ditanya kenapa memilih pasangan tersebut ialah kerana keserasian. Tidak hairankah ke mana 'perginya' faktor keserasian tadi. Kajian yang dijalankan kepada pasangan yang berkahwin ialah tempoh 5 tahun perkahwinan adalah jangkamasa kritikal yang bakal dialami oleh semua pasangan dalam proses keserasian tersebut. Bayangkan sahaja, 20 tahun lebih pasangan tadi tinggal bersama ibubapanya dan apabila baharu berkahwin yang belum pun menyamai usia kehidupan bersama orang tuanya hingga ke tahap teman hidup sudah tenggelam dilanda badai dihempas terkulai di tepian pantai. Macam-macam yang dijadikan alasan bila hati telah tidak terpaut.

Yakinlah setiap pasangan kepada janji Allah dalam surah at Talaq ayat 2 yang menyatakan bagi mereka yang bertaqwa kepada Allah nescaya akan dibukakan jalan keluar kepada sebarang masalah. Khatib setiap kali khutbah Jumaat menjadi rukun memberi pesan kepada para jemaah lelaki iaitu suami dan bakal menjadi suami agar bertaqwa dengan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Bila kita susah kita kerja kuat tetapi kita tinggalkan tanggungjawab sebagai seorang Islam seperti tunaikan solat, ianya ibarat meminum air laut, lagi diminum lagi kehausan tetapi bagi orang yang bertaqwa terkadang dengan sedikit rezeki ia menjadi cukup buat seluruh ahli keluarga keluarga kerana mereka tahu dasar perkahwinan ialah taqwa. Lihat sahaja atuk, ayah kita dahulu, walaupun kerjanya tidak bergaji besar namun cukup membesarkan kita sekeluarga. Ketahuilah, masalah-masalah dalam berumahtangga itu dihiasi oleh syaitan yang mahukan kita berpisah cerai sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 102 yang bermaksud “...di antara peranan sihir (tugas iblis) agar mereka dapat menceraikan antara suami dengan isterinya”. Oleh kerana itu, jika hendak bergaduh pun gaduh dengan aman dan hikmah, gaduh dengan kasih sayang kerana iblis cukup benci jika suami isteri berkasih sayang kerana Allah.



Soalan 5

BAGI melahirkan generasi berkualiti, umat Islam perlu mencari pasangan hidup yang menjadikan iman sebagai landasan utamanya. Selepas berumah tangga juga, perlukah setiap pasangan mengimpikan atau mempunyai cita-cita memiliki anak ramai yang soleh dan solehah sebagai pelaburan mereka pada masa hadapan?

Sabda nabi s.a.w diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa “kahwinilah wanita yang subur dan penyayang, sesungguhnya aku berbangga dengan kamu sebagai umat yang ramai pada hari kiamat”. Tugas sebagai ibubapa ini tidak akan terhenti selagi hayat dikandung badan, bahkan sekiranya anak tersebut telah dewasa pun ibubapa sepatutnya memberikan nasihat apabila diminta, ini membuktikan anak bukan sekadar warisan bahkan adalah pelaburan yang cukup bernilai. Jika bertemu dua sahabat lama antara topik perbualannya ialah berapa ramai anak dan anak-anak sedang buat apa, tidak pernah ditanya berapa banyak duit dalam bank dan ini menunjukkan anak-anak bukan sekadar aset tetapi juga liabiliti jika tersalah didik. Isteri yang solehah adalah ibarat syurga yang disegera, anak-anak yang soleh solehah adalah syurga rumahtangga, bagi mendambakan keluarga yang bahagia tadi jangan sekali-kali kita terleka dalam aspek pendidikan agama dan sahsiah, baik ibubapa mahupun anak-anak kita. Kita mesti terus belajar terutama ilmu keibubapaan bagi memastikan anak kita bukan sekadar soleh tetapi juga mosleh, iaitu dia baik dan juga mampu mengajak orang jadi baik juga.

Syurga dunia yang kita cari bukanlah kekayaan dan kemewahan harta benda, syurga dunia yang disegera ialah keluarga bahagia dan anak-anak yang membahagiakan kerana pastinya bahagia tidak dapat dijual beli tetapi dapat dirasai oleh mereka yang bertaqwa.

Debaran semakin hampir...

Sg.Ramal, 27mei2012 - Examination just around the corner. Work also around the corner. John cornering also in the corner behind the burner. Apa yang aku merepek ni... hehehe.. chill yo! Gambar di bawah ni nampak tak budak yang tengah riang ria, ligat, semangat, main sana-sini, dan yang pastinya menggembirakan hatiku walaupun di saat duka. Aku juga jarang ke pejabat pada masa ini kerana lebih menumpukan terhadap beliau yang kufikirkan usaha yang terdaya aku buat setakat ini. caaakkk... sorok konon.. nampak ke? hehehe 
Entah macam mana, disebabkan aku telah berpindah barang sedikit demi sedikit ke rumah baharu, terjumpa pula majalah semasa bersekolah di SMKA Maahad Hamidiah yang mana pada ketika itu adalah jawatan buatku walaupun aku adalah pelajar baharu yang bersama dengan mereka. Kurus kacak, hensem tampan, itulah yang boleh aku katakan.. hehehe

Selasa, 22 Mei 2012

Guruku.. selepas 16 Mei

Sg.Ramal, 22mei2012 - tulisan ringkasku ini sekadar melahirkan rasa terkesima dan gembira biarpun sepotong ayat tersebut tidak memberikan semula apa yang hilang, tetapi menyuburkan kembali semangat yang lebur.  kenal kah dengan wajah ini? dia bagiku adalah idola dalam bidang pengajianku. Aku pernah bertalaqqi dengannya kitan Syarah Qawaid Fiqhiyyah karangan Dr. Mustafa Az Zarqa'. Kitab yang setebal 6 ke 7ratus muka surat diajar dengan baik sekali.Alhamdulillah, jasanya akan ku ingat sampai mati.

Apa kene mengena Dr. Zulkifli al bakri dengan kisah hidup ku? Sebelum itu, sedikit pengenalan tentang beliau yang mana aku sendiri mendengar ucapan berkaitan manusia berilmu ini dari mulut anak muridnya dan juga seorang rakan sebilik pengajiannya. Subhanallah, aku ingin sekali berakhlak dan beilmu sepertinya. Masha Allah! Andai suatu hari aku diangkat menjadi pemimpin, nescaya dia akan ku letakkan sebagai penasihat agamaku. Insha Allah!
Beliau bukan sekadar tawaddu' malah hebat dalam pencarian ilmu, bahkan pengenalanku dengan beliau bukan sekadar anak murid-guru tetapi aku juga menjadikan dia tanda aras dalam menuntut ilmu. Bila ditanya sahaja rakan-rakan yang belajar bersama dengannya, sungguh mengkagumkan apabila beliau pada ketika di Madinah bertalaqqi dengan guru-guru di masjid Nabawi apabila ditanyakan soalan kepada gurunya, tuan guru tersebut akan memaklumkan, ya al-Bakri, ajib! Maka dr.zul diminta untuk menjawab soalan yang ditanya kerana alimnya beliau. Bahkan perjalanan pengajian di peringkat Sarjana beliau di Syria hanyalah dari rumah ke masjid atau kuliah pengajian dan selama bertahun tidak pernah ke pasar, atau tempat-tempat hiburan yang lain. Kelebihan beliau juga yang boleh baca kitab-kitab turath yang sama sebagaimana beliau bertalaqqi dengan para Masyayikh( jamak syeikh). Menurut pengalaman rakannya, dr.zil akan bacakan sebutir-sebutir dari kitab yang dihafaznya kemudian tertawa atau beremosi di mana gurunya juga beremosi pada mana-mana perenggan dalam kitab tersebut. Hebatkan? Allahu akram, moga ramai lagi ulama sepertinya dan aku akan mengikut jejak lagkahnya.

kenapa tiba-tiba aku menulis berkaitan beliau? telah sampai ke telinga ku dr.zul yang menjadi idola ku ini apabila mengetahui aku telah dikonspirasikan dibuang dari masjid, dari mulutnya sendiri yang alim besar dan tawaddu', maka belaiu menuturkan kalamnya kepada seorang jemaah' "siapa yang buang Fakhrurrazi ni, adalah mereka yang BODOH"... kata dr.zul itu menyiram kembali semangat dan jiwaku yang kering ketandusan kerana ujian-ujian. itulah justifikasi orang yang 'alim. Moga Allah merahmati beliau, aku dan seluruh umat Islam dari dahulu hingga hari Qiamat. 

Ahad, 20 Mei 2012

Perjuangan yang tiada penghujung...

Alor Gajah, 19Mei2012 - menjadi teka-teki kepada semua rakyat Malaysia bilakah tarikh pilihanraya yang akan datang bagi kali yang ke-13, senario rancak di antara satu parti memburukkan parti yang lain, terutamanya bagi memperoleh dan meraih undian daripada pengundi atau pembuang undi. Ironinya, mereka bercakap soal pilihanraya yang adil dan telus, cuma aku masih membiarkan tanpa redho senario ini daripada menghantui diriku sendiri. Banyak benda lain lagi yang aku hendak fikirkan. Apa yang penting bagiku, selagi mana tujuan sesuatu itu adalah kebaikan dan disulami dengan fakta yang yakin ketepatannya, maka jelas itulah juga prinsip dan pegangan hidupku.

Alhamdulillah, pada jumaat semalam, aku telah dijemput menyampaikan kuliah jumaat di Masjid KLIA buat kali yang ke-2. Lama agaknya telah tidak berkhutbah semenjak kes masjid tersebut. Manakan tidak, hanya kesabaran dan keredhoiaan kepada Allah menjadi tunggak utama aku bila mana diuji Allah s.w.t. APa yang berbezanya dengan kenderaanku di atas? kerana nak mengejar masa solat Jumaat, mudguard di atas tayar di sebelah kanan telah tercampak di lebuhraya dek kerana laju dan benda alah tersebut telah longgar bergesel dengan tayar besar tu. Rupanya, susah nak dapat dari kedai spare part. Nasib lah..
Inilah yang berlaku sebenarnya pada 19Mei, rumah mentuaku di Melaka dijadikan premis ceramah dan bangganya ia dihadiri oleh YB Zuraida ahli parlimen Ampang dan juga seorang peguam yang bernama besar iaitu Haji Muhammad Bin Hj Burok. Kesempatannya turun di majlis tanda beliau seorang yang menepati janji dan hebat latarbelakang pembelajarannya, apa yang ku lihat di majlis itu bukan sekadar orang yang berbangsa Melayu yang hadir, bahkan semua bangsa dapat duduk bersama dan bersatu. Benar lah firman Allah di dalam surah al-hujurat, yang mana Allah ciptakan pelbagai jenis dan keturunan bangsa di atas muka bumi ini untuk kita berkenalan dan memahami satu sama lain.
Paling aku tidak sangka, makcik-makcik ku yang dulu tidak berlainan idealogi dan pemahaman kepartian mula beralih arah dan angin kerana makin memahami perjuangan sesuatu kumpulan selama ini dan bagiku, semuanya sama selagi mana ianya perundangan yang direkacipta oleh manusia, pastikan ada kelemahan baik parti ini dan itu. rumusan aku mudah, wajib daftar sebagai pengundi. wajib memihak kepada mereka yang memperjuangkan Islam. itu thabat! Murunahnya ialah sekiranya di kawasan itu terdapat 2 calon yang bukan Islam, pilih lah calon yang kurang kefasiqan, kefasidan dan kejahatannya. Wallahualam. Takbir!

Rabu, 16 Mei 2012

Dont be GOD or try to be GOD.. you can be good..

Melaka Pindah, 16 Mei 2012 - Selamat Hari Guru. Terlalu meriah di saat ini ucapan-ucapan tanda penghargaan kepada Sang Murabbi setiap kali tibanya detik ini. Tanda bagi menghargai pengorbanan jasa guru. Aku ada memori tersendiri bila mengingati hari guru ynag menjelma. Aku ingat dari zaman aku tadika, cikgu syarifah yang gemok dan bertahi lalat di pipi yang mengajar di Tadika rakyat Kampong Bharu, Kuala Lumpur. Teringat guru tahun 3 yang tidak bertudung dan seksi, anaknya ada sekelas denganku bernama Shereen. Teringat ustaz atau ustazah yang mengajar ku di rumah, di sekolah, di surau dan masjid dan di mana-mana sahaja. Insha Allah akan ku kongsikan perjalanan hidup ini dari masa ke semasa. Sehinggalah kini di peringkat ini. Ada guru yang kita suka ataupun tidak. Pelbagai ragam yang kita kenal dan pelbagai ragam yang kita terpaksa hadapinya. Apa pun, selagi mereka GURU kita, tiada lain yang sepatutnya mereka terima saat ini melainkan "TERIMA KASIH GURU.."

isunya samalah bila memiliki anak sendiri, anak kita, darah daging kita, minum nak baring kat mana-mana, merajuk nak pusing kat lantai, menjerit sekuat hati, dan macam-macam lagi.. apa pun ragamnya walaupun kita tidak suka, dia tetap anak kita. Teringat kisah Imam Shafie yang sedang menggunting rambut kemudian apabila dilihatnya seorang yang dikenali oleh beliau, lantas beliau bangun dan tunduk rasa hormat, hairan si tukang gunting bertanyakan kepada Imam shafie, Wahai tuan, tuankan seorang Ulama besar, kenapa bangun dan menghormati seorang yang lalu yang bukan pula seorang Islam. Balas Imam Shafie kepada tukang gunting tersbeut, dia itu GURUKU.
Penulisanku pada kali ini sememangnya sedikit emosi bermain di jiwaku apabila aku digelakkan oleh teman-teman sekelas kerana sindiran pensyarahku yang akan memberikan aku markah kosong kepada 2 pembentangan kertas kerjaku yang dianggap telah menyimpang dan aku terpaksa diam dan sabar mendengar gelakan mereka disamping menahan emosi. teringat kepada junjungan s.a.w yang bukan sekadar digelakkan, dihina, diherdik, dimaki hamun dan sebagainya.. Oh ya Allah, aku dapat mendengar dan merasai keadaan sedikit itu, terasa kecil diri ini, terasa bertambah kuat jiwaku bangun dan bangkit berjuang, moga kenangan pahit itu memberikan seribu satu pengajaran berguna kepadaku, amin ya rabb..

Selasa, 15 Mei 2012

Selamat Hari Ibu

Dimana bumi dipijak, 13 Mei 2012 - Namanya Asmah Rahmat. Ibuku. aku lupa tarikh lahirnya. Aku tak ingat no kad pengenalannya. Aku tak tahu apa makanan kegemaran ibuku, apa warna kesukaan ibuku, aku tak tahu. Aku anak yang teruk. Aku tahu dalam hatiku dan segala perbuatan niatku akan aku baktikan buat ibuku walaupun aku tak pandai meluahkannya, tak pandai ucapkannya atau sebagaimana anak-anak lain, aku tahu baik susah atau senang aku akan dahulukan ibuku berbanding manusia lain di atas muka bumi ini. Aku lahir dari perutnya, aku membesar dengan titisan redho dia menyusuku, aku adalah sebahagian darinya, biarlah ada yang komen sambutan hari ibu mengikut budaya orang bukan Islam dan sepatutnya orang Islam sayang ibunya hari-hari, benar. namun aku tidka menafikan adanya hari ibu seolah-oleh sebagaimana hari audit kepada kasih sayang kita kepada ibu kita, mungkin ada kesilapan yang kita tidak sengajakan atau terlupa sebarang janji yang perlu kita kotakan, aku ada pendirian dan kesimpulanku... Umi, maafkan segala kesilapanku dan redholah kehidupanku ini agar kita bertemu kelak di Syurga nanti. Aku sayang Umi.

Rabu, 9 Mei 2012

Ibuku..Kubuku..Bukuku..

Sg.ramal, 9 Mei 2012 - inilah sebab kenapa aku tidak pergi ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC yang berakhir 6 Mei yang lepas, pada dasarnya aku memanglah masih jahil dan bodoh dalam pelbagai lapangan ilmu, cumanya aku memang mencintai buku dan sanggup berhabis wang deminya, moga Allah memberkati perjalananku sebagai seorang alim, insha allah. Dan di bawah ini pula, jawapan yang aku sediakan untuk soalan wartawan berkaitan ibu pula.

1.Lahir saja anak ke dunia, wanita/ ibu itu sebenarnya sudah diangkat menjadi pendakwah dalam keluarganya. Anak perlu dicorakkan mengikut acuan terbaik daripada orang yang paling rapat (ibu). Apakah seni dalam menyampaikan dakwah kepada ahli keluarga terutamanya anak dalam mendepani cabaran semasa?


Imam Malik pernah ditanya bagaimanakah beliau memperoleh anak-anak yang alim dan soleh mosleh, maka jawab beliau, aku pilih ibunya. Kisah ini membawa maksud pendakwah yang disegani dan berkualiti terutama dalam skop perbincangan seorang wanita/ ibu ialah bermula dari peringkat awal lagi dengan memilih bakal isteri yang terbaik seterusnya mendirikan rumah tangga dan bakal bergelar seorang ibu. Dari aspek pemilihan bakal isteri, nabi junjungan menyarankan kita memilih yang beragama kerana kelak kita akan peroleh ketenangan baik di dunia dan di akhirat.
Berkata seorang penyair arab dengan maksud, sang ibu itu samalah dengan sekolah, jika anda pandai menyesuaikannya... Samalah seperti anda membangunkan suatu umat yang baik keturunannya... Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan lagi pentingnya peranan kedua ibubapa dalam mendidik anak mereka menjadi insan yang berguna. Ibu atau wanita adalah sang murabbi iaitu pendidik. Betapa bahagianya kedua ibubapa dan betapa bahagianya para pendidik apabila mereka dapat melihat di masa hdapan buah dari usaha mereka, bahkan mereka dapat berlindung di bawah teduhan pohon-pohon yang mereka tanam dahulu. Itulah perumpamaan seni mendidik anak,   halus, dalam lembut ada tegasnya, dalam semangat ada berkat. Sudah pasti seni ini dipandu dengan ajaran Islam.
2. Meskipun ada anak yang berada dalam biah tarbiyyah dan solehah, tetapi kita tidak boleh mengharapkan anak memerhati dan mengambil pengajaran daripadanya. Di sini disiplin dan konsisten amat penting bagi mengekalkan suasana yang sudah wujud itu untuk terus kekal terpelihara walau di mana mereka berada. Apakah bentuk panduan bagi mengekalkan tahap disiplin anak-anak?
Memetik buah fikiran ulama tersohor, Abdullah Naseh Ulwan dalam kitabnya “Tarbiyatul Aulad”, beliau menggariskan 5 garis panduan dalam keedah mendidik anak dan serta mengekalkan tahap disiplin anak-anak. Pertama, dengan menunjukkan contoh tauladan. Ambil lah nabi kita Muhammad s.a.w sebagai contoh ikutan, baginda akan buat apa yang baginda ucapkan kepada anak-anak baginda. Kita pernah mendengar kata-kata orang tua, anak-anak adalah cermin ibubapanya. Kalaulah ibu atau ayahnya seorang yang baik santun pekertinya sudah pasti anaknya juga akan begitu. Memanglah ada yang menyatakan iman tidak dapat diwarisi, setidaknya anak yang baik tadi  mengikut acuan kedua ibubapanya yang baik. Kedua, memastikan disiplin anak tadi dengan cara kebiasaanya, berkata pujangga arab, sesiapa yang terdidik dari kecilnya maka akan terbiasa sehingga dewasanya. Kalau dari kecil anak tadi tidak dididik untuk cuci pinggannya sendiri selepas habis makan, maka sehingga dewasalah dia sukar untuk melaksanakannya. Bahkan imam Ghazali menyatakan, akhlak itu ialah perbuatan yang tidak perlu kepada berfikir dahulu, iaitu tindakan terus akibat telah menjadikan perbuatan tersebut adat kebiasaannya. Ketiga, dengan menggunakan nasihat dan bimbingan. Anak mana yang akan sentiasa berdisiplin dan dengar kata. Sudah pasti akan ada kenakalan atau ragam mereka yang perlu kita tegur dan nasihat. Ini selaras dengan dasar pendidikan agama iaitu, nasihat. Bukan sekadar ibubapa perlu menasihatkan anak, malah di suatu ketika ibubapa juga wajar meminta pandangan dan nasihat dari anak-anak mereka. Keempat, pendidikan yang berterusan dengan pemerhatian dan pengawasan dari ibubapa. Hal ini biasanya apabila anak tadi meningkat remaja dan memiliki rentak gaya kehidupannya sendiri, dan ketika inilah ibubapa perlu mengawasi anak-anak mereka daripada berbuat perkara-perkara yang tidak diingini terutama yang menyalahi agama, ianya ibarat layang-layang, biarkan ia terbang tinggi tetapi jangan ia terbang dan terus pergi. Genggamlah tali-tali mereka agar tidak terpesong. Dan yang terkhirnya, didisiplinkan mereka itu dengan denda dan hukuman. Ini bukan bersifat menghukum tetapi lebih kepada mendidik agar mereka mematuhi konsep tarbiyyah agar jangan sewenang-wenangnya dilanggar dan tidak diambil peduli. Ajar anak-anak dengan contoh kepada persekitaran mereka, pencuri akan ditangkap polis dan akan dihukum. Ini satu bentuk gambaran kepada keterbatasan dalam tindak-tanduk anak-anak tadi, boleh bergembira tetapi ada batasannya.

3. Dalam mengejar tuntutan kerjaya, ada di kalangan ibu gagal mengimbangi antara urusan kerja dan rumah tangga. Anak dibiar lebih bersama penjaga/ pengasuh dalam semua urusan sehingga menyebabkan anak tidak mendapat perhatian/ kasih sayang ibunya. Malah lebih malang, dengan suami jarang berkomunikasi dan berbincang sehingga suasana di dalam rumah itu ibarat mementingkan diri sendiri. Komen Ustaz mengenai situasi ibu bekerjaya ini dan jalan penyelesaiannya?
Dalam konteks ini, ibu atau individu tersebut perlu tahu tujuan dan matlamat sesuatu tindakan yang diambil. Tidakkah dari awal perkahwinan semua pasangan telah berniat dan didoakan juga semasa majlis perkahwinan mereka agar suami isteri ini bakal menjadi ibubapa yang soleh dan mithali. Dengan kata lain niat inilah yang perlu diingatkan selalu kepada dirinya sendiri. Seorang ibu wajar apabila buka mata dari istirehatnya berniat, aku adalah ibu yang terbaik kepada anak-anak ku dan isteri solehah kepada suamiku. Niat yang istiqamah ini bukan sekadar sebagai doa malah menjadi pengingat kepada diri ibu tersebut agar tahu matlamatnya sendiri. Inilah jujur pada diri. Dalam Islam tiada kesalahan seorang ibu untuk bekerja dan bekerjaya. Malah, bagi isteri yang redho dan ikhlas dalam bekerja untuk membantu suaminya mencari nafkah akan peroleh ganjaran yang besar seumpama berjihad, namun keseimbangan di antara tugasan kerja dan tanggungjawab sebagai ibu dan pendidik wajarlah dititik beratkan. Pepatah barat ada menyatakan, “you win some, you loose some”. Tiada kemenangan kepada kedua-duanya tetapi keseimbangan dalam pembahagian masa dan perhatian diperlukan dalam menangani konflik seperti ini. Tiada gunanya kita hebat dalam bidang kerjaya tetapi membiarkan anak-anak berada dalam ketandusan kasih sayang, dan apabila rumah yang kosong dengan kasih sayang akan menyebabkan anak-anak ini mencari kasih sayang di luar dan mudah terjebak dengan anasir-anasir negatif yang akhirnya memusnahkan keseluruhan sistem keluarga tadi. Balik kepada tujuan asal bekerja, samada kita memilih untuk bekerjaya membantu keluarga atau kita menjadi hamba kerja.
 4. Anak yang baru mengenal dunia terdedah dengan agenda budaya barat yang disalurkan secara meluas menerusi media dan teknologi maklumat. Budaya yang ditonjolkan dalam filem, artis, nyanyian serta fesyen memberi kesan besar terhadap perubahan sikap dan akhlak anak. Jika perkara itu gagal dikawal, ia mampu merencatkan perkembangan anak menjadi insan yang terdidik akhlaknya. Mungkin di hadapan kita, anak boleh bersikap baik tetapi mampu bertukar watak lain apabila berada di belakang kita. Di situ timbul juga, wujudnya isu kepercayaan terhadap diri anak. Apabila dikongkong, seperti menekan kita dan apabila diberi kebebasan pastinya merosakkan mereka.
Zaman ini bukanlah zaman pendidikan sebagaimana ibubapa kita terdahulu. Terlalu jauh perbezaan yang kita boleh kaitkan terutama dalam soal teknologi, cara berfikir, cara bergaul dan sebagainya sehingga sekiranya ibubapanya tidak mengikuti peredaran masa maka tertinggallah mereka dalam kebingungan. Ini juga dapat menjawab kerelevenan pendidikan dengan menggunakan kaedah rotan dan sebagainya. Sabda nabi s.a.w dalam riwayat at-tirmizi, seseorang itu pada agama kawannya, maka lihatlah siapakah kawan-kawan mereka. Malah, nabi s.a.w juga bersabda yang bermaksud kawan yang baik itu seperti berkawan dengan penjual minyak wangi maka bau-bauan itu akan melekat pada bajumu, tetapi jika berkawan dengan tukang besi, awas kelak bajumu akan terbakar. Isu penting di sini ialah selain daripada mendidik anak-anak dengan pentarbiyyahan agama, ibubapa juga memainkan peranan penting dalam memantau dengan siapakah anak-anak kita berkawan. Kalau kita didik anak kita sedari kecil dengan  menjaga aurat tetapi apabila kita perhatikan kawan-kawannya dengan pakaian yang tidak menutup aurat tidaklah perlu kita merasa terkejut apabila kita terserempak dengan anak kita dalam halnya sebagaimana kawan-kawannya. Ini banyak berlaku kepada ibubapa yang terkejut melihat perwatakan anak-anak mereka di dalam medium sosial seperti facebook, bahkan kita juga telah menjadi kawan kepada anak kita di dalam laman sosial itu  tanpa kita sedari kesan negetif seperti anak akan hilang taku dan hormat kepada kedua ibubapanya. Kesimpulannya, anak kita perlu diterapkan dengan acuan aqidah Islam iaitu simpulan yang tidak akan terungkai semenjak ianya dilahirkan lagi.
5. Apakah bentuk bimbingan dakwah yang perlu ada kepada golongan ibu bagi pemupukan kesedaran dan kefahaman terhadap cabaran dakwah dalam konteks masa kini?
Bagi ibubapa yang memandang betapa seriusnya usaha mereka dalam mentarbiyyah anak-anak, terutama ibu yang diletakkan sebagai pendidik dalam keluarga, adalah wajar mereka membiasakan diri dengan sentiasa belajar. Sentiasa menambahkan maklumat dan bertukar-tukar pandangan dengan para alim ulama dan mereka yang berkemahiran. Jangan malu bertanya. Apalah salahnya jika ibubapa tadi menghadiri kursus-kursus keilmuan kemahiran keibubapaan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak bagi menajamkan kembali kemahiran mereka mendidik anak-anak generasi kini. Kita perlukan banyak maklumat yang boleh diguankan dalam mendidik anak-anak serta menjauhkan mereka daripada anasir yang buruk dan tidak sepatutnya. Adakah mahu kita tersedar selepas anak kita sendiri disahkan menagih dadah? Atau mengandungkan anak luar nikah? Atau ditangkap polis kerana melakukan jenayah? Ambillah peringatan ini sebelum ianya menjadi parah lagi berdarah. Peranan ibu bukan sekadar melahirkan malah mendidik dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan agar anak tadi menjadi sebutir mutiara di celahan deraian kaca.

Hari yang 'tidak cemerlang'

Bangsar, 9 Mei 2012 - alamak notis permohonan peguam kl belum siap, kerja pembetulan pliding belum siap, proposal tesis PhD pun belum siap, assignment Family Law pun belum siap, Ya Allah.. dah banyak benda nak buat bila sekali menyerang terduduk gak lah aku, dah semalam dimalukan oleh pensyarah kerana aku buat presentation silap, sorry, you are totally wrong! pergh.. masih terasa sehingga kini, hanya Allah yang tahu malunya aku di hadapan kawan-kawan yang lain, hari terlambat pula bangun sebab nak kena ke mahkamah Kuang, kuang..kuang..kuang.. What the ****! Aku pun bergegas ke ofis Bangsar untuk ambil fail sebelum ke Kuang, adduuuuuhhh.. tak berapa cemerlang lagi, boleh pula tertinggal kunci ofis kat rumah, maklumlah kunci rumah dah banyak sekarang ni, tu yang tertinggal pula dengan kunci rumah lama... di Mahkamah Jalan Duta pula boleh pula sistem down sehingga untuk buat pembayaran RM 54 pun kena tunggu hamppir 3 jam. huhuhu.. balik terus tidur dan layan lagu... layan lah ye, kesimpulannya, jatuh sekali, tanda beringat seumur hidup!

Ahad, 6 Mei 2012

transformasi diri dan keluarga

Bangi/ Kajang, 7Mei2012 - akhirnya secara rasmi aku berpindah ke rumah yang baharu seisi keluarga. Gambar-gambar pada blog sebelum ini adalah luarannya dan aku telah pindahkan barang-barang yang penting walaupun masih terdapat sedikit buku dan barang-barang yang lain di Nilai namun secara RASMI nya aku telah pun berpindah ke Sungai Ramal Dalam bertentangan dengan SMKA Maahad Hamidiah, Kajang. Kalau nak diikutkan adalah beberapa kali aku berpindah-randah dari kecil hingga kini bukan kerana kami hidup merempat, tetapi dapat merasai peningkatan kenikmatan yang Allah kurniakan, kami syukur dan ditambah. hijrah juga bagus untuk mencari dan berusaha memperolehi sesuatu yang lebih baik, tapi kalau sebulan sekali pindah tu macam lari dari hutang je tu.  seingat aku lah, semacam darjah 1 hingga 3 aku duduk di Kampong Bharu Kuala Lumpur jalan Hamzah, kemudian tinggal di rumah kuartes UKM di Tasik Titiwangsa dan baharulah berpindah ke Hulu Langat di Kampung Sungai Serai. Kemudian bersama ummi kami menetap di rumah fello Universiti Putra Malaysia sebelum berpindah ke Nilai Impian dan kini aku berada di Bangi/ Kajang dan hanya Allah yang Maha Mengetahui lembaran hidupku pada masa hadapan.

Perkara pertama dalam pemindahan di lokasi-lokasi yang aku nyatakan di atas ialah buku-buku rujukanku, walaupun aku tidaklah sealim mana, namun melihat koleksi kitab rujukan arab dan pelbagai bahasa menyebabkan aku tenang dan damai. Dalam buku itu ada panduan yang wajib diikuti oleh orang yang berakal jika mahukan ketenangan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Biar pun rumahku kecil tapi kami bahagia menghuninya bersama 3 ahli keluargaku setakat ini... hehehe.. oppss, jangan fikir lain, tiada maksud tersurat atau tersirat.
ruang meja makan yang menjadi tempatku bersatu dan bersebati dengan buku-buku bagi persediaan memperoleh PhD(doktor falsafah) doakan aku berjaya. Mudah dan senangkan perjalananku ke arah itu ya Allah...

Segala nikmat yang dikurniakan hanyalah sementara bagi meneruskan perjalanan di akhirat kelak.. Syurga dan redho Allah matlamat kami..