Bangsar, 26Julai2012 - Penat berpuasa? Jom baca artikel ni..
Soalan 1
BAGAIMANA dengan hadis
Rasulullah SAW yang bersabda, "Perjanjian antara kami dan mereka
(orang kafir) adalah mengenai solat. Barangsiapa meninggalkannya maka
dia telah kafir." (Hadis riwayat Ahmad, At Tirmidzi, An Nasa'i,
Ibnu Majah). Kemudian, mengambil kira berpuasa di bulan Ramadan ini,
apakah hukum seseorang yang meninggalkan solat dengan sengaja kerana
malas atau beralasan terlalu sibuk?
Isu orang yang berpuasa
tetapi tidak menunaikan solat telah banyak dibincangkan bahkan
menjadi konflik kepada masyarakat. Pada hakikatnya permasalahan ini
dibahagikan kepada masalah asas iaitu tidak menunaikan solat tetapi
berpuasa di bulan ramadhan. Bagi mereka yang mengingkari suruhan
solat dan menolak kewajipan solat dengan sengaja maka dihukumkan
sebagai murtad(terkeluar daripada agama Islam) oleh sepakat
(ijmak) ulama dan tidak sah puasanya, manakala bagi mereka yang tidak
menunaikan solat kerana malas atau sengaja tanpa keuzuran syarie
tetapi tidak menolak kewajipan solat maka sesetengah ulama
mengiktiraf keimanan dan keislamannya selama mana dia masih beriman
kepada Allah dan Rasul-Nya dan tidak mencela atau menafikan apa yang
dibawa oleh nabi SAW dan hanya dihukumkan sebagai fasiq.
Pendapat Syeikh Yusuf
al-Qaradhawi melalui kitabnya Fatawa Muasirah, “Orang
Islam dituntut melakukan semua ibadat iaitu mendirikan solat,
membayar zakat, dan berpuasa di bulan ramadhan dan menunaikan haji
jika berkemampuan. Sesiapa yang meninggalkan salah satu ibadat ini
tanpa keuzuran maka dia telah melampaui batas terhadap Allah”.
Namun demikian, janganlah
kita mengambil ringan isu ini dengan menganggap puasanya tetap
diterima walaupun tidak solat, kerana puasa itu mendidik kita agar
lebih bertaqwa sebagaimana dalil pensyariatan puasa di bulan ramadhan
dalam surah al-Baqarah ayat 183 dan 184. Bahkan puasa sebegini sah
jika memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan
perkara-perkara yang membatalkan puasa iaitu dimaksudkan sah ialah
dia tidak dituntut dalam fiqh untuk qadha (gantikan) puasa. Namun
persoalan yang harus ditanya oleh setiap mereka yang berpuasa tetapi
tidak menunaikan solat ialah adakah puasanya diterima oleh Allah
sedangkan terdapat hadith berkaitan dengan puasa yang diberi ingat
oleh nabi SAW kepada kita semua, ada yang puasa hanya mendapat lapar
dan dahaga sahaja. Sebagai contoh, orang yang berpuasa tetapi
memfitnah dan berkata bohong, sebagaimana sepotong hadith riwayat
Imam Bukhari dari Abu Hurairah, nabi SAW bersabda, “sesiapa yang
tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka
bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan
minumnya.”
Hanya dengan kerana
berakhlak mazmumah(buruk) telah menyebabkan puasanya ditolak
Allah apatah lagi solat fardhu yang dosanya berkali-kali ganda jika
ditinggalkan. Janganlah menang sorak kampung tergadai. Puasanya penuh
tetapi solatnya diketepikan.
Soalan 2
ADA umat Islam yang
silap kerana meletakkan keutamaan tidak pada tempat sepatutnya
seperti menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah di masjid
tetapi solat wajib lain tidak pula dilakukan secara berjemaah. Komen
ustaz.
Solat fardhu yang
ditunaikan secara berjemaah itu dihukumkan sebagai fardhu kifayah
oleh mazhab Syafie dan disokong oleh hadith Ibn Umar yang menyatakan
mereka yang menunaikan solat fardhu secara berjemaah adalah lebih
utama daripada solat bersendirian dengan 27 darjat bahkan ada hadith
yang menerangkan nabi SAW sanggup membakar rumah mereka yang tidak
mahu menunaikan solat secara berjemaah. Namun, alasan popular bagi
mereka yang tidak menunaikan solat fardhu secara berjemaah berbanding
menunaikan solat terawih secara berjemaah ialah disebabkan kekangan
masa dan faktor kerja seharian yang membataskannya. Alasan tetap
alasan kerana pepatah melayu ada menyebut hendak seribu daya tak
hendak seribu dalih. Jika dilihat dari sudut yang positif, dengan
menunaikan solat terawih secara berjemaah juga boleh mendidik kita
mengamalkan solat fardhu secara berjemaah. Lihat sahaja bila waktu
solat sunat terawih, berapa ramai jemaah-jemaah baharu yang ‘baru
nampak muka’ hadir ke masjid dan surau-surau bersama-sama
menghidupkan malam ramadhan dan ketika ini sewajarnya pihak
jawatankuasa perlu memikat mereka untuk terus menghidupkan solat
berjemaah ini pada tiap-tiap kali solat fardhu. Musuh-musuh Islam
cukup takut jika solat fardhu Subuh di masjid-masjid seperti solat
jumaat atau solat terawih. Isu mendahulukan solat sunat lebih utama
berbanding solat fardhu adalah faktor pentarbiayahan(pendidikan) yang
berterusan tanpa menuding jari menyalahkan sesiapa, tetapi mulakanlah
dari diri sendiri dan keluarga lebih-lebih lagi ketika musim didikan
jiwa semasa ramadhan yang mulia.
Soalan 3
ADA sebilangan umat
Islam yang faham berpuasa di bulan Ramadan itu hanya sebagai adat
saja bukannya ibadah wajib. Bagi mereka, jika tak puasa selama 30
hari maka tidak 'syoklah' apabila hendak beraya nanti jika ada hari
yang mereka 'tuang' puasa. Komen Ustaz.
Allah SWT telah berfirman
di dalam surah al-Baqarah ayat 183 dengan menyebutkan, “wahai
mereka yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana
diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu,
mudah-mudahan kamu bertaqwa.” Dari sini jelas, puasa adalah
ibadat yang juga dilakukan oleh umat terdahulu bahkan dalam bidang
perubatan juga mengakui puasa perlu dilakukan sebelum pembedahan atau
sebagainya. Bagaimana mengkoreksi diri dengan benar-benar beriltizam
puasa yang ditunaikan tidak menjadi adat semata-mata dan bukan hanya
dengan alasan tidak seronok beraya jika tidak puasa penuh adalah satu
soalan besar kepada kita. Dalil pensyariatan tadi menyebut, Allah
memanggil mereka yang beriman dengan diberikan tugasan istimewa
menunaikan perintah berpuasa. Bayangkan jika majikan kita memberikan
‘tugasan khas’ kepada kita kerana kelayakan dan kemampuan kita
melaksanakannya, tidakkah ianya menjadi kemegahan? Puasa hanya
diperintahkan kepada orang yang beriman dan kita yakin bahawa orang
tersebut adalah kita lantas menunaikan perintahNya dalam keadaan taat
dan sukacita, misalnya guru besar memanggil kesemua pengawas sekolah
daripada keseluruhan pelajar yang sedang berhimpun untuk tunggu
selepas perhimpunan, maknanya orang yang beriman itu adalah mereka
yang terpilih untuk menunaikan ibadah puasa dan sepatutnya perasaan
berbangga ketika menjalankan perintah Tuhan kerana dalam
banyak-banyak manusia hanya yang diiktiraf sebagai beriman sahaja
yang akan melaksanakannya. Melalui pencerahan minda sebegini sahaja,
ritual puasa yang dianggap adat menjelang ramadhan dapat ditukar
kepada ibadah dengan menghargai perintah yang telah diberikan dengan
menjalankannya sebaik mungkin kerana ganjaran seperti orang yang
berpuasa diberikan kemakbulan doa, nafasnya adalah ibadat dan pahala,
memperoleh kesihatan yang baik, amalan diganda-gandakan, diberikan 2
kegembiraan, malam al-qadr dan banyak lagi ganjaran terhebat
ditawarkan bagi mereka yang menunaikan ‘tugasan’ ini. Ketika ini,
perasaan ‘syok’ beraya tanpa ‘tuang’ puasa akan bertukar
kepada tangisan sedih di saat berpisah dengan ramadhan yang dicintai.
Soalan 4
'TREND' ibu bapa pada
masa kini sering menekankan kepada pendidikan dan latihan kepada anak
kecil mengenai puasa. Alhamdulillah ia satu perkembangan yang amat
baik. Contohnya, anak yang berumur lima tahun dikejut untuk bersahur
untuk berpuasa. Apabila mereka kata lapar hendak berbuka, kita pujuk
supaya mereka dapat bertahan. Malah menyediakan upah tertentu jika
mereka dapat berpuasa. Namun sepatutnya ia mesti diiringi dengan
solat sekali iaitu ingatkan anak untuk solat juga dengan mengatakan
puasa dan kena solat juga. Jika tidak, setiap tahun kita didik anak
untuk berpuasa tanpa menitikberatkan kewajipan bersolat yang perlu
dilaksanakan setiap hari lima kali sehari semalam. Ulasan dan komen
Ustaz
Dalam masyarakat yang
pelbagai ragam, adalah sesuatu yang tidak menghairankan jika
terdengar anak mengadu bahawa arwah ibu atau bapanya tidak pernah
berpuasa, sudah tua tetapi tidak puasa, cerita puasa tetapi tidak
solat juga adalah sebahagian daripada ‘cerita-cerita’ di musim
puasa. Berbalik kepada didikan dalam beragama itu sendiri iaitu
memahami agama. Pemahaman yang betul dan tepat akan membuahkan akhlak
yang terpuji dan hebat. Nabi SAW menyuruh kita mendidik anak-anak
mengenal agama dan bukan hanya fokus kepada perbuatan dalam agama
kerana kelakuan ritual menandakan kepatuhan kita kepada Allah. Didik
anak menahan lapar dahaga dalam berpuasa tanpa memahami tujuan
sebenar orang Islam perlu berpuasa. Ada benarnya bila ibubapa
menyatakan budak-budak tidak faham tujuan dan matlamat berpuasa atau
bersolat dan sebab itulah ibubapa hanya menyeragamkan mereka
melakukan ibadat tersebut semata-mata. Satu kisah tentang seorang
bapa yang telah bersara dan anaknya yang pulang dari sekolah agama.
Anak tersebut bertanyakan kepada bapanya yang sedang membaca surat
khabar di ruang tamu. “Ayah, tadi sekolah ustazah cakap malaikat
Jibril menyampaikan wahyu kepada nabi.” “Betul”, jawab bapa
tadi dengan yakin. Anak tadi bertanya lagi, “kalau begitu malaikat
jibril sedang buat apa sedangkan nabi SAW sudah wafat.” Maka ayah
tadi menjawab dengan keadaan ego walaupun di hatinya tidak tahu akan
jawapan soalan anaknya dan menjawab dengan selamba, “agaknya tengah
‘makan’ pencen macam ayah”. Senario ini jelas berlaku lahir
daripada kesan tidak memahami agama tetapi hanya agama itu dibaca,
dihafaz dan ‘dimuntahkan’ semula semasa peperiksaan. Mulakanlah
dimensi baharu dalam memberikan didikan agama kepada anak-anak dengan
memahamkan mereka lebih-lebih lagi dalam bulan ramadhan yang mulia
ini dengan memberitahu anak-anak matlamat, keperluan dan halatuju
dalam ibadah seperti puasa. Sekecil usia 3 tahun boleh memahami wang
ringgit berwarna hijau dan biru boleh membeli apa dan sebanyak mana,
apatah lagi dalam ibadat puasa dan solat yang janganlah dipisahkan.
Kalau ganjaran seperti wang ringgit bagi anak-anak yang puasa penuh
boleh kita tawarkan kenapa tidak tawarkan mereka juga dengan
janji-janji Allah dengan balasan yang baik. Seimbang dari sudut
galakan dunia dan ganjaran di akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan