Diamond Square Setapak, 19Dis2012 - Banyak kali aku terlepas masa untuk menulis catatan perjalanan hidup di blog, ironinya walaupun gambar-gambar yang aku masukkan dahulu sebelum isi kisahnya tetapi aku kenalpasti kemudahan otak ku mengingati ialah melalui visual atau lebih dikenali sebagai kategori manusia visualize. Maksudnya dengan gambar kita mudah ingat. Ingat ayat quran pun melalui muka surat dan kedudukan ayat pada halamannya dan bukan pada nombor ke berapa ayat tersebut.
Kisah kali ini bukanlah pasal gambar tetapi di kala ini aku rajin menonton rancangan kegemaranku iaitu History dan Discovery channel di astro. Bising dan gempar penduduk dunia bila mereka mempopularkan teori penduduk kaum Maya yang meramalkan 21 Disember 2012 adalah hari tamat bagi dunia. Ilustrasi dan animasi yang dipertontonkan di dalam rancangan mereka sungguh meyakinkan bahawa akan berlaku pada dunia pada hari tersebut apatah lagi ianya jatuh pada hari Jumaat, sebagaimana yang disebut oleh nabi SAW bahawa dunia akan beakhir pada hari Jumaat.
Pokokny, kiamat atau tidak nabi SAW juga telah memberikan petunjuk bahawa andai berlakunya kiamat pun pada saat itu terdapat biji benih di tangan maka tanamkanlah seperti biasa pada bumi. Hadith ini perbah dibincangkan bersama-sama seorang doktor arab ketika menuntut dahulu, dan tafsiran muhaddithin ialah kiamat itu adalah suatu kepastian dan kiamat tidak boleh menjadi hujah agar orang Islam bermalas dan hanya beribadat, gementar dan tidak berbuat apa-apa, memohon ampun semata-mata sehingga lupa tanggungjawab dan amanah yang sepatutnya, dan andai kata 21 Disember ini iala apocalypse(kiamat) sekalipun, adakah dengan hanya duduk beramal semata-mata di masjid akan menjadikan kita ahli syurga?
Iman, iman, iman kita semua... adakah kita beribadah kerana takut pada kiamat? atau kita beribadah hanya kerana Allah SWT. Aku? sangat takut tentang perkhabaran mati dan kiamat kerana itu pada fikrahku, mereka yang mempercayai tarikh sesuatu contohnya 21.12.12 atau bernikah pada 12.12.12 dengan alasan mudah ingat atau sebagainya adalah mereka yang mengundang khurafat dan syirik kepada Allah SWT. Nombor ada kuasa kah? Jauhkanlah...
Disember yang sibuk sememangnya, dan alhamdulillah aku tidak mahu hatiku terikut-ikut dengan agenda orang kafir maka aku perlu teruskan kehidupan ini dengan cara mengemis rahmat Allah SWT. Kenapa aku mengemis? kerana aku hambaNya yang hina, selalu alpa dan lalai, tersilap dan longlai dengan nafsu yang berhantu, Allahu akbar... maka aku bersungguh-sungguh memaksimakan kehidupan dan kudrat yang Allah berikan kepadaku. Dalam bidang guaman, aku bersedia untuk keluar dari ofis lama dan memulakan suatu langkah yang pertama, membuka firma guaman sendiri secara tertib. Inilah gambaran ofis yang bakal aku duduki bersama-sama dengan rakan-rakan Ya'qub, Ayub & Co di Setapak.
Bukan itu sahaja, program-program cuti sekolah yang syarikat aku anjurkan juga semakin di penghujungnya, bilamana segala puji ku panjatkan kepada Allah yang mengizinkan kesemuanya berlaku.
Banyak jatuh bangun yang telah dirasai dan kini aku bersedia untuk berlari. Moga segala usaha dan amalanku sepanjang kehidupan lalu adalah aset bagiku untuk ke syurga, anak-anak yang dididik itu adalah aset ku ke syurga, dan moga Allah SWT yang maha mendengar, menerima rayuan dari pengemis hina ini. Aku yakin 21.12.12 BUKAN hari kiamat, tetapi berwaspada seolah saat kiamat disebelahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan