Sungai Ramal, 7Disember2012 -
FOKUS
NAFKAH BUAT ISTERI
Soalan
1
PERKAHWINAN
mempunyai beberapa kewajiban bersama yang perlu ditanggung pasangan
suami isteri. Sebab itu, perhubungan antara suami isteri perlu dibina
atas landasan keadilan, tolak ansur dan saling menyayangi. Namun
suami berperanan paling utama dalam menyediakan nafkah buat seluruh
keluarganya. Dalam situasi isteri bekerja, berdasarkan hukum walaupun
isteri bekerja, suami tetap perlu beri nafkah kepada isteri. Namun
isteri yang bekerja perlu mendapat keizinan suami. Bagaimana jila
isteri redha, dengan rela tidak menuntut bahagian nafkah daripada
suaminya disebabkan dia sudah selesa dan cukup hasil pendapatannya
sendiri malah turut membantu suami dalam urusan perbelanjaan
keluarga?
Perlulah
difahami, nafkah menurut Islam dalam kitab Mughni Muhtaj mengikut
ulama Al-Syarbini ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada
mereka yang wajib atas seorang itu untuk membiyainya, iaitu membiayai
semua hajat dan keperluan termasuklah pelajaran, makanan, ibadat,
tempat tinggal dan sebagainya. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam
surah al-Talaq ayat 7 yang bermaksud: “Hendaklah
orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang
disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang
diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada
seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya”.
Sepakat
Jumhur ulama' menyatakan bahawa kewajipan mengeluarkan nafkah itu
atas tanggungjawab suami walaupun sekiranya isteri bekerja dan
mempunyai pendapatan sendiri dan menurut pandangan majoriti ulama
termasuklah mazhab Syafie, seorang isteri hanya terbatal menerima
nafkah sekiranya telah melakukan nusyuz terhadap suami menurut sisi
syarak ataupun isteri tadi bekerja tanpa keizinan si suami.
Permasalahannya ialah, bolehkah isteri rela tidak menuntut bahagian
nafkah daripada suaminya malah membantu perbelanjaan keluarga.
Tindakan murni seorang isteri sebegini adalah sangat dipuji dalam
Islam kerana sanggup berkorban mengenepikan kepentingan diri untuk
suami dan keluarga tercinta. Namun begitu, tindakan terpuji ini akan
mendidik para suami melepaskan tanggungjawabnya dan menyerahkan isu
nafkah kepada pihak isteri semata-mata. Ini sebenarnya mencorakkan
keluarga tadi ke arah porak peranda di masa hadapan. Nafkah yang
wajib dikeluarkan dan perlu difahami ialah berdasarkan keperluan dan
kemampuan. Sekiranya perkara asas dalam nafkah seperti menyediakan
makanan termasuklah membeli barang dapur pun si suami tidak mampu
menyediakannya, maka wajar diselidiki apakah status perkahwinannya
kerana si suami tadi seorang yang belum mampu untuk berkahwin.
Sepatutnya begini, si suami tidak boleh langsung tidak menyediakan
nafkah, kerana nafkah itu luas konsepnya termasuklah menyediakan
rumah kediaman, pelajaran anak-anak, selain daripada makanan, pakaian
dan juga kos perubatan dan lain-lain berdasarkan mampu dan perlu,
lantas jika terdapat kekurangan kemampuan suami tadi dalam
menyediakan perbelanjaan keluarga barulah dibantu oleh si isteri.
Soalan
2
YANG
banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah ketidakpuasan
segelintir isteri yang mempertikaikan sikap suami mengabaikan
tanggungjawab mereka sebagai 'bread winner'. Barangkali pihak suami
berdepan dengan masalah kewangan meruncing sehingga menyebabkan
mereka tidak mampu menyara kehidupan seorang diri. Ada juga yang
berhadapan dengan masalah ketidakadilan suami yang memilih untuk
berpoligami tetapi melupakan tanggungjawab memberi nafkah kepada
isteri pertama dan anak-anaknya. Lebih teruk, ada suami yang tidak
bekerja atau pendapatannya lebih rendah daripada isteri yang hampir
keseluruhan perbelanjaan keluarga ditanggung isteri. Pandangan Ustaz
mengenai perkembangan tidak sihat itu dan jalan keluar untuk terus
mengekalkan kerukunan rumah tangga terutamanya dalam pengurusan
kewangan.
Kaedah
fiqh ada menyatakan setiap perkara berdasarkan niatnya. Ini adalah
mekanisme yang dipakai di dalam mahkamah bagi melihat sesuatu
tindakan suami atau isteri adalah bergantung pada niat mereka. Isteri
membantu suami dalam menyediakan nafkah adalah tanda isteri sayang
dan sanggup berkorban demi keluarga tetapi jika suami mengambil
kesempatan dengan cuai dan culas dalam pemberian nafkah walaupun
seorang yang berkemampuan menunjukkan si suami tadi ada 'agenda' lain
termasuklah berpoligami tanpa kebenaran di luar mahkamah.
Perkembangan yang tidak sihat ini sebenarnya menafikan kuasa mahkamah
dalam menilai kondisi seseorang suami untuk berpoligami samada 'mampu
dan perlu' untuk berkahwin lain atau hanya 'mampu atau perlu'
sahjaja. Firman Allah SWT di dalam surah al-Talaq ayat 6 yang
bermaksud, “Tempatkanlah
mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut
kemampuanmu, dan janganlah kamu menyusahkan mereka, dan menyempitkan
hati mereka”. Dalil
tersebut menyatakan bahawa kewajipan si suami mengeluarkan nafkah
mengikut kemampuan dan bukannya mengikut sukatan si suami, kerana itu
istilah 'bread winner' diberikan kepada suami yang hanya mengikis
duit isteri dan ini adalah bertentangan dari hukum syarak kerana
melanggar fitrah menyediakan nafkah. Malah sabda nabi SAW, 'tidak
akan masuk syurga (para suami) yang dayus' termasuklah mereka yang
menyedut kesusahan isteri untuk kepentingan sendir ibarat 'parasit'.
Inilah yang ditekankan oleh para cendikiawan dan juga di pihak
kerajaan tentang perlunya ilmu berumahtangga yang disuntik dalam
modul pra-perkahwinan walaupun di tahap yang minima
sekurang-kurangnya bakal-bakal isteri sedar bahawa pemberian nafkah
adalah tanggungjawab mutlak suami dan janganlah alpa kerana dikaburi
dengan cinta buta.
Kes-kes
di mahkamah syariah kebanyakan berkisar kepada isu nafkah yang
menjadi tunggak dalam perancangan kewangan sesebuah keluarga kerana
kebanyakkan pasangan tidak memikirkannya dari awal kerana menganggap,
kesucian cinta mereka berdua lebih utama daripada makan, kerana ulat
dalam batu pun boleh hidup. Pemikiran ini perlu dihapuskan kerana
kita ini manusia dan bukannya ulat, sebab itu manusia dijadikan Allah
SWT sebagai khalifah di muka bumi yang dipertanggungjawabkan dengan
pelbagai amanah. Secara tidak langsungnya, corak perkahwinan hari ini
adalah menjurus ke arah perkahwinan misyar, bila mana si suami dengan
pendapatannya mengeluarkan belanja untuk perkara-perkara tertentu
malah isteri juga mengeluarkan belanja hasil wang kerjanya untuk
membayar perkara-perkara tertentu. Perancangan kewangan yang saling
bantu-membantu ini adalah dipuji oleh syara' tetapi akan menjadi
negatif bilamana ada sikap kemanusiaan seperti mengambil kesempatan
atas pertolongan isteri dengan berkahwin lain contohnya dan
menyebabkan isteri akan mengungkit semua pemberiannya kepada suami
dan keluarga. Jika dinilai secara harmoni, indahnya perkahwinan
orang-orang tua dahulu bilamana suami akan bekerja dan isteri adalah
suri rumah sepenuh masa, sebenarnya kedua-dua mereka bekerja
memastikan kerukunan berumah tangga.
Soalan
3
SEORANG
isteri berhak mendapat nafkah sewajarnya daripada suaminya seperti
mana yang ditetapkan syariah mengikut kemampuan suami. Dalam bentuk
bagaimana kemampuan suami itu diertikan? Adakah perlu adanya 'amount'
tetap untuk diberikan setiap bulan?
Firman
Alah SWT di dalam surah al-Baqaroh ayat 223 yang bermaksud, “..dan
kewajipan ayah(suami) memberi makan dan pakaian kepada para
ibu(isteri) dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani
melainkan menurut kadar kesanggupannya”. Dalil
ini jelas menunjukkan Islam hanya meletakkan syarat nilaian dalam
mengeluarkan nafkah kepada isteri ialah dengan cara yang makruf dan
mampu. Iaitu jumlah nafkah tersebut adalah munasabah dan tidak
menyeksa para suami dalam menyediakannya kerana Imam Nawawi
menggariskan penyediaan nafkah kepada 7 perkara asas seperti makanan,
bahan-bahan memasak seperti minyak masak, garam, gula dan lain-lain,
pembantu bagi isteri yang kebiasaanya mempunyai pembantu, pakaian,
alalt-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya,
serta perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, tidur dan
sebagainya dan yang terakhir ialah tempat tinggal. Maka jelas di
sini, bukanlah 'amount' tertentu dan khusus pada setiap bulan kerana
ianya berbeza bagi setiap orang tetapi hendaklah secara makruf dan
jujur kerana adalah tidak masuk akal jika suaminya gaji puluhan ribu
tetapi pakaian isterinya lusuh dan tidak ditukar, kerana ini
menunjukkan sifat sebenar si suami tadi.
Soalan
4
SETUJUKAH
ustaz nafkah itu sebenarnya tidak bersifat mutlak kerana setiap suami
tidak sama kemampuannya. Ada yang lebih berkemampuan menyediakan
kesemua keperluan dan ada pula sebaliknya. Namun yang penting suami
memberikan sepenuh tanggungjawab serta komitmen sebaik mungkin dengan
kadar yang mampu memberi keselesaan buat isteri bukannya kemewahan
atau pembaziran melampau.
Sabda
nabi SAW yang ertinya: dari Muawiyah al-Qusyairi, berkata: “saya
datang kepada Rasulullah s.a.w lalu saya bertanya, bagaimana
pandanganmu Ya Rasulullah tentang isteri-isteri kami? Sabdanya:
“berilah mereka makan dari makanan yang kamu makan, berilah mereka
pakaian dari pakaian yang kamu pakai, janganlah kamu pukul mereka dan
jangan pula kamu buruk-burukkan mereka”. (H.R Abu Dawud)
Jika
sesuatu nafkah itu diterjemahkan dalam bentuk kewangan, tidak cukup
pemberian nafkah dianggap kedekut walaupun mampu, namun bila terlebih
dalam pemberian nafkah dianggap mewah dan ke arah pembaziran. Malah
sabda nabi SAW, sebaik-baik perkara ialah sederhana. Memang benar
nafkah tidak bersifat mutlak dan mengikat suami atas satu jumlah
tertentu yang wajib dikeluarkan setiap bulan, kerana nafkah atas
kemampuan dan keperluan. Sewajarnya pasangan menyenaraikan
perkara-perkara yang perlu dan mampu untuk didahulukan terlebih
dahulu. Ambil contoh pasangan yang sederhana yang baharu mendirikan
rumahtangga, dengan wang yang limit dan baharu pula bekerja, adalah
lebih terpuji bagi mereka membeli perkakas-perkakas rumah yang
mengikut kemampuan berbanding sanggup berhutang demi kelihatan elegan
dan terkini, almari kain yang dibeli akan dikenang sebelum
menggunakan almari yang lebih bagus. Inilah kenangan manis
berumahtangga kerana sanggup bermula dari bawah dan susah daripada
bersenang dahulu tetapi kesenangan tadi hanya sementara dan
memeritkan di kemudian hari.
Soalan
5
Dalam
sebuah hadis yang maksudnya: “Rasulullah SAW bersabda seorang
lelaki adalah pemimpin atas keluarganya. Dia akan ditanya tentang
kepimpinannya” (Riwayat Muslim). Sebagai ketua keluarga sebagai
suami sama ada isteri meminta atau tidak, mereka perlu memberi nafkah
kepada isterinya. Rasulullah tidak mahu umatnya bersifat bakhil
terutama kepada pasangan yang melahirkan zuriatnya. Komen ustaz.
Suami
tidak boleh memberi makanan dan pakaian kepada isterinya lebih buruk
daripada apa yang dimakan dan dipakai suaminya. Begitu juga kadar
makan dan pakai yang menjadi hak isteri diberikan mengikut kadar yang
mampu diberikan oleh suaminya. Di dalam hal ini isteri tidak boleh
meminta sesuatu yang diluar kemampuan suaminya. Akan tetapi sekiranya
suami mampu memberikannya lebih tetapi tidak diberikan maka dalam
situasi ini isteri dibenarkan mengambil harta suaminya seperti sabda
Rasulullah SAW:
Ertinya:
“dari aisyah r.a berkata: sesungguhnya Hindun datang kepada
rasulullah lalu berkata: “wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah orang
yang kikir dan tidak mahu memberikan kepadaku belanja yang cukup
untukku dan anakku, sehingga terpaksa aku ambil dari hartanya tanpa
pengetahuannya”. Lalu Baginda bersabda: “ambillah sekadar cukup
untuk dirimu dan anakmu dengan wajar”. (H.R Bukhary dan Muslim)
Hadith
ini menegaskan bahawa islam membenarkan bagi isteri mengambil harta
suaminya sekadar untuk keperluan dirinya dan anak-anak, jika suaminya
mempunyai harta yang cukup tetapi tidak memberikan haknya mengikut
kemampuannya. Jika suami yang bakhil dicela oleh agama dan dibenarkan
bagi isterinya mengambil tambahan dari harta suaminya tanpa
pengetahuannya, maka lebih berdosalah lagi suami yang tidak memberi
nafkah isterinya. Sudah tentu perbuatan itu telah melanggari hak
isteri yang telah ditetapkan oleh syariat islam. Bahkan Isteri juga
boleh memberi peringatan terhadap suami yang mengabaikan
tanggungjawab memberi nafkah samada mahu memberi belanja atau
menceraikannya. Menurut Imam Syafie dalam kitab karangan Dr. Wahbah
Zuhaily menyatakan, kadar nafkah makanan yang wajib itu adalah
mengikut keadaan suami. Maka jika suami itu orang kaya, nafkah isteri
yang diwajibkan ialah dua cupak makanan setiap hari, suami yang
miskin satu cupak dan suami yang sederhana satu cupak setengah.
Kesimpulannya,
hakikat perkahwinan adalah amanah yang dipertanggungjawabkan dan
bukanlah keseronokan semata-mata, namun kesusahan dan kepahitan
melaksanakan kesemua amanah tersebut adalah kemanisan dan keseronokan
berumahtangga termasuklah dalam menyediakan nafkah dan disebut
sebagai syahid dunia menurut ulama jika seorang itu keluar dari rumah
mencari nafkah dan mati dalam perjalanannya. Pepatah melayu, berat
sama dipukul dan ringan sama dijinjing adalah terpakai dalam
penyediaan nafkah apatah lagi syarak meletakkan keutamaan kepada
orang yang paling hampir dengan kita iaitu ahli keluarga kita
sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan