Hidup banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Hidup  banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Jumaat, 23 Mac 2012

Komen ucapan Dato

UKM, 24Mac2012 - tertarik dengan ucapan Dato Zainurrijal dan pengalaman sendiri aku yang suka aku kongsikan kepada mereka yang tahu dan mahu. 23Mac 2012 semalam, aku menghadiri Konvensyen Yayasan Biro Bantuan Guaman (YBK) sehari suntuk di Mahkamah Wilayah Persekutuan Jalan Duta, dan pengalaman yang tidak menarik solat Jumaat di Masjid Wilayah yang akan aku kongsikan pada masa hadapan.

PROFESYEN GUAMAN SYARIE DI MALAYSIA: Cabaran & Prospek Generasi Baru. Oleh: Dato’ Haji Zainul Rijal Bin Abu Bakar ----Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)---(Adjunct Professor of Law, MMU)---Program: Ceramah Kerjaya Tamhidi Syariah dan Undang-Undang

1.0 MUKADDIMAH

Ketika menonton di kaca televisyen, seringkali kerjaya sebagai peguam (baik sivil mahupun syariah) digambarkan sebagai suatu bidang yang penuh dengan glamor dan mengujakan. Kebanyakan daripada kita apabila menonton televisyen sering disajikan dengan suasana perbicaraan mahkamah di mana para peguam mengemukakan hujah-hujah bernas yang mengejutkan hakim dan juga pihak lawan, dan akhirnya memenangi kes tersebut. Ada juga segelintir masyarakat yang mengatakan bahawa seorang peguam sudah pasti kaya dek kerana yuran khidmat guaman yang mahal dikenakan kepada anakguam mereka. Tetapi, adakah ini sebenarnya terjadi pada kehidupan harian seorang peguam?

Sebenarnya tidak, selain daripada imej mereka yang dipaparkan melalui drama televisyen, realitinya para peguam hanya menghabiskan sedikit masa berhujah di hadapan hakim (walaupun mereka mungkin menghabiskan banyak masa mereka menunggu di dalam dewan perbicaraan mahkamah sementara menanti hakim masuk ke dalam dewam untuk memulakan sidang kes atau menunggu giliran kes dipanggil). Bagi setiap jam yang dihabiskan di dalam dewan bicara mahkamah, para peguam sebenarnya menghabiskan lebih banyak masa mereka melakukan penyelidikan, menemubual anakguam dan juga menyiapkan dokumen-dokumen kes. Bahkan ramai di kalangan peguam langsung tidak pernah menjejakkan kaki ke mahkamah.

Peranan sebenar peguam adalah sangat penting tetapi sering dilihat sebagai hanya melibatkan urusan duniawi sahaja. Para peguam berperanan dalam menasihati anakguam mereka dalam pelbagai urusan perundangan termasuklah prosiding penceraian, jual beli hartanah, pengambilan anak angkat, kontrak, isu-isu cap dagang, prosiding jenayah dan juga prosiding sivil. Mereka adalah orang yang berperanan dalam menderaf dokumen-dokumen undang-undang, perunding kepada kontrak bagi pihak anakguam dan juga mewakili anakguan untuk menghadiri prosiding mahkamah. Tugasan-tugasan tersebut adalah merupakan peranan sebenar para peguam baik peguam sivil mahupun peguam syarie.

Pada kesempatan yang diberikan kepada saya ini, saya lebih cenderung untuk tidak menyenaraikan setiap cabaran yang dihadapi oleh para peguam seperti cabaran menghadapi era globalisasi, teknologi maklumat dan sebagainya. Saya sesungguhya percaya setiap orang yang berada di dalam dewan ini sedar akan cabaran sebenar yang dihadapi oleh para peguam dan tidak perlulah untuk saya perincikan satu persatu di sini. Sebaliknya saya akan lebih berkongsi mengenai cabaran dalam diri peguam sendiri. Saya amat yakin sekiranya anda dapat mengatasi setiap cabaran dan halangan tersebut, maka sudah tentu anda semua mampu untuk mengharungi segala rintangan tersebut.

Di dalam ucapan saya ini juga, saya tidak merancang untuk menyenaraikan bidang-bidang yang boleh diceburi oleh graduan undang-undang secara satu persatu. Sekiranya saya berbuat demikian, sudah tentu seperti saya memberi tunjuk ajar secara langsung kepada anda semua (spoon feeding) dan ia jelas bercanggah dengan semangat dan hasrat pengisian ucapan saya pada hari ini. Justeru, saya berharap di kesempatan yang ada ini, saya mampu untuk membuka perspektif dan paradigma anda untuk lebih kreatif dan berusaha keras di dalam mendepani bidang perundangan ini serta tidak merasa berada di dalam zon selesa.

Apa yang lebih penting, kita semua perlu yakin bahawa segala percaturan hidup kita sudah diatur rapi oleh Allah SWT. Namun, dalam masa yang sama kita tidak boleh menyerahkan hidup kita pada takdir semata-mata, seperti yang disebut di dalam kitab suci Al-Quran, tidak ada sesiapa yang boleh merubah diri masing-masing melainkan kita sendiri yang mengubahnya.

2.0 CABARAN YANG DIHADAPI OLEH PARA PEGUAM

Kehidupan seorang peguam di dalam bidang perundangan penuh dengan mehnah dan tribulasi; baik dari sudut cabaran mengejar tarikh akhir tugasan (deadlines), timbunan kes-kes yang bermasalah, pengendalian urusan firma dan pengendalian kerenah anakguam serta bebanan penyelidikan kes-kes – situasi-situasi tersebut adalah satu bebanan yang sangat berat untuk dipikul bagi sebilangan orang.

Selain daripada itu, profesyen perundangan kerap berhadapan dengan serangan dari pelbagai pihak termasuklah daripada saudara kita sendiri yang turut berada di dalam bidang ini. Saya juga ingin nyatakan di sini bahawa terdapat juga di kalangan peguam bermasalah dari sudut menjaga dan mengendalikan etika profesional.

Bagi diri saya sendiri sejak beramal 19 tahun lepas, kepuasan dan minat yang mendalam terhadap bidang perundangan ini tidak lagi seperti apa yang saya rasa dan alami sebelum ini. Kini, undang-undang lebih banyak diterjemah sebagai satu peluang perniagaan dan komersil, atau hanya sebagai satu kerjaya, dan ia bukan lagi dianggap sebagai satu profesyen yang mulia dan harus dimartabatkan.

Peguam yang ideal seharusnya mereka yang benar-benar cintakan undang-undang, sentiasa meletakkan kepentingan anakguam di dalam hati, peka dan cakna akan kepentingan serta perkembangan undang-undang. Apabila peguam mula memikirkan tentang soal wang dan keuntungan semata-mata, seperti berapa banyak caj yang akan dikenakan kepada anakguam, sekiranya kes ditangguhnya beberapa kali maka sudah tentu bayaran lebih akan dicajkan kepada anakguam hingga membolehkan mereka membeli kereta mewah dan bukannya kereta nasional, maka pada ketika itu pelbagai masalah akan mula timbul. Mutakhir ini, kecenderungan pada nilai wang seolah-olah telah mengatasi nilai-nilai etika dan moral yang telah biasa dipraktikkan sebelum ini. Pada pengamatan saya, mungkin terdapat keperluan untuk mengubah sistem pendidikan kita bagi meningkatkan piawaian ini.

Sidang hadirin sekalian,

Seorang peguam mestilah memahami sistem perundangan masa kini dengan menelusuri sejarah negara. Ini adalah disebabkan undang-undang itu sendiri bukan secara tiba-tiba muncul dari dalam lompang atau vakum tetapi mempunyai sebabnya yang tersendiri kenapa ianya digubal. Umpamanya, Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara yang mendasari setiap tindakan di dalam negara juga mempunyai sejarahnya tersendiri. Perlembagaan Persekutuan bukan tiba-tiba muncul pada saat negara mencapai kemerdekaan dahulu.

Perlembagaan Persekutuan hanya meneruskan kemahuan anak watan dan merupakan kesinambungan susunatur mesyarakat telah berlaku sebelum Perlembagaan tersebut digubal. Bukanlah sifat Perlembagaan itu mengenepikan apa yang telah diaturkan dan membuat aturan yang baru selepas kemerdekaan negara.

Hadirin hadirat yang saya hormati sekalian,

Seorang peguam yang berwibawa harus memiliki sifat ingin tahu kerana sifat ingin tahu tersebut akan membawa mereka pergi lebih jauh di dalam bidang yang mereka ceburi. Belajarlah tentang diri anda, kenali diri sendiri dan jangan hanya terlalu mengharapkan orang lain untuk membantu anda.

Peguam yang terkemuka bukanlah mereka yang tahu keseluruhan undang-undang yang ada namun adalah mereka yang tahu di mana untuk menggunapakai undang-undang yang relevan apabila berhadapan dengan sesuatu isu. Jangan salah anggap, sudah tentu apabila anda mengetahui undang-undang ia sangat membantu dalam menyelesaikan masalah anda, tapi perlu diketahui bahawa undang-undang sentiasa berkembang dan berubah dengan cepat, jadi anda semua harus mempunyai minat yang mendalam dalam mengkaji perubahan yang berlaku tersebut.

Sekiranya anda berhadapan dengan satu-satu isu untuk dikaji dan diteliti, anda perlu melihat ia secara lebih luas dari ruang lingkup isu tersebut. Jangan hanya fokuskan diri anda pada isu-isu perundangan yang mikro tapi anda harus memikirkan isu-isu tersebut secara makro hingga membolehkan anda bertindak luar daripada kotak kebiasaan. Ini semua adalah penting untuk diberi perhatian oleh anda semua sekiranya anda ingin maju dan berjaya.

Apabila anda menjadi graduan undang-undang kelak, setiap daripada anda sudah dipersiapkan dengan asas-asas kepeguaman, namun pembelajaran praktikal sebenar hanya akan anda tempuhi apabila anda mula memasuki bidang amalan kelak. Semua itu akan diperolehi daripada pemantauan, perbincangan dan perkongsian pengalaman dengan mereka yang sudah lama beramal di bidang perundangan ini. Justeru cabaran sebenar di dalam profesyen perundangan adalah benar-benar mencintai bidang undang-undang ini. Anda juga perlu kreatif jika mahu mencapai keadilan yang dikehendaki.

Sebagai seorang peguam Muslim, cabaran seterusnya yang harus dipikul oleh kita semua adalah untuk memartabatkan undang-undang Syariah dan meletakkan ia pada tempat yang sepatutnya. Dalam ertikata lain ialah mengarusperdanakan Syariah. Sebagai seorang mahasiswa yang dilatih dan ditarbiah dalam kedua-dua bidang baik sivil mahupun Syariah, anda punya kelebihan yang mana mahsiswa lain tidak memilikinya. Mahasiswa USIM berada pada posisi yang lebih baik apabila anda mengetahui dan menguasai kedua-dua bidang tersebut. Menjadi baik sahaja tidak lagi cukup sebagai tanda aras mahasiswa Islam, anda semua perlu menjadi cemerlang di dalam kedua-dua bidang tersebut.

Pada segelintir orang, menguasai undang-undang sivil dan syariah mungkin suatu keistimewaan di mana banyak di kalangan peguam di luar sana tidak memilikinya. Saya secara peribadi melihat ianya sebagai satu cabaran tambahan kepada mahasiswa mahasiswi USIM untuk membukikan kepada masyarakat di luar sana bahawa anda adalah bakal-bakal peguam yang terbaik bagi mewarnai bidang perundangan kelak. Memandangkan undang-undang Syariah dewasa ini menjadi semakin popular dan perhatian di kalangan rakyat Malaysia, baik Muslim atau bukan Muslim, penguasaan yang jitu di dalam undang-undang Syariah adalah sangat penting serta pemakaian prinsip-prinsip Syariah di dalan situasi moden kini adalah sangat-sangat menjadi keutamaan.

Mahasiswa mahasiswi sekalian,

Selain itu, seorang peguam Muslim haruslah menguasai kitab-kitab thurath. Bukan sahaja kitab-kitab thurath, tetapi juga kitab-kitab muasarah yang berfungsi mentafsirkan kitab thurath. Kitab thurath dan muasarah ini saling lengkap melengkapi dan mestilah dikuasai oleh seorang peguam khususnya Peguam Syarie. Di dalam konteks Malaysia pula, oleh kerana undang-undang Malaysia telah dikodifikasi, seorang peguam Syarie tidak boleh lari daripada memahami undang-undang bertulis Malaysia samaada undang-undang substantif ataupun prosedur.

Kaedah penafsiran undang-undang yang selaras dengan Hukum Syarak juga perlu dikuasai sepenuhnya bagi menjadi seorang peguam yang cemerlang.

Seharusnya seorang peguam yang baik tidak hanya berfungsi di dalam mahkamah sahaja tetapi juga di luar mahkamah. Peguam adalah suatu profesyen yang dihormati dan disanjungi, pandangan peguam seringkali menjadi rujukan dan ikutan. Dalam hal yang demikian sekiranya seorang peguam hanya memikirkan untuk memenuhkan kantung mereka sahaja maka amat malanglah masyarakat kita yang mendambakan peguam bagi menegakkan hak-hak mereka.

Peguam Muslim seharusnya mempunyai 10 ciri Muslim yang cemerlang seperti yang digariskan oleh Imam Hassan Al Banna iaitu:

1) Aqidah yang bersih (aqidah al salimah)

2) Ibadah yang sahih (sohih al ibadah)

3) Akhlaq yang kukuh (matin al hulqi)

4) Jasmani yang kuat (qowiy al jismi)

5) Berfikir secara intelektual (muthaqafu al fikri)

6) Berjuang melawan hawa nafsu (mujahadatun linafsihi)

7) Menjaga waktu (haarisun ala waqtihi)

8) Bersistem dalam urusan (munazzomun fi syu’unihi)

9) Memiliki kemmpuan usaha sendiri (qodirun ala kasbihi)

10) Memberi manfaat kepada orang lain (naafiun lighairihi)

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, ada di kalangan peguam yang hanyut dibuai arus kemewahan sehingga meminggirkan keadilan. Peguam sebegini tidak melihat keadilan sebagai matlamat tetapi kemenangan setiap kes menjadi ukuran kejayaan mereka. Seorang peguam Muslim yang baik hendaklah mempunyai cinta yang mendalam terhadap undang-undang Syariah dan cuba sedaya upaya memajukan undang-undang tersebut dengan interpretasi yang tepat dan sesuai. Dengan cara ini bukan sahaja undang-undang itu dapat ditegakkan seadilnya tetapi juga ia akan menjadi ikutan pada masa hadapan.

Cabaran kepada para peguam khususnya peguam Muslim kini sebenarnya bukan sahaja di dalam memahami Hukum Syarak tetapi juga menangani dengan penuh hikmah orang yang menentang perundangan Syariah sama ada di kalangan umat Islam atau mereka yang bukan Islam. Isu-isu pluralism agama, sekularisme, hak asasi manusia dan campurtangan asing bukanlah isu yang boleh dikesampingkan oleh peguam Muslim. Peguam Muslim perlu bangkit bersama-sama untuk menjelaskan dari sudut perspektif Islam apakah hakikat yang sebenarnya.

Seterusnya, pada ketika ini adalah amat tidak mencukupi bagi seorang peguam hanya menguasai hukum hakam agama sahaja. Peguam yang baik harus juga memahami dan menguasai bidang prosedur mahkamah, perbankan Islam dan konvensional, perubatan Islam, dakwah, perbandingan agama dan banyak lagi. Ini adalah disebabkan tuntutan dan penghormatan terhadap peguam Muslim di Malaysia semakin hari semakin besar dan anda selaku bakal-bakal peguam perlu bersedia ke arah itu.

Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab para peguam Muslim untuk memperkenalkan serta mempromosikan undang-undang syariah sebagai undang-undang yang lebih adil dan lebih baik daripada undang-undang sivil. Kaedah-kaedah tafsiran ilmu syariah dan juga falsafah Syariah perlu dikaji agar sesuai dengan kehendak zaman sekarang.

Sehubungan itu anda semua haruslah mempersiapkan diri anda untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut, dan tidak ada cara lain untuk menghadapinya melainkan perlunya untuk berusaha dengan lebih cekal dan gigih lagi.

3.0 PROSPEK DI DALAM PROFESYEN UNDANG-UNDANG

Sesungguhnya kerjaya sebagai peguam adalah satu profesyen yang sukar dan mencabar, namun perlu dijelaskan di sini bahawa prospek kerjaya di dalam bidang ini masih cerah dan relevan untuk diceburi. Untuk menjadi seorang peguam yang bagus, anda mestilah mempunyai minat yang mendalam serta mampu bertutur dan berhujah dengan baik. Apabila anda membaca sesuatu isu, atau menerima sesuatu kes, anda haruslah mempunyai sifat ingin tahu yang mendalam serta bersemangat untuk mendapatkan jawapan pada setiap isu yang timbul. Bukan hanya seperti segelintir peguam lain, mereka hanya sekadar mensasarkan target perniagaan mereka sahaja. Anda seharusnya meletakkan tugas peguam ini sebagai satu profesyen dan bukan hanya demi kepentingan perniagaan semata-mata. Mungkin agak keterlaluan jika saya katakan bahawa anda seharusnya meletakkan imbuhan kewangan sebagai sesuatu sampingan namun pada saya, itu adalah sesuatu yang perlu jika anda benar-benar ikhlas untuk menjadikan bidang guaman ini sebagai satu profesyen. Apa yang lebih utama perlu ada pada diri seorang peguam adalah berusaha untuk memartabatkan undang-undang dan bukanlah mengejar keuntungan semata-mata. Inshaallah dunia akan mengejar anda sekiranya anda benar benar ikhlas dalam membantu agama Allah.

Apabila saya mula-mula menjadi pelatih dalam kamar (chambering) pada 19 tahun lepas, tidak pernah terlintas dalam diri saya bahawa saya mampu bertahan memandangkan hanya saya saja seorang Melayu Muslim di firma berkenaan. Namun atas galakan ibu bapa dan keluarga akhirnya saya mampu membuktikan bahawa saya adalah setara bahkan lebih jika dibandingkan dengan peguam-peguam lain di dalam firma tersebut tanpa berkompromi terhadap latar belakang agama saya. Bagi saya, apabila anda mampu untuk menunjukkan bahawa anda sebenarnya berbeza daripada peguam yang lain, anda seharusnya tidak perlu gusar akan kedudukan anda. Dengan izin Allah, anda pasti mampu untuk terus bertahan dan diberi ganjaran sewajarnya daripada Allah SWT.

Sidang hadirin yang saya hormati,

Ramai di kalangan graduan undang-undang apabila tamat belajar tidak langsung beramal di bidang perundangan. Kemahiran-kemahiran yang dilatih ketika menjadi mahasiswa undang-undang banyak membantu anda untuk menceburi bidang lain ketika berada di alam pekerjaan. Selain memiliki bakat di dalam menulis, perbincangan kaunseling dan kemahiran menyelidik, graduan undang-undang mempunyai keupayaan untuk menganalisa sesuatu fakta dan kemahiran menyelesaikan masalah. Graduan undang-undang juga mempunyai kemahiran dalam mengenalpasti isu dan risiko undang-undang.

Menjadikan profesyen perundangan sebagai kerjaya memberi ruang yang luas kepada para peguam untuk fokus pada bidang yang mereka minati serta seterusnya menjadi pakar dalam bidang-bidang tersebut. Sebagai seorang bakal mahasiswa undang-undang, fokus anda haruslah tertumpu pada membuat keputusan adakah jurusan undang-undang benar-benar sesuai untuk anda dan seterusnya mempersiapkan diri masing-masing agar kelak diterima sebagai pelatih dalam kamar di dalam jurusan undang-undang.

Dalam masa yang sama, jangan abaikan aktiviti luar kuliah yang boleh membantu untuk memperkemaskan kemahiran insaniah anda. Sertailah aktiviti ko-kurikulum, persatuan mahsiswa undang-undang, aktiviti keagamaan, seni pertahankan diri serta lain-lain aktiviti lagi demi mengasah bakat anda menjadi mahasiswa undang-undang yang cemerlang tanpa mengabaikan tanggungjawab selaku khalifah di muka bumi Allah ini.

Sebagai seorang peguam, anda tidak perlu terlalu risau akan prospek kerjaya di dalam profesyen perundangan. Sekiranya anda mampu buktikan bahawa anda adalah lebih baik daripada peguam-peguam lain, tidak akan ada masalah untuk anda gagal atau kecundang ketika bersaing di dalam profesyen ini kelak.

4.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, profesyen perundangan adalah profesyen yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan onak liku baik dari dalam mahupun luaran. Sungguhpun berhadapan dengan cabaran dan ujian, kerjaya sebagai peguam mempunyai prospek yang cerah untuk diceburi bagi mereka yang mempunyai sikap yang positif terhadap profesyen ini. Sebagai pengamal undang-undang baik sivil dan syariah, saya ingin mengajak dan mengalu-alukan anda semua menjadi sebahagian daripada keluarga besar profesyen guaman yang unik serta mulia ini. Sama-sama kita menyumbang untuk menambahbaik profesyen yang amat disanjungi ini. Adalah menjadi tanggungjawab kita khususnya peguam Muslim bagi memartabatkan profesyen ini demi mencapai matlamat hidup kita iaitu ”mardhatillah”.

Mewakili Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), kami sangat berbangga menerima anda semua sebagai sebahagian daripada keluarga besar kami. Peluang dan ruang sentiasa terbuka untuk anda dan kami berharap suatu hari nanti kita dapat saling bekerjasama demi memartabatkan agama Islam yang kita cintai ini.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya berkongsi ilmu dan pengalaman di dalam program ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan