Sg.ramal, 9 Mei 2012 - inilah sebab kenapa aku tidak pergi ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC yang berakhir 6 Mei yang lepas, pada dasarnya aku memanglah masih jahil dan bodoh dalam pelbagai lapangan ilmu, cumanya aku memang mencintai buku dan sanggup berhabis wang deminya, moga Allah memberkati perjalananku sebagai seorang alim, insha allah. Dan di bawah ini pula, jawapan yang aku sediakan untuk soalan wartawan berkaitan ibu pula.
1.Lahir saja anak ke dunia, wanita/ ibu itu sebenarnya sudah diangkat menjadi pendakwah dalam keluarganya. Anak perlu dicorakkan mengikut acuan terbaik daripada orang yang paling rapat (ibu). Apakah seni dalam menyampaikan dakwah kepada ahli keluarga terutamanya anak dalam mendepani cabaran semasa?
Imam Malik
pernah ditanya bagaimanakah beliau memperoleh anak-anak yang alim dan soleh
mosleh, maka jawab beliau, aku pilih ibunya. Kisah ini membawa maksud pendakwah
yang disegani dan berkualiti terutama dalam skop perbincangan seorang wanita/
ibu ialah bermula dari peringkat awal lagi dengan memilih bakal isteri yang
terbaik seterusnya mendirikan rumah tangga dan bakal bergelar seorang ibu. Dari
aspek pemilihan bakal isteri, nabi junjungan menyarankan kita memilih yang
beragama kerana kelak kita akan peroleh ketenangan baik di dunia dan di
akhirat.
Berkata seorang
penyair arab dengan maksud, sang ibu itu samalah dengan sekolah, jika anda
pandai menyesuaikannya... Samalah seperti anda membangunkan suatu umat yang
baik keturunannya... Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan lagi pentingnya
peranan kedua ibubapa dalam mendidik anak mereka menjadi insan yang berguna.
Ibu atau wanita adalah sang murabbi iaitu pendidik. Betapa bahagianya kedua
ibubapa dan betapa bahagianya para pendidik apabila mereka dapat melihat di
masa hdapan buah dari usaha mereka, bahkan mereka dapat berlindung di bawah
teduhan pohon-pohon yang mereka tanam dahulu. Itulah perumpamaan seni mendidik
anak, halus, dalam lembut ada tegasnya,
dalam semangat ada berkat. Sudah pasti seni ini dipandu dengan ajaran Islam.
2. Meskipun ada
anak yang berada dalam biah tarbiyyah dan solehah, tetapi kita tidak boleh
mengharapkan anak memerhati dan mengambil pengajaran daripadanya. Di sini disiplin dan
konsisten amat penting bagi mengekalkan suasana yang sudah wujud itu untuk
terus kekal terpelihara walau di mana mereka berada. Apakah bentuk
panduan bagi mengekalkan tahap disiplin anak-anak?
Memetik buah
fikiran ulama tersohor, Abdullah Naseh Ulwan dalam kitabnya “Tarbiyatul Aulad”,
beliau menggariskan 5 garis panduan dalam keedah mendidik anak dan serta
mengekalkan tahap disiplin anak-anak. Pertama, dengan menunjukkan contoh
tauladan. Ambil lah nabi kita Muhammad s.a.w sebagai contoh ikutan, baginda
akan buat apa yang baginda ucapkan kepada anak-anak baginda. Kita pernah
mendengar kata-kata orang tua, anak-anak adalah cermin ibubapanya. Kalaulah ibu
atau ayahnya seorang yang baik santun pekertinya sudah pasti anaknya juga akan
begitu. Memanglah ada yang menyatakan iman tidak dapat diwarisi, setidaknya
anak yang baik tadi mengikut acuan kedua
ibubapanya yang baik. Kedua, memastikan disiplin anak tadi dengan cara
kebiasaanya, berkata pujangga arab, sesiapa yang terdidik dari kecilnya maka
akan terbiasa sehingga dewasanya. Kalau dari kecil anak tadi tidak dididik
untuk cuci pinggannya sendiri selepas habis makan, maka sehingga dewasalah dia
sukar untuk melaksanakannya. Bahkan imam Ghazali menyatakan, akhlak itu ialah
perbuatan yang tidak perlu kepada berfikir dahulu, iaitu tindakan terus akibat
telah menjadikan perbuatan tersebut adat kebiasaannya. Ketiga, dengan
menggunakan nasihat dan bimbingan. Anak mana yang akan sentiasa berdisiplin dan
dengar kata. Sudah pasti akan ada kenakalan atau ragam mereka yang perlu kita
tegur dan nasihat. Ini selaras dengan dasar pendidikan agama iaitu, nasihat.
Bukan sekadar ibubapa perlu menasihatkan anak, malah di suatu ketika ibubapa
juga wajar meminta pandangan dan nasihat dari anak-anak mereka. Keempat,
pendidikan yang berterusan dengan pemerhatian dan pengawasan dari ibubapa. Hal
ini biasanya apabila anak tadi meningkat remaja dan memiliki rentak gaya
kehidupannya sendiri, dan ketika inilah ibubapa perlu mengawasi anak-anak
mereka daripada berbuat perkara-perkara yang tidak diingini terutama yang
menyalahi agama, ianya ibarat layang-layang, biarkan ia terbang tinggi tetapi
jangan ia terbang dan terus pergi. Genggamlah tali-tali mereka agar tidak
terpesong. Dan yang terkhirnya, didisiplinkan mereka itu dengan denda dan hukuman.
Ini bukan bersifat menghukum tetapi lebih kepada mendidik agar mereka mematuhi
konsep tarbiyyah agar jangan sewenang-wenangnya dilanggar dan tidak diambil
peduli. Ajar anak-anak dengan contoh kepada persekitaran mereka, pencuri akan
ditangkap polis dan akan dihukum. Ini satu bentuk gambaran kepada keterbatasan
dalam tindak-tanduk anak-anak tadi, boleh bergembira tetapi ada batasannya.
3. Dalam mengejar
tuntutan kerjaya, ada di kalangan ibu gagal mengimbangi antara urusan kerja dan
rumah tangga. Anak dibiar lebih
bersama penjaga/ pengasuh dalam semua urusan sehingga menyebabkan anak tidak
mendapat perhatian/ kasih sayang ibunya. Malah lebih malang, dengan suami
jarang berkomunikasi dan berbincang sehingga suasana di dalam rumah itu ibarat
mementingkan diri sendiri. Komen Ustaz mengenai situasi ibu bekerjaya ini dan
jalan penyelesaiannya?
Dalam konteks
ini, ibu atau individu tersebut perlu tahu tujuan dan matlamat sesuatu tindakan
yang diambil. Tidakkah dari awal perkahwinan semua pasangan telah berniat dan
didoakan juga semasa majlis perkahwinan mereka agar suami isteri ini bakal
menjadi ibubapa yang soleh dan mithali. Dengan kata lain niat inilah yang perlu
diingatkan selalu kepada dirinya sendiri. Seorang ibu wajar apabila buka mata
dari istirehatnya berniat, aku adalah ibu yang terbaik kepada anak-anak ku dan
isteri solehah kepada suamiku. Niat yang istiqamah ini bukan sekadar sebagai
doa malah menjadi pengingat kepada diri ibu tersebut agar tahu matlamatnya
sendiri. Inilah jujur pada diri. Dalam Islam tiada kesalahan seorang ibu untuk
bekerja dan bekerjaya. Malah, bagi isteri yang redho dan ikhlas dalam bekerja
untuk membantu suaminya mencari nafkah akan peroleh ganjaran yang besar
seumpama berjihad, namun keseimbangan di antara tugasan kerja dan tanggungjawab
sebagai ibu dan pendidik wajarlah dititik beratkan. Pepatah barat ada
menyatakan, “you win some, you loose some”. Tiada kemenangan kepada
kedua-duanya tetapi keseimbangan dalam pembahagian masa dan perhatian
diperlukan dalam menangani konflik seperti ini. Tiada gunanya kita hebat dalam
bidang kerjaya tetapi membiarkan anak-anak berada dalam ketandusan kasih
sayang, dan apabila rumah yang kosong dengan kasih sayang akan menyebabkan
anak-anak ini mencari kasih sayang di luar dan mudah terjebak dengan
anasir-anasir negatif yang akhirnya memusnahkan keseluruhan sistem keluarga
tadi. Balik kepada tujuan asal bekerja, samada kita memilih untuk bekerjaya
membantu keluarga atau kita menjadi hamba kerja.
Zaman ini
bukanlah zaman pendidikan sebagaimana ibubapa kita terdahulu. Terlalu jauh
perbezaan yang kita boleh kaitkan terutama dalam soal teknologi, cara berfikir,
cara bergaul dan sebagainya sehingga sekiranya ibubapanya tidak mengikuti
peredaran masa maka tertinggallah mereka dalam kebingungan. Ini juga dapat
menjawab kerelevenan pendidikan dengan menggunakan kaedah rotan dan sebagainya.
Sabda nabi s.a.w dalam riwayat at-tirmizi, seseorang itu pada agama kawannya,
maka lihatlah siapakah kawan-kawan mereka. Malah, nabi s.a.w juga bersabda yang
bermaksud kawan yang baik itu seperti berkawan dengan penjual minyak wangi maka
bau-bauan itu akan melekat pada bajumu, tetapi jika berkawan dengan tukang
besi, awas kelak bajumu akan terbakar. Isu penting di sini ialah selain
daripada mendidik anak-anak dengan pentarbiyyahan agama, ibubapa juga memainkan
peranan penting dalam memantau dengan siapakah anak-anak kita berkawan. Kalau
kita didik anak kita sedari kecil dengan
menjaga aurat tetapi apabila kita perhatikan kawan-kawannya dengan
pakaian yang tidak menutup aurat tidaklah perlu kita merasa terkejut apabila
kita terserempak dengan anak kita dalam halnya sebagaimana kawan-kawannya. Ini
banyak berlaku kepada ibubapa yang terkejut melihat perwatakan anak-anak mereka
di dalam medium sosial seperti facebook, bahkan kita juga telah menjadi kawan
kepada anak kita di dalam laman sosial itu
tanpa kita sedari kesan negetif seperti anak akan hilang taku dan hormat
kepada kedua ibubapanya. Kesimpulannya, anak kita perlu diterapkan dengan acuan
aqidah Islam iaitu simpulan yang tidak akan terungkai semenjak ianya dilahirkan
lagi.
5. Apakah bentuk
bimbingan dakwah yang perlu ada kepada golongan ibu bagi pemupukan kesedaran
dan kefahaman terhadap cabaran dakwah dalam konteks masa kini?
Bagi ibubapa
yang memandang betapa seriusnya usaha mereka dalam mentarbiyyah anak-anak,
terutama ibu yang diletakkan sebagai pendidik dalam keluarga, adalah wajar
mereka membiasakan diri dengan sentiasa belajar. Sentiasa menambahkan maklumat
dan bertukar-tukar pandangan dengan para alim ulama dan mereka yang
berkemahiran. Jangan malu bertanya. Apalah salahnya jika ibubapa tadi
menghadiri kursus-kursus keilmuan kemahiran keibubapaan yang dianjurkan oleh
pelbagai pihak bagi menajamkan kembali kemahiran mereka mendidik anak-anak
generasi kini. Kita perlukan banyak maklumat yang boleh diguankan dalam
mendidik anak-anak serta menjauhkan mereka daripada anasir yang buruk dan tidak
sepatutnya. Adakah mahu kita tersedar selepas anak kita sendiri disahkan
menagih dadah? Atau mengandungkan anak luar nikah? Atau ditangkap polis kerana
melakukan jenayah? Ambillah peringatan ini sebelum ianya menjadi parah lagi
berdarah. Peranan ibu bukan sekadar melahirkan malah mendidik dengan penuh
keikhlasan dan kesungguhan agar anak tadi menjadi sebutir mutiara di celahan
deraian kaca.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan