Hidup banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Hidup  banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Sabtu, 1 September 2012

Soalan Metro: Merdeka diwarnai lukisan 'Syarak'

Sg.Ramal Dalam, 2 September 2012 - Alhamdulillah sekurang-kurangnya ruangan akhbar ini memberikan ku kesempatan menulis beberapa artikel lebih dari setahun berkaitan isu-isu semasa dan seperti biasa perkataan yang ku tulis lebih banyak daripada yang dikeluarkan, namun kali ini tiada pula wajahku menghiasi akhbar tersebut, bermacam soalan yang bermain di fikiran ini namun, sangkaan baikku menepis segala kekusutan di hati dan beruntungnya bagi mereka yang mengambil agama sebagai penghias diri.


Soalan 1
KITA perlu merasai betapa berharganya sebuah kemerdekaan dan nilai yang perlu dibayar untuk menjadi manusia yang merdeka. Bukan sedikit yang dikorbankan pejuang terdahulu kerana mereka sanggup mengorbankan apa saja untuk mempertahankan negara ini daripada cengkaman musuh. Apa yang perlu dilakukan sebagai generasi penyambung warisan merdeka ini bagi membalas semula pengorbanan yang dilaburkan oleh datuk nenek moyang kita terdahulu?

Harga sebuah kemerdekaan sememangnya tidak boleh dijual beli. Menurut kamus dewan bahasa dan Pustaka kemerdekaan diertikan sebagai kebebasan dan kemampuan melakukan sesuatu tanpa sekatan atau halangan atau kongkongan dibelenggu oleh sesuatu. Namun menurut sudut pandang Islam tidak ada yang bebas tanpa dibatasi dengan had yang tertentu kerana Islam mengutamakan kesederhanaan dalam semua aspek. Sebagai generasi penyambung warisan merdeka seharusnya generasi ini mengekalkan kemerdekaan tersebut dengan penuh ketanggungjawaban yang tinggi dan perasaan mensyukuri nikmat tersebut secara mendalam. Generasi ini sewajarnya memikirkan apakah corak yang terbaik bagi mewarnai kemerdekaan dengan rasa kehambaan kepada Allah yang mengurniakan kita sebuah kemerdekaan. Lihat sahaja begini, jika di masa penjajahan amat sukar bagi orang Islam melaksanakan ibadah kerana disekat dan dihalang, namun sekatan itu kini tidak ada lagi yang ada hanyalah penjajahan hati oleh musuh-musuh yang nyata, iaitu iblis laknatullah. Ambil gamabaran penjajahan etnik Islam di Rohingya yang mana secara jelas kita melihat generasi itu bukan sahaja diancam tetapi bangsa mereka menjadi lemah dan tidak dapat berbuat apa-apa hatta untuk berjuang atas nama agama mereka. Inilah bukti betapa nikmat kemerdekaan itu wajib disyukuri dan dikekalkan serta dibajai dengan lukisan syarak, yang hanya dengan meningkatkan kepatuhan kepada Allah, melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya sahajalah bukti kita menghargai pengorbanan yang telah diperjuangkan oleh nenek moyang kita terdahulu. Firman Allah di dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud, “demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi(lagi nikmat) kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu ingkari (nikmat-Ku), Azab-Ku adalah sesungguhnya terlalu amat dahsyat.”

Soalan 2
APA pandangan ustaz mengenai perjuangan pada zaman moden ini di mana lahirnya generasi manusia yang ingin merdeka tanpa batasan; tidak mahu terikat dengan peraturan, memperjuangankan serta meletakkan ketinggian hak asasi mengatasi segala-gala, dan tidak boleh ditegur dan dicabar?

Hari ini terdengar beberapa kelompok manusia yang memahami Islam menurut hawa nafsu mereka atau akal semata-mata, mereka dikenali sebagai Islam liberal. Secara dasarnya, jika dilihat kemerdekaan dari sudut kebebasan tanpa batasan dengan melakukan menurut akal fikiran dan kehendak sendiri maka Islam menolak kemerdekaan yang semacam ini bahkan Islam juga menentang kebebasan ini yang menjajah pemikiran manusia, perilaku mereka, budaya dan semua aspek kehidupan penjajahan tersebut sehingga manusia menurut sebagaimana yang diajar di dalam Islam. Islam tidak pernah ajar menyambut kemerdekaan dengan pesta arak, atau perlumbaan haram di jalanan, atau berpeleseran tanpa batas sempadan lelaki dan wanita kerana akhirnya kesemua contoh tersebut akan menjahanamkan kembali diri mereka sendiri. Ibarat meludah ke langit, air ludahan tersebut akan terpalit ke muka semula, betapa kasihannya mereka yang salah faham konsep kemerdekaan yang sebenar. Bayangkan kemerdekaan yang diperolehi hasil daripada pengorbanan jiwa umat terdahulu buat generasi mendatang yang bukannya dipinta dibayar dengan harta, mahupun pangkat berdarjat, tetapi sudah pasti dengan mengahrgai kemerdekaan dan mewarnainya agar segala kongkongan semasa zaman penjajah dapat dirungkai. Dalam bidang pendidikan misalnya, penjajah tidak mahu anak bangsa kita menjadi cerdik pandai maka dibuat struktur pekerjaan warisan yang mana jika ayahnya seorang nelayan maka anak tersebut akan menjadi nelayan, tetapi selepas kita merdeka, walaupun ayahnya seorang pesawah anaknya mampu menjadi doktor pakar di hospital. Bagi mereka yang memahami konsep kemerdekaan adalah kebebasan tanpa sekatan, ingatlah hadith nabi SAW yang berbunyi, “dunia adalah penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang tidak beriman”. Tidak perlu cabar-mencabar, dan tidak boleh ditegur kerana dunia ini bukan kita diaminya sendiri, jadilah resminya padi lagi tunduk lagi berisi dan jangan jadi resminya penggali, diam-diamnya besi berkarat.

Soalan 3
Islam menyeru umatnya supaya membebaskan/ memerdekakan diri mereka dari dibelenggu pemikiran jahiliah, perhambaan dan membebaskan negara daripada cengkaman musuh. Semasa awal perkembangan Islam, Rasulullah sendiri membawa kemakmuran kepada Madinah dan memerdekakan Makkah daripada cengkaman kafir Quraisy. Begitu juga perkembangan di zaman Khulafa' ar-Rasyidin yang banyak memerdekakan negara dari cengkaman kekufuran. Islam meletakkan asas kukuh dalam membentuk sistem negara, bermasyarakat serta muamalah sesama manusia. Komen Ustaz.


Kehadiran Baginda SAW sebagai rahmat keseluruh alam amatlah bersesuaian dijadikan contoh sehingga sepanjang zaman. Dalam pembangunan kota Madinah sehingga berjaya dan makmur dan dikenali di seluruh semenanjung arab ketika itu ialah dengan menguasai tampuk pemerintahannya terlebih dahulu, dan ini bermaksud baginda SAW dan umat Islam berjuang bagi memperolehi kemerdekaan daripada cengkaman kafir Quraisy dan orang yahudi sekitarnya. Maka kuasa tertinggi bagi kedaulatan sesebuah negara ialah kemerdekaan daripada dijajah oleh musuh, dan bagaimana ada yang tergamak menjual negara, memburukkan negara, mencabar kedaulatan sesebuah negara hanya kerana memiliki pemahaman yang berbeza dengan sesuatu pemerintahan melainkan pemerintahan tersebut bersifat mungkar dan menentang Islam. Seharusnya generasi hari ini melihat kemerdekaan bukan setakat merayakannya pada setiap 31 Ogos tetapi menghayati kemerdekaan dengan bercorakkan Islam, contohnya pada hari perayaan kemerdekaan dirayakan dengan sambutan memperingati pentingnya memelihara kemerdekaan dan diperingatkan agar hargai kemerdekaan dengan sebaik-baiknya, bahkan dalam jangka masa yang berterusan, kemerdekaan tersebut diperjuangkan oleh generasi kini dengan meningkatkan taraf kehidupan dengan meninggikan tahap pendidikan, menambahkan ekonomi keluarga dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara, bahkan juga jangan diketepikan dengan meningkatkan mutu ibadah kita kepada Allah kerana doa yang selalu kita titipkan, Wahai Tuhan kami, berilah kesejahteraan kepada kami di dunia dan di akhirat dan jauhkan kami dari api neraka.

Soalan 4
SOAL pertelagahan atau perpecahan dikalangan masyarakat juga mampu melunturkan semangat persaudaraan yang menjejaskan kesinambungan kemerdekaan yang kita kecapi. Kemerdekaan rohani dan jasmani yang dibawa Rasulullah terbukti apabila masyarakat Arab Jahiliyyah pada mulanya hidup bermusuhan tetapi mampu tampil membina tamadun insaniah yang membanggakan. Rahsia di sebalik kejayaan itu adalah keamanan yang dibawa Islam dan pejuangnya. Umum mengetahui, pertelagahan berpanjangan yang berlaku memberi peluang mudah kepada musuh-musuh Islam mengambil kesempatan untuk melemahkan kita. Komen ustaz.

Pandang ke hadapan itu wawasan, dan menoleh ke belakang itu sejarah dan peringatan. Dunia ini berputar dan begitu juga kehidupan kita di bawah dan di atas. Apakah kita terleka dengan sejarah Kota Melaka dijajah disebabkan orang dalam yang membuka pintunya, adakah kita terlupa bahawa sejarah juga merakamkan perpecahan pada zaman saidina Ali dan Muawiyyah terdiri daripada musuh-musuh dalaman juga sehingga memberi tanggapan negatif terhadap Islam, bagaimana kita boleh bermimpi bahawa kemerdekaan ini akan kekal selama-lamanya jika tidak dipelihara, firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 27, “wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu berkhianat kepada Allah dan rasulnya...” ayat tersebut jelas menyatakan bahawa pertelagahan sesama sendiri adalah salah satu bentuk pengkhianat kepada Allah dan rasulnya kerana kita sudah maklum, musuh-musuh kita sangat menantikan meluang memecahbelahkan kita dan memudahkan mereka melakukan penjajahan yang tidak kelihatan iaitu penjajahan minda. Ingatlah bahawa panduan kita adalah syariat Islam dan selain itu ianya tidak diterima sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 85. Kesimpulannya, tolehlah pada sejarah agar kita beringat, waspadalah musuh-musuh yang tidak mudah penat, kemerdekaan hari ini sebagai amanat yang berat, namun hanya dengan keringat dan sepakat, ianya dapat diangkat.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan