Hidup banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Hidup  banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Khamis, 18 Oktober 2012

SOALAN HARIAN METRO 19hb Oktober 2012: Perbezaan pendapat adalah Rahmat


KUIM, 19okt2012 - sedang menjaga peperiksaan, menjadi ketua pengawas peperiksaan, hehehe... sebelum ini aku yang menduduki peperiksaan namun masa berubah dan kini akulah yang mengajar dan menjaga dewan peperiksaan pula. Pagi ini membawa Alphard ke KUIM untuk akli kedua kerana aku akan menjemput kedua mentua ku yang berada di Alor Gajah Melaka. Mereka akan menghadiri konvo isteriku di Universiti Malaya(UM) dan aku bersama Ummi ke konvokesyen ku  di Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM). Abah dan Anas di Universiti Rumah(UR) hehe..

Alhamdulillah aku diizinkan menulis dan mencurahkan idea, namun seperti biasa kiraanku hanya sekitar 60% sahaja penulisan sebenarku dimuat ke dalam akhbar dan selebihnya mungkin di simpan di bilik Editor akhbar tersebut, dakwah ni jangan putus asa, jangan kecil hati tapi kena sabar. 


Soalan 1
PERKEMBANGAN dakwah Islam berlangsung begitu baik. Namun, terdapat sesetengah pendakwah bersikap tidak menghormati pendapat/ idea rakan lain dalam membicarakan sesuatu perkara membabitkan kepentingan umat Islam. Perkara itu amat mendukacitakan dan menjadi mangsa sudah tentu orang ramai sehingga sehingga mereka pula terus bercakaran sesama sendiri. Jika itu terus berlaku nampaknya keadaan semakin membuntu terutamanya kepada masalah perpaduan serta pembangunan umat Islam itu sendiri. Komen Ustaz.

Nabi SAW amat menyayangi kita semua dengan memberikan petunjuk dan pedoman ke jalan yang benar. Bahkan nabi SAW juga menganjurkan kepada kita agar sentiasa menyampaikan berkaitan agama kerana sabda nabi SAW, “Agama adalah nasihat”. Namun, perkembangan dakwah yang berlangsung dengan baik ini seringkali dicemari dengan sikap dan keperibadian pendakwah yang hanya menggunakan kalam dan kata-kata mereka tetapi mengabaikan konsep dakwah bil hal(iaitu melalui tingkah laku mereka) sehinggakan terjadi percakaran di kalangan para ustaz sehingga mengakibatkan pengikut- pengikut ustaz- ustaz tadi turut terlibat bertelagah hanya kerana menegakkan hujah masing-masing. Inilah yang diingatkan oleh nabi SAW akan berpecahnya umat Islam ini berpunca kerana pertelingkahan sesama mereka. Dimulakan oleh mereka dan disemarakkan oleh umat Islam sendiri. Berbalik kepada isu utama, sebelum seorang ustaz bergelar ustaz mereka adalah seorang pelajar dan kita semua adalah pelajar sehingga kita mati sebagaimana sabda nabi SAW, “Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad”. Nabi SAW mengingatkan kita dalam hadithnya, daripada Ka'ab Bin Malik RA katanya, telah aku dengar nabi SAW bersabda, “siapa menuntut ilmu supaya menyamai ia dengan 'ulama, atau dia menuntut ilmu kerana mahu berhujah dengan orang jahil, atau menuntut ilmu dia kerana mahu manusia pandang kepadanya apabila dia berhujah, maka kesemua kategori tersebut akan dimasukkan ke dalam neraka.” (hadith riwayat at-Tirmizi). Jika buluh yang dilentur tidak tegak mendongak langit, tetapi menyusur di bawah akar, maka buluh yang tumbuh tidak seperti yang diharapkan. Amanah seorang pendakwah atau ustaz itu bukanlah sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan agar manusia yang mendengarnya peroleh petunjuk kejayaan di dunia dan beroleh bahagia di akhirat tetapi juga menghormati pendapat dan pandangan orang lain. Pelbagai pendapat itu bukanlah suatu kepincangan tetapi adalah rahmat kerana boleh diikuti oleh umat sesuatu bangsa dan tempat kerana bukan semua dari budaya dan geografi yang sama. Soroti kembali sejarah kejatuhan kerajaan Islam Abasiyyah yang mengakhiri kedaulatan kerajaan Islam yang tersohor hanya apabila umat mereka taksub dan hanya mengangkat mazhab masing-masing dan tidak dapat menerima pandangan ulama lain, adakah kita tidak belajar dari sejarah dan hanya mahu mementingkan hujah kita sahaja sehingga mengecil dan menutup pintu ijtihad yang telah dibuka seluas- luasnya oleh imam-imam
 mazhab.

Soalan 2
DAKWAH ke jalan Allah SWT adalah kaedah (manhaj) yang benar dan jalan yang lurus iaitu jalan para nabi, rasul dan orang-orang yang saleh. Pendakwah hendaklah berpegang dengan seruan dakwahnya dan menunjukkan contoh akhlak yang mulia serta beramal dengan prinsip asas dalam perlakuan dan kata-katanya. Pendakwah perlu beriltizam mengenai apa yang didakwahkannya kepada orang ramai. Mereka perlu berdakwah melalui perbuatannya, bukan dengan kata-katanya saja. Bagi menjayakan usaha dakwah, apakah sifat terpenting yang perlu mereka miliki dalam usaha menjadi seorang pendakwah yang baik serta sabar dalam melaksanakan tugas dakwahnya?

Firman Allah SWT di dalam surah as-Soff ayat 3, yang bermaksud “celaka besar di sisi Allah mereka(ulama) yang hanya bercakap tetapi tidak melaksanakan sebagaimana yang dikata”, bahkan dalam surah berikutnya Allah SWT berfirman dalam surah al-Jumuah ayat 5 dengan menempelak ulama- ulama Yahudi dengan menggambarkan kehinaan buat mereka seumpama binatang keldai yang hanya memikul kitab- kitab, tetapi tidak mahu memahami kitab- kitab tersebut bahkan mereka mendustkannya. Oleh itu, Maha Adil Allah memberikan perincian tentang ciri- ciri seorang ustaz pula, ada pelbagai jenis pendakwah namun yang manakah ciri- ciri ustaz yang menyamai contoh yang digarispandukan oleh Islam dan kerana itulah sifat utama ciri seorang ustaz itu ialah mewarisi contoh para nabi. Dalam erti yang mudah difahami, banyaknya imu di dada para ustaz ini bukan memacu ke arah kesombongan dan perkelahian tetapi lagi tawaddu' dan rendah diri, kerana orang yang berilmu resminya padi, makin tunduk makin berisi. Maka sifat inilah yang dikehendaki agar lahirnya umat yang rabbani, terdidik dari peribadi ustaz yang sejati.



Soalan 3
AMANAH menjaga amanah agama Islam perlu dipertahankan. 'Naqalan' (pindahan/ambilan maklumat) yang tidak teliti kebenarannya sduah pasti mendatangkan mudarat besar kepada golongan yang disasarkan. Sikap suka menyandarkan perkataan tanpa penelitian sudah menjadi 'mainan' dengan alasan mereka berhak atas kapasiti sudah dikenali dan mempunyai pengikut yang ramai. Yang mendukacitakan di sini ialah, ada antara daie menyampaikan apa sahaja yang didengari tanpa mengkaji kedudukan atau kesahihan sesuatu perkara. Bagaimana dengan sestengah individu yang 'menelan' bulat-bulat apa yang mereka terima itu sebagai maklumat sahih? Bahkan ada yang menyandarkan ucapan/ ceramah mereka dengan penggunaan hadis atau dalil al-Quran yang tidak bertepatan langsung dengan matlamat sesuatu perkara. Perkara itu cukup bahaya. Bagaimana, sebagai orang awam kita boleh menangkis atau menapis setiap yang didengar/ belajar benar-benar terpelihara?

Di antara penyakit- penyakit kesombongan yang menjangkiti para ustaz apabila mereka tidak mahu menyatakan 'tidak tahu'. Lantas mereka sanggup menggunakan segala dalil bagi menegakkan hujah mereka walaupun mereka sedari tindakan mereka hanya mengundang 'kelegaan' sementara sebelum ianyu dihidu oleh orang lain. Rendah diri seorang ustaz dengan menyatakan 'saya tidak tahu' tidak akan merendahkan kedudukan ilmu seorang ustaz, ini sebagaimana kisah yang terjadi kepada Imam Malik yang ditanya dengan 40 soalan dan hanya menjawab 4 soalan sahaja dengan jawapan lain hanya dengan menyatakan 'saya tidak tahu'. Hebatnya pekerti ulama' yang bertaraf mujtahid ini kerana tidak malu mengaku tidak tahu dan sangatlah bertentangan dengan zaman ini kerana ustaz hari ini jarang mengaku mereka tidak tahu tentang sesuatu masalah malah bertambah buruk lagi dengan menambah dan mendustai ajaran Islam. Wahai para ustaz sekalian, ingatlah sabda nabi SAW, daripada Abdullah Bin Mas'ud, nabi SAW bersabda, “barangsiapa berbohong atasku dengan sengaja, maka ambillah tempat duduknya daripada neraka”, (hadith riwayat at-tirmizi). Dari sudut orang awam pula, kaedah yang jelas dalam memperhalusi maklumat yang diperoleh daripada mana- mana sumber, baik dari internet, akhbar, ceramah- ceramah dan sebagainya hendaklah ditapis dengan menggunakan ilmu juga, ini sebagaimana firman Allah SWT, “tanyalah ahli ilmu, jika kamu tidak mengetahui”, ini jelas bermaksud untuk mentashihkan sesuatu jawapan hendaklah berdasarkan ilmu pengetahuan juga, kaedah ini juga bertepatan dengan sabda nabi SAW, daripada Abdullah Bin Mas'ud RA, nabi SAW bersabda, “Allah akan menjernihkan muka seseorang bila mana ia mendengar daripada hadith(ilmu), maka dihafaznya dan disampaikannya kepada orang yang lebih faqih(mahir) daripadanya dan boleh jadi orang yang lebih faqih tadi menjelaskan hadith tersebut kepada orang yang mendengar tadi. Inilah rantaian yang sepatutnya, kita peroleh satu ilmu, kita neracakan juga dengan ilmu dengan berkongsi kepada para ilmuwan(yang ahlinya) akan apa yang kita fahami dan ulama tersbeut akan memperbetulkan kita jika kita tersalah faham. Turutannya sebagaimana anak- anak kita mengaji al-Quran, di dengar oleh ustaz dan ustazahnya dan dibetulkan bacaan tersebut jika tersalah.


Soalan 4
TERDAPAT golongan yang tidak layak lagi (dalam erti kata tiada/ masih cetek ilmunya dalam bidang agama tetapi diberi peluang menyampaikan apa yang difahami secara dasar saja. Mereka diberi peluang hanya berbekalkan populariti atau pengaruhnya dalam masyarakat. Yang menyedihkan ialah ada yang berani mengeluarkan pendapat/ fatwa peribadi yang menimbulkan kontroversi serta percangahan di kalangan para ilmuwan lain. Di sini, penting sekali faktor akhlak diberi penekanan kerana jika seseorang itu sombong dan riyaí sudah pasti akan melemahkan kedudukan seseorang menghadapi perjuangan dakwah. Disebabkan perkara itu juga akan muncul sifat mudah membuat kesimpulan dan keputusan. Jelas cara itu berbahaya kerana mereka boleh terjebak dalam pandangan melangkaui jangkaan kemudian mudah memperlekehkan/ meremehkan kedudukan orang lain.

Seringkali masyarakat terkeliru dalam memahami siapakah dia ustaz, jika di negara arab ustaz ini bermaksud encik, tetapi di Malaysia, gelaran ustaz ini merujuk kepada orang yang mahir ilmu agama. Apa yang terjadi bila mana masyarakat tidak tahu latar belakang ilmu agama seseorang tetapi kerana perwatakkannya berjubah dan berserban maka mereka terpedaya dan terus memnggelarkan mereka ustaz tanpa menyelidiki terlebih dahulu dan menerima sahaja apa yang diucapkan 'ustaz-ustaz' ini dengan menyangka ia suruhan agama. Bagi mengatasi masalah ini, ia dapat diselesaikan dengan memperbetulkan di peringkat dua pihak, pertama orang awam dan kedua para ustaz sendiri. Orang awam sewajarnya mengetahui dahulu keilmuan mereka yang dipanggil ustaz, bukan memperkecilkan ukuran ilmu ustaz tersebut tetapi mengetahui latar belakang pengajiannya memudahkan kita menerima pandangan mereka, ustaz yang mahir tentang sesuatu disiplin ilmu adakalanya kurang mahir dalam disiplin ilmu yang lain, ustaz yang pandai mengaji tidak semestinya tahu ilmu perubatan Islam sebagai contoh, kerana itu masih ada lagi orang awam terpedaya dengan bomoh- bomoh paslu dengan mendakwa mereka ustaz kerana memulakan jampi dengan ayat- ayat Quran. Keduanya di sisi para ustaz, beramanah dalam amanah amat berat sehinggakan terleka dengan permainan iblis selaku musuh yang nyata dalam melaga- lagakan para pendakwah. Tujuan para ustaz semuanya sama, mahu melihat Islam gemilang dan umat mengikut Quran dan Sunnah, justeru carilah titik persamaan ini berbanding perbezaan. Hormatilah pandangan ulama yang lain kerana terkadang mereka menjatuhkan hukum atau fatwa berdasarkan kondisi sekeliling dan siapa yang bertanya. Contohnya, orang yang baharu memakai tudung walaupun berfesyen atau sedikit- sedikit perlulah diberi galakan daripada mencemuh dan menjatuhkan mereka. Ambil pengajaran daripada kisah bagaimana nabi SAW menguruskan ikhtilaf(perbezaan pendapat) di antara sahabat- sahabat di dalam kes Bani Quraidzah bahkan perbezaan ini dianggap rahmat kerana memberi impak positif dalam perkembangan ilmu dan pemikiran. Teras dalam perselisihan ini adalah adab yang mengutamakan ukhuwah di antara mereka. Kita mungkin terfikir, “aku mungkin betul dan mungkin mereka salah tetapi tidak mustahil mereka betul dan aku yang salah. Inilah tugas para pendakwah yang mengangkat kebersamaan daripada perselisihan, bahkan jika diamati perkara yang menjadi topik perkelahian hanyalah isu-isu furu'iyyah(cabang) yang sememangnya mempunyai pelbagai pendapat kerana perbezaan masa dan tempat. Apa yang penting ialah kerjasama di antara orang yang berilmu dalam mengangkat keilmuan di kalangan masyarakat dan menguruskan perbezaan tersebut dengan bersetuju untuk tidak bersetuju dan janganlah menggunakan laman muka buku dalam melaga- lagakan konflik pandangan tersebut.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan