Hidup banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Hidup  banyak memberi, Mati di rahmati Ilahi

Selasa, 27 November 2012

Soalan Harian Metro 16 Nov 2012, Bapa Derhaka Suami Nusyuz

Sungai Ramal, 14nov2012 - menulis bagi meluaskan cabang dakwah.

Soalan 1
KITA merasa bimbang terhadap perkembangan generasi masa hadapan tatkala melihat fenomena percambahan masalah sosial di kalangan remaja. Bagaimana memungkinkan golongan muda ini dapat memegang 'jawatan' sebagai ibu bapa kelak kerana mereka jelas gagal pada usia awal remajanya.Tidak dinafikan, salah satu perkara yang menjadi punca terhadap masalah itu ialah gagalnya ibu bapa memainkan peranan mereka. Namun peranan bapa secara spesifiknya, mereka mempunyai tugas amat besar dan menjadi pemegang saham paling besar terhadap setiap ahli keluarganya. Ketegasan, disiplin dan tarbiah agama antara perkara yang perlu diterapkan dalam usaha mendidik anak. Setiap bapa mengharapkan ahli keluarga yang dibimbing mampu memberi kebanggaan bukannya menconteng arang ke mukanya sendiri. Minta ustaz respon berkaitan fenomena 'Bapa Derhaka' yg dilihat gagal dalam tugasnya. Apakah tindakan susulan yang perlu diusahakan seorang bapa yang mungkin baru sedar kesilapannya dan mahu membimbing ahli keluarganya mencipta suasana terbaik dalam kehidupan berkeluarga?

Bapa adalah tunggak sesebuah keluarga dan dianggap kapten yang mengemudikan sebuah kapal bagi membelah lautan kehidupan. Gagal atau berjayanya kapal tersebut menuju destinasi bergantung kepada nakhodanya yang dibantu oleh anak-anak kapal. Perumpamaan yang mudah dalam menggambarkan peri pentingnya tanggungjawab seorang suami atau bapa dari jantina lelaki. Firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim ayat 6, “Wahai orang yang beriman peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka” Allah SWT memberi peringatan terlebih dahulu kepada ketua keluarga yang bernama bapa dan suami agar menjaga dirinya daripada perkara-perkara yang diharamkan agama, memperbetulkan dirinya terlebih dahulu sebelum menjaga ahli keluarganya yang lain. Ini jelas sebelum mendirikan sebuah rumahtangga, amat pentinglah seorang lelaki memperlengkapkan dirinya dengan persiapan dunia dan akhirat ibarat seorang pemandu lori memerlukan lesen dan pengetahuan mengendalikan kenderaan tersebut. Pengalaman pula akan membijaksanakan pemandu dalam menghadapi situasi cemas dan kemalangan. 'Bapa derhaka, suami nusyuz' adalah istilah yang dilabelkan kepada golongan suami yang telah berpaling arah dari landasan yang sebenar, kesilapan demi kesilapan yang menongkah arus agama dilakukan dan sampai suatu ketika mereka tersedar dan mengakui kesilapan tersebut dan mahu mengambil peluang memusingkan semula agar perjalanan tadi kembali teratur. Namun, bapa tadi telah dapati acuan keluarganya yang tersilap amat sukar diperbetulkan semula, maklumlah dosa-dosa tersebut telah menjadi titik hitam yang sukar diputihkan semula kesan jangkamasa yang panjang. Di sinilah Islam memberikan jalan penyelesaian dengan melihat semula manual al-Quran yang diberi tunjuk ajar oleh Tuhan yang Maha Mengasihani kita, kisah-kisah para anbiya menjadi motivasi diri dalam memulakan suatu lembaran baharu, pertama tersedar dari kesilapan sebelum ajal menjemput adalah nikmat yang besar dan tanda Allah 'melihat' kita, mendengar tuntutan fitrah kita, sayang pada kita, kedua manusia yang bertaubat adalah sebaik umat yang diciptakan sebagaimana hadtih nabi SAW menerangkan sekiranya tiada orang-orang yang bertaubat, nescaya Allah SWT akan menghapuskan sesuatu kaum dan diwujudkan kaum berikutnya yang melakukan kesalahan dan bertaubat, pentingnya bertaubat dan bukannya membesarkan kesilapan tersebut, ketiga usaha ke arah memperbetulkan kesalahan itu adalah lebih penting daripada memperolehi natijahnya dan itulah justifikasi dalam Islam, bapa yang mahu membetulkan keadaan keluarganya secara 'tadarruj' iaitu berperingkat-peringkat adalah lebih baik daripada secara drastik kerana didikan tersebut adalah dari manusia kepada manusia. Banyak aspek yang perlu diperhalusi seperti hati manusia, keadaan sekeliling, prospek jangka panjang agar tujuan tadi tercapai dengan redho Allah. Akhirnya, andai segala daya usaha tersebut gagal, janganlah bersedih, lihat nabi Allah Nuh AS, menerima ujian yang sama terhadap anak isteri mereka.


Soalan 2
MINTA ustaz beri sedikit kupasan mengenai punca lahirnya anak atau isteri yang gagal membawa kebahagiaan dan ketenangan dalam rumah tangga? Barangkali, antara sebab kenapa anak terutamanya dilihat degil, tidak patuh perintah Allah, gagal melaksanakan tanggungjawab di rumah, terbabit dengan masalah sosial ialah kerana bapa gagal memenuhi fungsinya sebagai pencari nafkah. Ia termasuk memberi keluarga makan dari sumber haram. Jelas, jika kita memberikan anak makanan dari sumber haram, maka hasilnya pasti mempengaruhi tingkah laku mereka kelak.
Sebelum memulakan suatu langkah yang panjang, langkah pertama adalah sangat mustahak kerana akan menggambarkan keseluruhan perjalanannya. Seorang lelaki yang mahu mencari suri hidupnya terlebih dahulu wajib menyelidiki calon-calonnya selaras dengan tuntutan agama dan bukanlah hanya memenuhi kriteria 'cinta buta'. Sanggupkah kita membina sebuah masjid rumahtangga dari bahan binaan yang kotor seperti najis? Mahukan kebahagian berumahtangga memerlukan ramuan yang dituntut dalam agama, namun hal ini dipandang sepi oleh anak-anak muda yang hanyut bercinta sehingga meraba-raba, dari yang ringan-ringan hingga naik tangan, sehinggalah terlanjur dan perut berbujur. Kesannya lahirlah sebuah komposisi keluarga yang dibelenggu dengan kesilapan masa lalu, permasalahan masa kini, dan kesuraman di masa akan datang. Jika keluarga ini tidak berpecah belah, ianya akan wujud sentiasa bukan dalam rahmat Allah SWT. Banyak faktor yang dapat dilihat mengapa berlakunya kepincangan dalam berumahtangga, namun secara mudahnya masyarakat akan menyalahi ketua keluarga, iaitu 'bapa derhaka' dengan meletakkan beban ke atas bahu mereka dan kerana itulah bapa tadi perlu keluar dari kotak pemikiran konservatif dan ikut semuala jalan agama dan dibantu dengan bekalan motivasi sabar dan saling ingat mengingati. Inilah formula kebahagiaan yang diajar oleh nabi SAW. Memahami agama dengan tersusun dan benar adalah proses seumur hidup, namun kunci utamanya ialah belajar dan terus belajar. Koreksi diri dengan apa yang terjadi di hadapan mata seorang bapa adalah indikator yang menunjukkan tanda aras sesebuah keluarga dalam keadaan 'sihat' atau tidak, ramai bapa yang menganggap ketidakharmonian dalam keluarga adalah suasana normal dalam setiap keluarga sehinggalah anak dan isteri tadi melebihi batas yang sepatutnya. Kesan masalah daripada awal, fahami gerak-geri mereka kerana itulah isyarat yang boleh kita perbaiki dari awal, bilamana mengajak keluarga ke arah kebaikan ada sahaja bunyi-bunyi rungutan malas dan tidak mahu melakukannya adalah petanda awal keluarga dihinggapi penyakit mengikut hawa nafsu dan mengikut jalan syaitan, nah, ambil terus langkah rawatan dan memeriksa semula masa bersama keluarga, rezeki yang disuapkan ke dalam mulut-mulut mereka sehingga menjadi darah daging, dan keluarga yang tidak 'sihat' sedang ketandusan rahmat Allah SWT. Cegah sebelum parah.

Soalan 3
Bab jodoh pertemuan itu semuanya urusan Allah. Kita sering diingatkan, jodoh yang baik akan 'menarik' orang yang baik. Sebab itu, untuk mendapatkan jodoh yang baik, kita perlu menjadi baik. Begitulah sebaliknya, yang jahat adalah untuk si jahat. Namun, yang terbaik kepada mereka yang melakukan kesilapan dan dosa adalah kembali bertaubat kepada Allah. Bagaimana pula halnya kepada golongan yang akan membina rumah tangga tetapi pernah melakukan dari sekecil sehinga ke besar-besar maksiat. Adakah anak-anak yang bakal mereka lahirkan itu akhirnya tetap melakukan perkara sama seperti ibu bapa mereka. Adakah kitaran kehidupan mereka semua hanya menghasilkan rekod buruk saja?

Benarlah firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 26 yang menyatakan, “Lazimnya perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat adalah untuk perempuan yang jahat, sebaliknya perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, dan mereka yang baik itu adalah bersih dari tuduhan buruk yang dikatakan oleh orang-orang yang jahat. Mereka yang baik itu akan beroleh pengampunan dan pengurniaan yang mulia”. Pemikiran masyarakat yang streotaip dan terkurung dalam stigma bahawa, 'alah dah aku ni jahat dan buat macam mana...' sewajarnya dihilangkan dengan sangkaan baik terhadap Allah SWT, malah tidak wajar jika mereka menyangka bahawa mereka yang telah berdosa ini akan hanya menghasilkan kitaran rekod buruk semata-mata. Contohnya begini, anak yang lahir bukan dari pernikahan adalah suci dan tidak mewarisi dosa kedua ibu bapa mereka yang berzina, kerana dalam Islam tiada dosa perwarisan dan ini jelas bahawa bagi mereka yang telah bertaubat adalah diibaratkan sebagai seorang bayi yang tidak melakukan dosa dan lahir dalam keadaan fitrah sebagaimana nabi SAW menjelaskan kepada mereka yang memeluk Islam walaupun di zaman silamnya penuh dengan kejahatan yang dilakukan. Sebuah kisah tentang seorang pemuda di zaman Bani Israel yang seringkali diceritakan oleh baginda SAW yang mana pemuda ini melakukan kesemua jenis maksiat, kejahatan dan dosa namun Allah SWT mengampunkan kesemua dosa-dosanya hanya dengan berniat dan beriltizam tidak mahu melakukan kesalahan itu lagi. Telur penyu itu halal dimakan menurut ulama feqah walaupun penyu tersebut haram. Orang yang bertaubat dan sentiasa perbaiki diri adalah amat berbeza daripada mereka yang masih bergelumang dosa.


Soalan 4
Dalam memenuhi tanggungjawab sebagai pemimpin, pendidik bapa/ibu akan sentiasa diuji. Setiap ibu bapa perlu sedar, jangan sampai kita sendiri menjadi penderhaka dalam keluarga. Mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pembimbing, malah membiarkan anak membesar dengan kaedah tertentu atas alasan kesuntukan waktu, sibuk bekerja lalu hanya membiarkan anak bersama pembantu. Kemudian, kita menyalahkan pula orang lain termasuk sekolah hatta menyalahkan sistem pendidikan serta persekitaran sekolah. Komen ustaz.

Surah al-Fatihah merakamkan keadilan Allah SWT memberikan hak dan peluang yang sama kepada semua hamba-Nya dapat dilihat dengan peluang kita memilih dua jalan, samada jalan yang lurus dan diredhoi atau jalan yang menjahanamkan kita ke naraka. Alasan ibu bapa sebagai pendidik anak-anak dengan sibuk bekerja, kelemahan sistem pendidikan, itulah, inilah adalah jalan selamat bagi menyalahkan orang lain dan menyedapkan hati sendiri, sedangkan orang yang bijak itu ialah mereka yang menghitung diri sendiri setiap detik agar sentiasa dalam redho Allah AWT. Kesimpulannya, penderhaka kepada agama baik dari sudut seorang bapa mahupun suami ataupun individu adalah wajar dihisab sebelum pergi lebih jauh lagi, mulakan dengan diri sendiri, periksa diri samada simtom penyakit ini telah merebak dalam hati kita dan jika ada, sembuhkan dengan vaksin ramuan agama, baca quran, solat berjemaah, bergaul dengan orang soleh, menuntut ilmu dan berzikir. Semua orang memiliki peluang yang sama dan tidak perlu kita membanding-bandingkan antara satu sama lain kerana hanya yang bertaqwa adalah yang terbaik di sisiNya. Berlumba-lumbalah dalam mencari kebaikan dan melaksanakannya nescaya sagala kesilapan kita tidak akan menjadikan hujah bagi menentang kita, tetapi rahmat Allah mencurah-curah bagi mereka yang sabar dan berserah padaNya.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan